Thursday, October 18, 2012

Majlis Pembuka Tirai


Syukur Alhamdulilah usai sahaja Majlis Intikhabat melabuhkan tirainya, Majlis Pembuka Tirai berlangsung pada hari Khamis, 18hb Oktober 2012M bersamaan dengan 03hb Zulhijjah 1433H. Majlis dimulakan dengan solat Maghrib dan Isya’ berjemaah bagi mahasiswi di Markas Putera manakala mahasiswa menunaikan solat Maghrib dan Isya’ di masjid yang berdekatan. Majlis diteruskan dengan bacaan surah Yaasin yang diketuai oleh Ustaz Muhammad Nurhadi bin Ismail dan bacaan tahlil diketuai oleh Ustaz Muhammad Noor Amiruddin bin Hj Ismail, manakala doa dibacakan oleh Ustaz Muhammad Saifullah bin Rosli.

Bacaan surah Yaasin yang diketuai oleh Ustaz Muhammad Nurhadi bin Ismail
Kemuncak majlis ialah kalam Presiden BKPBDK sesi 2012/2013, Ustaz Mohammad Nazerul Wafiq bin Haji Mohammad Hussin, berupa nasihat dan panduan antaranya supaya sentiasa menjaga solat kerana dengan itu akan senanglah bagi menjaga waktu ‘muhafazhah al-waqt’. Presiden juga mengingatkan supaya saling bantu membantu, tidak camah mata dan saling mesra sesama warga BruCai. Tidak patut ada istilah perkauman bahkan presiden menyebut istilah ‘saling tampal menampal’. Ini menunjukkan akrabnya ukhuwah tersebut. Beliau juga menasihatkan supaya memperbetulkan niat asal datang ke bumi Mesir dan merebut peluang keemasan ini untuk mengaut seberapa banyak ilmu. Namun dalam masa yang sama tidak lupa tanggungjawab sebagai ahli BKPBDK.

Bekas Presiden sesi 2011/2012, Ustaz Abdul Qawiy bin Hj Ismail juga sempat memberikan beberapa buah nasihat dan menukilkan kalam mufti Brunei Darussalam yang memberi kesan yang mendalam iaitu ‘ada iman adalah komitmen’. Ini tidak hanya dipraktikkan di dalam beribadah bahkan juga semasa kehidupan seharian. Majlis disemarakkan lagi dengan tazkirah pendek yang disampaikan oleh Ustaz Muhammad Naqib bin Hj Awang, berkisar tentang kisah hidup Nabi Ibrahim ‘Alaihissalam, dakwah baginda dan pengajaran di dalam berdakwah. Antaranya, hendaklah menyampaikan dakwah secara berperingkat-peringkat yakni ‘at-tadarruj’ serta sabar dan menggunakan kata-kata yang lembut.

Kalam Presiden BKPBDK sesi 2012/2013,
Ustaz Mohammad Nazerul Wafiq bin Haji Mohammad Hussin.
Mantan Presiden sesi 2011/2012, Ustaz Abdul Qawiy bin Hj Ismail.



Seterusnya majlis dihangatkan lagi dengan acara berdikir beramai-ramai dan selawat Ibrahimiyyah yang diketuai oleh Ustaz Awangku Hafizul Hanif bin Pengiran Hj Md Hatta. Majlis ditutup dengan menikmati jamuan menggunakan talam yang merupakan salah satu Sunnah baginda Rasulullah S.A.W dan dalam masa yang sama dapat mengeratkan lagi ukhuwah sesama warga BruCai. Semoga Allah Subhanahu Wa Taa’la memberkati dan meredhai segala apa jua majlis yang diungkayahkan pihak BKPBDK dalam menggapai kejayaan fiddarain.
Tazkirah pendek yang disampaikan oleh
Ustaz Muhammad Naqib bin Hj Awang.
Bacaan Doa oleh oleh
Ustaz Muhammad Saifullah bin Rosli.

Acara berdikir beramai-ramai dan selawat Ibrahimiyyah.

Makan bertalam yang merupakan salah satu Sunnah Rasulullah sallahu 'alaihi wasallam.

 





Disediakan oleh : Ustazah Hazimah bte Baha

No comments:

Post a Comment