Friday, December 26, 2014

Tausiah Syeikh Youssef Req Al-Bakhour Al-Hasani hafizahullah

Tausiah Syeikh Youssef Req Al-Bakhour Al-Hasani hafizahullah
25.12.2014


  • Ketika kita di dalam alam zar (alam roh sebelum alam rahim), Allah Subhanahu wa Ta'ala bertanya kepada kita “Alastu Birabbikum?” (Bukankah Aku Tuhanmu?). Pertanyaan itu juga membawa maksud “Alastu bimahbubikum?” (Bukankah Aku ini yang kau cintai?), kerana perkataan “Rabb” juga berkaitan dengan perkataan “tarbiyah” (didikan, menjaga), dan tidak ada tarbiyah tanpa ada rasa cinta. Dan kita menjawab “balaa syaahidna” (Benar, Engkaulah Tuhan kami).
  • Allah 'Azza wa Jalla berfirman melalui hadith qudsi: “Wahai anak Adam, janganlah kamu takut terhadap yang memiliki kekuasaan selama mana kekuasaanKu kekal. Dan kekuasaanKu tidak akan luput selamanya.Wahai anak Adam, jangan takut daripada kesempitan rezeki, sedangkan khazanahKu melimpah ruah, dan khazanahKu tidak akan habis selamanya. Wahai anak Adam, Aku ciptakanmu untuk beribadah maka janganlah bermain-main dan Aku telah menjaminkan bagimu rezekimu maka janganlah merasa letih. Maka demi kemuliaanKu dan ketinggianKu, jika engkau redha dengan apa yang Aku peruntukkan untukmu, maka hati dan badanmu akan merasa tenang dan engkau akan menjadi mulia di sisiKu. Dan jika engkau tidak redha dengan apa yang Aku peruntukkan untukmu, maka demi kemuliaanKu dan ketinggianKu, akan Aku arahkan dunia untuk menguasaimu, sehingga engkau mengejar dunia sepertimana binatang buas berlari di darat. Kemudian tiada bagimu daripada bahagian dunia kecuali apa yang Aku peruntukkan bagimu. Wahai anak Adam, Aku telah ciptakan langit dan bumi, dan Aku tidak merasa letih menciptakannya, maka apakah Aku akan merasa letih untuk memberikan sekeping roti untuk menampung kehidupanmu? Wahai anak Adam, jangan meminta kepadaKu rezeki esok hari sepertimana Aku tidak menuntut daripadamu amalan esok hari. Wahai anak Adam, Aku mencintaimu maka oleh kerana itu jadilah engkau orang yang mencintaiKu.” Syeikh Youssef hafizahullah mengatakan bahawa ini adalah hadiah daripada Allah. Maka terimalah.
  • Syeikh Youssef hafizahullah bertanya : “Ketika kita dilahirkan, apakah kita dilahirkan bersama kasut atau tanpa kasut?” Kami menjawab: “Tanpa kasut.” Syeikh Youssef berkata: “Dan apabila kita meninggal dunia, apakah kita akan membawa bersama kasut kita?” Kami menjawab: “Tidak.” Syeikh Youssef: “Jadi kenapa kita berkelahi hanya kerana kasut?” Penerangan: Syeikh Youssef hafizahullah menggunakan sebuah analogi yang mana kasut disini bererti material-material dunia. Apabila kita dilahirkan kita tidak didatangkan bersama material-material dunia, dan ketika kita meninggal pun kita tidak membawa bersama harta-harta kita. Ini menampakkan kepada kita bahawa kehidupan dunia ini hanya sementara dan tidak kekal. Maka mengapa kita terlalu fokus kepada kehidupan dunia?
  •  Syeikh Youssef hafizahullah juga ada mengongsikan beberapa kisah Nabi Ibrahim ‘alaihissalam dan keluarga Baginda ‘alaihimussalam yang diuji oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala untuk membuktikan kebenaran bahawasanya Nabi Ibrahim benar-benar berserah diri kepada Allah Ta’ala. Kisah ini berkaitan dengan surah Al-Baqarah ayat 131. Terjemahan ayat: Ketika Tuhannya berfirman kepadanya “Tunduk patuhlah.” Ibrahim menjawab: “Aku tunduk patuh kepada Tuhan semesta alam.” Maka untuk membuktikan kata-kata Nabi Ibrahim ‘alaihissalam, Allah Ta’ala telah memberikannya pelbagai jenis dugaan dan cubaan. Dan terbuktilah bahawasanya Nabi Ibrahim ‘alaihissalam benar-benar tunduk patuh dan berserah diri sepenuhnya kepada Allah Ta’ala. Dengan kisah ini, Syeikh Youssef hafizahullah membawa para hadirin untuk memikirkan apakah kita sudah cukup berserah kepada Allah? Beliau mengatakan “Surrender is to do what Allah likes, not what you like. This is the price of love.” (Berserah diri adalah melakukan apa yang Allah suka, bukan apa yang engkau suka. Ini adalah harga untuk sebuah cinta.)
  • If you want Allah to love you, be as Allah likes. Not what your desire likes. Don’t put conditions to Allah. (Jika kau mahu Allah mencintaimu, jadilah sepertimana yang Allah sukai. Bukan apa yang disukai oleh kehendak nafsumu. Janganlah meletakkan apa-apa kondisi kepada Allah Ta’ala.) 
  • Antara tausiah terakhir daripada Syeikh Youssef hafizahullah, beliau ada mengatakan “Negara kamu sangat-sangat memerlukan kamu. Jangan buang masa kamu. Kamu datang ke negara ini untuk menuntut ilmu.” 
Syeikh Youssef bersama dengan Sidi Luqman Al-Hakim hafizahumullah.
Wallahu Ta’ala a’laa wa a’lam. Mohon betulkan jika terdapat sebarang kesilapan.

Untuk melihat gambar-gambar pada majlis tersebut klik sini

Siri Pengenalan Kitab #2

بسم الله الرحمن الرحيم

كفاية الأخيار في حل غاية الاختصار


1)   BIODATA PENULIS:
Beliau ialah Taqiyuddin Abu Bakar bin Muhammad bin Abdul Mu’min rahimahumullaahu Ta’ala yang sampai nasabnya ke Ja’afar al-Sadiq bin Muhammad al-Baqir bin Zainil Abidin Ali bin al-Husain bin Ali bin Abi Thalib rahimahumullaahu ta’ala, al-Husaini al-Hisni ad-Dimashqi, yang masyhur dengan Taqiyuddin al-Hisni. Beliau dilahirkan di al-Hisnu iaitu sebuah perkampungan di Huran akhir tahun 752H.
Beliau merupakan seorang yang soleh zuhud wara’, suka mengasingkan diri dari orang ramai khususnya pada akhir hayatnya. Walaupun demikian, beliau adalah seorang yang lembut hatinya, periang dengan muridnya, suka pergi ke perayaan bersama muridnya, menggambarkan kesederhanaan hidup al-Imam rahimahullaahu ta’ala  .
Mengenai pendidikannya, al-Imam al-Hisni rahimahullaahu ta’ala telah berhijrah dari tempatnya iaitu al-Hisnu ke Damsyiq iaitu tempat kedua beliau yang juga dinasabkan kepada beliau. Beliau menetap di Madrasah Al-Badiraiyyah yang dipelopori oleh Imam Najmuddin Abdullah bin Muhammad al-Badiraie rahimahumullaahu ta’ala yang meninggal tahun 655H.
Beliau merupakan seorang yang tekun dan bersungguh-sungguh dalam menuntut dan mengaut ilmu dari para ulama-ulama di zaman beliau. Sehingga beliau menjadi seorang imam yang alim dalam ilmu Fiqh & Usul, bertasawwuf serta Aqidah.
Di antara guru-guru beliau :
1) Al-Imam Najmuddin Abu Al-Abbas rahimahullaahu Ta’ala.
2) Al-Imam Sadruddin Abu Al-Fadl rahimahullaahu Ta’ala. 
3) Al-Imam Shamsuddin Abu Abdullah rahimahullaahu Ta’ala. 

Berkenaan dengan murid-murid beliau pula, tidaklah disebutkan secara terperinci, akan tetapi diantara murid beliau yang masyhur ialah anak saudara beliau sendiri iaitu Imam Syamsuddin Abu Abdullah Muhammad bin Hasan bin Muhammad al-Hisni rahimahumullaahu Ta’ala. Beliau telah melazimi Imam Taqiyuddin Al-Hisni rahimahullaahu Ta’ala di dalam ibadah dan ber'uzlah.
Imam al-Hisni banyak menerima pujian serta pengiktirafan dari kalangan ulama-ulama besar sendiri. Di antaranya Imam Radhiuddin al-Ghuzzi rahimahullaahu ta’ala  pernah mengatakan bahawa: “ Syeikh adalah seorang imam alim, zuhud, wara’, bertaqwa dan soleh ”.
Imam al-Hisni rahimahullaahu ta’ala telah menghasilkan karya-karya yang bermanfaat dalam berbagai-bagai cabang ilmu seperti Fiqh, Hadith, Tasawwuf dan Aqidah.
Imam Al-Hisni rahimahullaahu ta’ala  telah kembali ke rahmatullah di Jami’ al-Mazzaz, daerah ash-Shaghur Damsyiq. Beliau wafat pada petang Selasa, 14 Jamadil Awal 829H. Adapun turut menyembahyangkan beliau ialah murid beliau iaitu Imam Shamsuddin Al-Hisni rahimahullaahu ta’ala. Beliau dikuburkan pada hari Rabu selepas fajar. Majlis pengebumian imam Al-Hisni rahimahullaahu ta’ala turut dihadiri oleh orang ramai yang tidak terhitung kecuali Allah Subhanahu Wa Ta’ala sahaja yang tahu, ini merupakan sesuatu yang ajaib kerana jauhnya tempat beliau dari orang ramai dan tidak diketahui ramai orang tentang kewafatannya.

2)   TENTANG KITAB:
Kitab ini diberi nama ( كفاية الأخيار في حل غاية الاختصار  ), karya al-Imam al-Faqih al-Muhaddith as-Syarif Taqiuddin Abu Bakar bin Muhammad bin Abdul Mu’min al-Hisni al-Husain ad-Dimashqi as-Syafie. Siap dikarang pada hari Juma'at 10hb Rabiul Awal  tahun 808 hijrah. Ianya merupakan kitab fiqh bagi Mazhab as-Syafie. Kitab ini adalah syarah bagi matan al-Imam Abi Syuja’ (433H-593H) rahimahullaahu ta’ala yang sangat terkenal di dalam dunia fiqh khususnya bagi fiqh Mazhab Syafie yang dikenali sebagai: “مختصر أبي شجاع”. Matan ini juga dikenali dengan dua nama,iaitu:
1.    متن الغاية والتقريب
2.    متن غاية الاختصار
Kitab ini merupakan perbahasan bagi ilmu fiqh seperti dalam bab bersuci, solat, zakat dan sebagainya.
Adapun pengarang, al-Imam al-Alamah Taqiuddin al-Hisni (752H-829H) rahimahullaahu ta’ala, mengarang kitab ini kerana beliau sangat-sangat menekankan bahawasanya ilmu fiqh ini sangat penting. Ini bolehlah dilihat di dalam muqaddimah kitab ini “خطبة الكتاب”. Beliau juga mendatangkan beberapa dalil mengenai kepentingan belajar ilmu fiqh.
Al-Imam al-Alamah Taqiuddin al-Hisni (752H-829H) rahimahullaahu ta’ala juga mengatakan bahawa dengan mengetahui, memahami dan mempelajari ilmu fiqh, kita akan terlepas dari kekeliruan di dalam syariat islam kerana dengannya akan menghindarkan diri dari was-was yang dibawa oleh syaitan. Selain itu,segala ibadah dan mu’amalat kita juga akan menjadi betul dan sah dengan mengetahui dan mempelajari ilmu fiqh.
Disamping itu beliau juga menyifatkan ilmu fiqh sebagai ilmu yang mulia dan sangat tinggi darjatnya kerana ia merupakan antara jalan menuju ke syurga Allah dan penghindaran dari belenggu api neraka.
Selain kitab ini merupakan antara kitab fiqh bagi Mazhab As-Syafie yang masyhur, ia juga banyak kali ditahqiq oleh para ulama. Malah kitab ini sering diajar dan dipelajari oleh para penuntut ilmu dari mula ia siap dikarang hinggalah ke hari ini.
Kitab ini juga seringkali dijadikan rujukan dalam permasalahan ugama serta mempunyai faedah yang sangat banyak. Ia diakui kehebatannya serta dipercayai ilmu-ilmu yang terkandung didalamnya kerana pengarangnya, al-Imam al-Alamah Taqiuddin al-Hisni (752H-829H) rahimahullaahu ta’ala merupakan salah seorang ulama yang muktabar. Kitab ini juga mudah untuk difahami dan senang untuk dipelajari.

3)   MANHAJ PENTAHQIQ KITAB:
Naskhah yang digunakan untuk sesi pengenalan ini ialah naskhah dari cetakan Daarul Minhaj, syarikat pencetakkan dari Beirut,Lubnan, dengan pentahqiq Abdullah bin Sumait dan Muhammad Syadi ‘Arbash. Kitab ini dicetak dalam satu jilid sahaja, dan mempunyai 775 mukasurat.
Kitab ini dicetak bersumberkan dari lapan buah nuskhah kitab Kifayatul Akhyar (كفاية الأخيار) antaranya ialah kitab asal bagi kitab ini iaitu kitab yang ditulis dengan tangan Al-Imam Al-Alamah Taqiuddin Al-Hisni (752H-829H) rahimahullaahu ta’ala sendiri.
Pentahqiq mendatangkan beberapa maklumat tambahan untuk dikongsikan di dalam kitab ini,seperti :
·         Maklumat mengenai nama kitab dan nisbahnya kepada pengarang.
·         Sejarah pentahqiqan kitab.
·         Kepentingan dan nilai kitab.
·         Manhaj pengarang di dalam mengarang kitab.
·         Masdar-masdar yang digunakan pengarang di dalam mengarang kitab.
·         Istilah-istilah (مصطلحات) yang digunakan oleh pengarang di dalam kitab.
·    Biodata pengarang, Al-Imam Al-Alamah Taqiuddin Al-Hisni (752H-829H) dan biodata pengarang matan, Imam Abi Syuja’ (433H-593H) serta beberapa ilmuan islam yang lain.
·         Manhaj serta rujukan pentahqiq di dalam menyusun kitab.
·         Gambar-gambar bagi kitab rujukan yang digunakan pentahqiq.
·         Rajah kadar timbangan, sukatan air, dan sukatan panjang dan lebar bagi setiap mazhab.
Dalam penyusunan isi kitab, pentahqiq mengasingkan matan yang disyarah dari  syarahnya. Matan al-Imam Abi Syuja’ (433H-593H) rahimahullaahu ta’ala terletak di bahagian atas kitab, dan syarah al-Imam Al-Alamah Taqiuddin al-Hisni (752H-829H) rahimahullaahu ta’ala pula terletak di bahagian tengah kitab. Adapun bagi matan yang terdapat didalam syarah diwarnakan dengan warna merah serta diberi tanda () bagi membezakannya dengan syarah.
Disamping setiap fasal dan furu’ di dalam kitab ini diberikan tajuk kecil, naskhah ini juga menjelaskan makna bagi setiap kalimah (غامضة) iaitu yang sukar untuk difahami. Memberikan nombor isyarat bagi setiap dalil, kalimah-kalimah yang memerlukan penjelasan, serta rujukan-rujukan untuk dijelaskan pada nota kaki yang terletak di bahagian bawah mukasurat.

4)   KEPENTINGAN KITAB SERTA NILAINYA:

1.    Kitab ini ialah kitab fiqh mazhab Syafie yang mana darjat kitab fiqh ini adalah darjat yang tertinggi  (الدرجة الاولى).

2.    Muallif kitab ini iaitu Imam Al-Hisni (752H-829H) rahimahullaahu Ta’ala banyak membahaskan dan menerangkan masalah-masalah fiqhiyyah, beliau mensyarahkan mengikut susunan matan “الغاية”.

3.    Muallif juga mengumpulkan dalil-dalil dan ta’lil-ta’lil bagi setiap permasalahan fiqhiyyah,dan ilmu fiqh ini ialah Asyraf Al-Ulum (أشرف العلوم) kerana ianya boleh membawa kepada syurga dan menghindari dari api neraka.

4.    Muallif menggunakan matan “غاية الإختصار أو مختصر أبي شجاع” untuk disyarahkan. Malah kitab beliau juga menjadi bahan penukilan ulama-ulama mazhab diantaranya:

·         Tentang permasalahan perniagaan yang mana pengusaha mendapati untung dari perniagaannya itu tidak mencukupi untuk menyara kehidupannya :adakah di bolehkan baginya untuk mengambil zakat secara mutlak? Imam al-Hisni (752H-829H) rahimahullaahu ta’ala menjelaskan dan bertanya kepada Imam Asy-Syihab ar-Ramli rahimahullaahu ta’ala dalam “فتاويه”  maka di jawab dan diterangkan kepada Imam al-Hisni (752H-829H) rahimahullaahu ta’ala  tentang hukum permasalahan ini.
·         Dan dinukil dari kitab ini oleh al-‘Allaamah al-Bujairami  rahimahullaahu ta’ala dalam “حاشية الإقناع” dalam “باب الأطعمة” tentang hukum memburu ikan yang dalam perutnya ada mutiara.
Bukan sahaja ulama-ulama mazhab Syafie bahkan ulama-ulama mazhab lain juga turut menukil seperti Imam A’lamah Ibnu A’bidin Al-Hanafi  rahimahullaahu ta’ala dan banyak lagi.
5.    Antara kepentingan kitab ini ialah pendapat شيخين iaitu Imam Nawawi (w. 676H) dan Imam Rafi’e (w. 623H) rahimahumallaahu Ta’ala. Ulama-ulama ini ialah ulama yang terkenal dalam mazhab Syafie. Apabila kedua Imam ini berikhtilaf maka pendapat yang muktamad yang akan diambil ialah pendapat Imam Nawawi (w. 676H) rahimahullaahu Ta’ala. Jika ada diantara salah satu pendapat diantara keduanya yang tarjih maka pendapat yang diambil ialah pendapat yang tarjih dan jika ada khilaf dalam kitab-kitab Imam Nawawi (w. 676H) rahimahullaahu Ta’ala  maka pendapat yang muktamad ialah mengikut susunan kitab-kitab beliau iaitu:
التحقيق ثم المجموع ثم التنقيح ثم الروضة ثم فتاواه ثم شرح مسلم ثم تصحيح التنبيه ثم نكت التنبيه





5)   KEISTIMEWAAN KITAB:
Kitab Kifayatul Akhyar mempunyai banyak keistemewaan, di antaranya ialah :
1.   Penerangan yang ringkas dan mudah:
Imam Al-Hisni (752H-829H) rahimahullaahu ta’ala menerangkan dengan ringkas. Sebagai contoh jika kita lihat dalam bab zakat, kita akan dapati banyak perkara yang tidak diterangkan dengan panjang lebar. Jika kita lihat lagi dalam bab talak yang mana ianya satu bab yang sangat luas, akan tetapi Imam al-Hisni (752H-829H) rahimahullaahu ta’ala membataskan dengan beberapa contoh sahaja.

2.   Kesinambungan dengan kitab "Raudhah at-Tholibin":
Ibarat-ibarat masalah serta furu’nya dan lafaz tarjih dalam kitab Kifayatul Akhyar sama seperti kitab Raudhah samada dari segi uslubnya dan khilaf dalam mazhab. Tapi kita tidak boleh mengatakan bahawa Imam al-Hisni (752H-829H) rahimahullaahu ta’ala mengikut kitab Raudhah seluruhnya tanpa mengubah sesuatu kerana sesiapa yang meneliti kitab Kifayatul Akhyar akan mengetahui dengan jelas bahawa kedua-dua kitab ini tidak sama. Di antara kitab-kitab Imam Nawawi (w. 676H) rahimahullaahu ta’ala, kitab Raudhah menjadi rujukan utama Imam al-Hisni (752H-829H) rahimahullaahu ta’ala.

3.   Mementingkan dalam menyebut dalil:
Di dalam setiap bab, kita akan dapati dalil-dalil dalam bab itu serta hujahnya samada dari Al-Quran, sunnah, ijma’ atau qiyas. Ini kerana Imam al-Hisni (752H-829H) rahimahullaahu ta’ala adalah seorang yg faqih dan muhaddith. Imam al-Hisni (752H-829H) rahimahullaahu ta’ala ada beberapa karangan dalam hadith, salah satunya ialah Takhrij Ahadith Al-Ihya (تخريج أحاديث الإحياء).

6)   RUJUKAN KITAB:
Kitab Kifayatul Akhyar mempunyai rujukan yang tidak kurang daripada 60 kitab rujukan. Di antaranya ialah:
·         الأم، للإمام محمد بن إدريس الشافعي
·         الرسالة، للإمام محمد بن إدريس الشافعي
·         الإفصاح، للإمام الطبري
·         إحياء علوم الدين، للإمام أبي حامد الغزالي
·         الوحيز، للإمام أبي حامد الغزالي
·         الوسيط، للأمام أبي حامد الغزالي
·         روضة الطالبين وعمدة المفتين، للإمام النووي
·         التذنيب، للإمام الرافعي

7)   BEBERAPA MUSTHALAH:                                   
Kebanyakan istilah-istilah yang terdapat didalam kitab "Raudhah" turut disebut didalam kitab ini. Jenis-jenis istilah yang disebutkan dalam kitab ini boleh dibahagikan kepada dua bahagian :
1.    Istilah-istilah yang dibuat oleh Imam Nawawi (w. 676H) rahimahullaahu ta’ala di dalam kitab-kitabnya seperti kitab Raudhah dan kitab Minhaj.

2.    Istilah-istilah yang disepakati oleh para fuqaha mazhab Syafi’e dalam perkara-perkara dan masalah-masalah yang tertentu.
Di antara istilah-istilah penting di dalam kitab Kifayatul Akhyar :
•  الإمام     : iaitu Imamul Haramain Abul Ma’ali Abdul Malik bin Abu Muhammad al-Juwayni (w. 478H) rahimahullaahu ta’ala.
•  القاضي : Al-Qadhi Hussein (w. 462) rahimahullaahu ta’ala.
•  الشيخان : yang bermaksud Imam Nawawi (w. 676H) dan Imam Rafi’e (w. 623H) rahimahumallaahu ta’ala.

8)   KANDUNGAN KITAB:
Al-Imam Taqiyyuddin al-Hisni (752H-829H) rahimahullaahu ta’ala membahagikan tajuk-tajuk Fiqh yang dibahaskan kepada 16 Kitab utama. Kitab-kitab tersebut ialah :
1.      كتاب الطهارة,
2.      كتاب الصلاة,
3.      كتاب الزكاة,
4.      كتاب الصيام,
5.      كتاب الحج,
6.      كتاب البيوع وغيرها من المعاملات,
7.      كتاب الفرائض والوصايا,
8.      كتاب النكاح وما يتعلق به من الأحكام والقضايا,
9.      كتاب الجنايات,
10.  كتاب الحدود,
11.  كتاب الجهاد,
12.  كتاب الصيد والذبائح والضحايا والأطعمة,
13.  كتاب السبق والرمي,
14.  كتاب الأيمان والنذور,
15.  كتاب الأقضية,
16.  كتاب العتق.
Antara sebab mengapa al-Imam Taqiyyuddin al-Hisni (752H-829H) rahimahullaahu ta’ala menggunakan ‘Kitab’ sebagai manhaj beliau adalah :
1.   Mengikut manhaj ‘ulama Hadith:
Al-Imam al-Bukhari (w. 256H) rahimahullaahu ta’ala dan al-Imam Muslim (w. 261) rahimahullaahu ta’ala, dua ‘ulama terbesar hadith, menggunakan manhaj dengan membahagikan tajuk-tajuk utama mengikut ‘Bab’ atau ‘Kitab’. Al-Imam Taqiyyuddin Al-Hisni (752H-829H) rahimahullaahu ta’ala lebih cenderung untuk menggunakan ‘Kitab’ sebagai manhaj beliau.
Kitab’ bermaksud satu nama bagi suatu ilmu yang khusus yang mengandungi bab, fasal dan masalah kebanyakannya. Bagi kitab Kifayatul Akhyar, muallif membahagikan mengikut Kitab, kemudian Fasal, kemudian Furu’, Masalah, Faedah dan Tanbih.
2.   Adab atau Seni dalam penulisan:
Menyusun tajuk-tajuk atau ilmu mengikut susunan yang tertib adalah salah satu adab dan manhaj dalam penulisan. ‘Ulama terdahulu masyhur dengan adab mereka dalam kehidupan sehari-hari. Adab bukan sahaja ketika menuntut ilmu, bahkan dalam kehidupan sehari-hari. Antara hikmahnya, adalah agar kita dapat mencontohi para ‘ulama terdahulu agar dapat meraih keberkatan dalam setiap perkara.

3.   Kesenangan dalam merujuk:
Keperluan untuk menulis dan membukukan sesuatu ilmu dianggap sebagai suatu keperluan yang darurat. Ini adalah kerana ilmu yang dibukukan itu, bukan sahaja akan menjadi sumber rujukan para penuntut ilmu di masa ianya dibukukan, bahkan akan menjadi sumber rujukan bagi masa akan datang.

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم
والحمد لله رب العالمين


Disediakan oleh :
Hazwan Bin Hj Salim
Muhammad Nur Hidayat Bin Meraji
Muhammad Qistie Bin Dzulkefdi
Ak. Saiful Khairul Zulkefly Bin Pg Liudin
Ak. Muhd. Wafiuddin Bin Pg. Hj Zulkarnain
Mohammad Noor Amiruddin Bin Hj Ismail

Disemak oleh :
Hilman Bin Hj Salim