Sunday, October 26, 2014

Majlis Intikhabat AJK BKPBDK Sesi 2014/2015



Ahad, 26hb Oktober 2014M - Telah berlangsung acara rasmi bagi Majlis Intikhabat Ahli Jawatankuasa Badan Kebajikan Penuntut Brunei Darussalam di Kaherah, bertempat di Surau bangunan Darussalam, tempat kediaman penuntut-penuntut Negara Brunei Darussalam.

Tujuan majlis ini diadakan adalah bagi melantik ahli jawatankuasa BKPBDK baru bagi sesi pengajian 2014/2015M berdasarkan keputusan undian warga BKPBDK bagi calon-calon yang ditetapkan, sekaligus menggantikan ahli jawatankuasa BKPBDK sesi 2013/2014M.

Tetamu Kehormat pada majlis tersebut adalah Yang Mulia Tuan Haji Mohammad Hisyam bin Haji Maidin, Pegawai Ataci Pelajaran di Pejabat Kedutaan Besar Negara Brunei Darussalam di Kaherah, Republik Arab Mesir.

Majlis dimulakan selepas ketibaan Tetamu Kehormat Majlis dengan bacaan Surah Al-Faatihah yang dibacakan oleh Ketua Unit Agama dan Akhlak sesi 2013/2014M, Ustaz Hazwan bin Haji Salim, dan diikuti dengan ucapan daripada Pengerusi Majlis, Ustaz Haji Muhammad Farid bin Haji Mohammad Yasin. 

Di antara ucapan yang disampaikan adalah berupa nasihat agar pengalaman sebagai pemimpin ini dijadikan bimbingan yang baik, sentiasa bertanggungjawab dan tolong-menolong antara satu dengan yang lain serta sentiasa bersifat kepimpinan.

Seterusnya Presiden BKPBDK sesi 2013/2014M, Ustaz Mohammad Baihaqi @ Mohammad Bazli bin Haji Bidin, dijemput untuk memberi sedikit ucapan. 

Beliau menyifatkan pengalaman sebagai presiden ada pahit dan juga manisnya. Oleh itu beliau menasihatkan supaya barisan ahli jawatankuasa sentiasa patuh dan memberi kerjasama yang padu.

Mewakili barisan ahli jawatankuasa BKPBDK sesi 2013/2014M, beliau mengucapkan terima kasih kepada yang banyak membantu, membimbing serta di atas kerjasama yang diberikan. Seterusnya beliau mengucapkan tahniah bagi barisan ahli jawatankuasa BKPBDK baru yang bakal dilantik.

Tetamu Kehormat Majlis, Tuan Haji Hisyam bin Haji Maidin, kemudian dijemput untuk turut memberikan ucapan. Antara lain beliau mengingatkan para mahasiswa dan mahasiswi yang bakal dilantik untuk tidak menganggap tugas yang diberi sebagai suatu bebanan atau igauan, tetapi sebagai cabaran dan pengalaman sebagai bekalan sesudah di alam pekerjaan nanti. 

Tetamu Kehormat majlis semasa menyampaikan ucapan dan kata-kata nasihat.
Beliau turut berterima kasih kepada barisan ahli jawatankuasa sesi 2013/2014M kerana telah berjaya melaksanakan amanah dan tanggungjawab serta mengucapkan tahniah kepada barisan ahli jawatankuasa baru yang bakal diumumkan kerana terpilih dan diberikan kepercayaan menjalankan tugas.

Majlis Intikhabat pada hari tersebut merupakan sesi yang kedua. Manakala sesi yang pertama pula dilangsungkan pada hari sebelumnya iaitu hari Sabtu, 25hb Oktober. Hari sesi pertama merupakan waktu untuk menghantar undian untuk memilih tiga calon tertinggi bagi ahli Jawatankuasa BKPBDK seperti berikut:
  • Presiden
  • Naib Presiden
  • Setiausaha Agung I
  • Setiausaha Agung II
  • Bendahari Agung I
  • Bendahari Agung II
  • Ketua dan Naib Ketua Unit Agama dan Akhlak
  • Ketua dan Naib Ketua Unit Pelajaran dan Penerangan
  • Ketua dan Naib Ketua Unit Kebajikan dan Kemasyarakatan
  • Ketua dan Naib Ketua Unit Media dan Publisiti



Tiga orang calon yang mendapat undian tertinggi bagi setiap jawatan tertinggi dan jawatan ketua dan naib ketua unit-unit pada hari tersebut dipilih untuk diundi semula pada waktu sebelah malam.

Acara Majlis Intikhabat bagi sesi kedua kemudiannya diteruskan dengan pengumuman keputusan undian bagi enam ahli jawatankuasa tertinggi BKPBDK. Berikut adalah keputusan yang diumumkan berdasarkan undian:

Presiden: Ustaz Mohammad Thaqif bin Haji Baha
Naib Presiden: Ustazah Nur Afiqah binti Boestaman

Setiausaha Agung I: Ustaz Nurhazmie bin Haji Razali
Setiausaha Agung II: Ustazah Saadatu Safwana binti Mohammad Salleh

Bendahari Agung I: Ustaz Haji Mohammad Farid bin Haji Mohammad Yassin
Bendahari Agung II: Ustazah Nurul Adilah binti Haji Abu Bakar

Majlis kemudian diteruskan dengan pengumuman keputusan undian bagi setiap jawatan Ketua dan Naib Ketua bagi setiap Unit di bawah naungan BKPBDK. Berikut adalah keputusan undian yang diumumkan:

Ketua Unit Agama dan Akhlak: Ustaz Muhammad Ammar Fashan bin Ahmad
Naib Ketua Unit Agama dan Akhlak: Ustazah Nur Intan Aqilah binti Haji Abdul Razak

Ketua Unit Pelajaran dan Penerangan: Ustaz Ak. Muhammad Muzhaffar bin Pg. Haji Rusjdi
Naib Ketua Unit Pelajaran dan Penerangan: Ustazah Nurul Haziyah binti Haji Zakaria

Ketua Unit Kebajikan dan Kemasyarakatan: Ustaz Muhammad Aisamuddin bin Haji Selaman
Naib Ketua Unit Kebajikan dan Kemasyarakatan: Ustazah Faqiihah @ Nurul Hafizah binti Haji Suleiman

Ketua Unit Sukan dan Kesihatan: Ustaz Mohammad Fathi bin Haji Hassan
Naib Ketua Unit Sukan dan Kesihatan: Ustazah Faaiqah @ Nurul Faizah binti Haji Suleiman

Ketua Unit Media dan Publisiti: Ustaz Mohammad Afif bin Haji Japar
Naib Ketua Unit Media dan Publisiti: Ustazah Munirah binti Haji Ibrahim

Presiden BKPBDK yang baru menandatangani kontrak yang
disaksikan oleh Tetamu Kehormat dan Mantan Presiden.

Selesai pengumuman, majlis kemudian diteruskan dengan acara Pembubaran Rasmi Ahli Jawatankuasa BKPBDK Sesi 2013/2014M. 

Acara disempurnakan oleh setiap mantan jawatan tertinggi dan jawatan setiap unit sesi 2013/2014M, dengan penyampaian fail-fail kepada ahli-ahli Jawatankuasa BKPBDK baru sesi 2014/2015M. Seterusnya, Tetamu Kehormat Majlis menyampaikan sijil-sijil penghargaan kepada Ahli Jawatankuasa BKPBDK Sesi 2013/2014M.

Acara diteruskan dengan penyampaian cenderahati kepada Tetamu Kehormat Majlis, Yang Mulia Tuan Haji Hisyam bin Haji Maidin oleh Pengerusi Majlis Intikhabat Ahli Jawatankuasa BKPBDK Sesi 2014/2015M, Ustaz Haji Muhammad Farid bin Haji Mohammad Yasin.

Kemudian majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat yang dibacakan oleh Ustaz Muhammad Ammar Fashan bin Ahmad, Ketua baru Unit Agama dan Akhlak sesi 2014/2015M.

Para warga BKPBDK mengucapkan tahniah kepada barisan ahli jawatankuasa baru kerana diberi kepercayaan menjalankan tugas dengan cemerlang serta mendoakan semoga dipermudahkan segala urusan dan tugas sebagai pemimpin. Mudah-mudahan pengalaman ini boleh dijadikan sebagai satu motivasi buat diri sendiri dan satu inspirasi buat yang lain.


Barisan AJK sesi 2014/2015

Barisan AJK 2013/2014


Monday, October 20, 2014

Minggu Taaruf 2014M

Program Minggu Ta’aruf 2014


Program Minggu Ta’aruf adalah tindakan awal atau tunjuk ajar pertama yang diberikan oleh pihak BKPBDK dalam membantu pelajar yang baru pernah menjejakkan kaki ke Bumi Mesir. Ia bertujuan bagi membiasakan pelajar baru tersebut dengan budaya dan cara hidup di Negara Mesir.

Seterusnya kita ikuti perjalanan Program Minggu Ta’aruf 2014 yang dijalankan selama 7 hari tujuh malam berturut-turut:

Isnin - 13hb Oktober 2014, merupakan hari pertama bagi Mustagidin dan Mustagidat (pelajar baru) sesi 2014 menjejakkan kaki ke bumi mesir. Kedatangan mereka ke Bangunan Darussalam disambut oleh para senior yang telah ditugaskan. Kemudian mereka dijemput untuk menikmati jamuan yang telah disediakan di Mini Hall Banggunan Darussalam.

Menjejakkan kaki di bumi Mesir buat kali pertama.

Setelah selesai menunaikan Solat Jama’ Ta'khir di Surau Darussalam, mereka diarahkan untuk berkumpul bagi pembahagian Syaqah (tempat tinggal) sementara dan pembahagian Musyrif atau Musyrifah (Pembimbing) yang akan memimbing mereka sepanjang Program Minggu Ta’aruf. 

Dalam pada itu, sebanyak 10 Syaqah dikhaskan bagi para Mustagidin dan sebanyak 8 Syaqah bagi para mustagidat. Sementara 5 orang Musyrif dikhususkan bagi Mustagidin dan 9 orang Musyrifah bagi Mustagidat.

Pada hari yang sama jam 6:30 malam diadakan majlis Pembukaan Program Minggu Ta’aruf, menandakan Program Minggu Ta’aruf telah pun bermula. Pengerusi bagi Program Minggu Ta’aruf bagi sesi 2014 ialah Mohammad Hairul Nizam bin Mohammad dan Naib Pengerusinya ialah Hajah Siti Mazidah binti Haji Mohd Yussof dibantu oleh beberapa Ahli Jawatan Kuasa yang terpilih.




Selasa - 14hb Oktober 2014, Para Mustagidin dan Mustagidat dikehendaki untuk menghadiri kelas Ammi (bahasa pertuturan yang diguna-pakai di Negara Mesir) yang disampaikan oleh beberapa senior mahir berbahasa Ammi. 

Mereka juga diberikan Taklimat daripada AJK Program Rehlah (lawatan) yang diketuai oleh Pengerusi Md. Alif bin Nordin dan Siti Safiyyah binti Haji Salim selaku Naib Pengerusi Program Rehlah 2014. Akhir sekali mereka diberikan Taklimat dari pihak Kedutaan Negara Brunei Darussalam.

Rabu - 15hb Oktober 2014, Selesai sahaja para Mustagidin, Mustagidat dan beberapa Ahli Jawatan Kuasa yang terlibat menikmati sarapan pagi di Mini Hall, Aktiviti Rehlah pun dijalankan bermula jam 7:00 pagi dengan menaiki 2 buah bas sewa khas. Aktiviti ini dijalankan di kawasan Kaherah dimulai dengan kawasan Anwar Sadat, seterusnya Qalaah (kubu pertahanan) Salahuddin Al-Ayubi yang terdapat di dalamnya masjid, penjara tawanan, kawasan latihan askar di bawah tanah dan sebagainya. Diikuti dengan Masjid dan Makam Imam Syafie, Piramid, Panorama, Faluqa dan akhir sekali ke IKEA Tajammuk Khamis.



Khamis - 16hb Oktober 2014, Aktiviti Rehlah diteruskan lagi di kawasan Alexandria yang mengambil masa kira-kira 3 jam untuk menuju ke sana. 

Kira-kira pada jam 10:00 pagi mereka sudahpun tiba di Qait bay. Ia terletak di tepi pantai dan jika diperhatikan dari jauh ianya kelihatan seperti sebuah istana pasir yang besar dan indah. 

Aktiviti rehlah ini berakhir di Pantai Muntazah dan seperti pantai yang ada di negara lain, pantai ini juga memiliki taman dan terdapat ramai penjaja yang berniaga berhampiran pantai tersebut. Lawatan ini berakhir sebelum Solat Fardhu maghrib.



Jumaat - 17hb Oktober 2014, setelah selesai menunaikan Solat Fardhu Asar berjemaah, diadakan Perlantikan Ahli Jawatan Kuasa bagi Majlis Penutup Program Minggu Ta’aruf yang hasilnya Ak Ahmad Faris Ramadhani Bin Pengiran Haji Sallehuddin dinobatkan sebagai Pengerusi dan Nur Fairuza Syahira Binti Hj Marsidi sebagai naib Pengerusi. Masing-masing mengambil jurusan yang sama di Ma’ahad Qiraat Al-Azhar Shoubra. Mereka bertanggungjawab membahagikan tugas kepada Mustagidin dan Mustagidat yang lain.

Sabtu - 18hb Oktober 2014, Pada jam 9:00 pagi kesemua Mustagidin dan Mustagidat dibawa oleh Musyrif dan Musyrifah untuk meninjau dan melawat Universiti Al-Azhar dan ma’ahad Qiraat Shoubra

Hari ini juga merupakan hari yang mencabar bagi para Mustagidin dan Mustagidat kerana buat pertama kalinya mereka diberikan tanggungjawab sepenuhnya untuk mengendalikan majlis di Mesir. Diantaranya ada yang memasak, membersihkan surau dan Mini hall dan membeli barang keperluan bagi persediaan Majlis Penutup Program Minggu Ta’aruf 2014.

Ahad - 19hb Oktober 2014, Para Mustagidin dan Mustagidat diberikan peluang untuk bergotong royong dan membuat persediaan terakhir bagi Majlis Penutup Program Minggu Ta’aruf 2014.

Majlis Penutup Minggu ta’aruf dimulakan pada jam 7:00 malam dengan Bacaan Doa dan  beberapa persembahan seperti Persembahan Tausyeh, Sesi Perkongsian dan persembahan Syair Arab. Majlis ini diakhiri dengan jamuan makan malam.



Allhamdulillah segala puji bagi Allah kerana dengan izin dan inayahnya jua Program Minggu Ta’aruf 2014 dan Majlis Penutup Minggu Ta’aruf dapat berjalan dengan lancar sesuai keinginan dan kehendak. 

Diucapkan jutaan terima kasih kepada yang terlibat dalam sama-sama menjayakan Program minggu Ta’aruf 2014 terutama kepada Ahli Jawatan Kuasa Rehlah 2014 kerana bijak dalam mengatur destinasi yang menakjubkan sepanjang Aktiviti Rehlah dijalankan. Berkat bimbingan dan tunjuk ajar serta pengisian Aktiviti Program Minggu ta’aruf kami dapat membiasakan sedikit demi sedikit dengan kehidupan di Mesir.



Mustagidin dan Mustagidat Sesi 2014/2015
Barakallahu fikum wa jazakumullahu khairan fid-darain…


Klik sini dan sini untuk lebih banyak gambar!

Untuk video, klik sini.




Sunday, October 5, 2014

Majlis Ibadah Korban

5HB OKTOBER 2014 - Bulan Zulhijjah merupakan bulan yang tidak asing lagi dengan perayaan besar umat Islam, iaitu Hari Raya Aidiladha. Di samping merayakan hari kebesaran Islam ini, warga BruCai tidak lupa untuk mengadakan majlis ibadah korban yang merupakan antara tuntutan syarabagi umat Islam. 

Adapun tujuan majlis tersebut diadakan adalah untuk memperingati pengorbanan Nabi Ibrahim dalam menuruti perintah Allah untuk mengorbankan anaknya Nabi Ismail dalam memenuhi perintah Allah Subhanahu Wa Taala.

Sebelum penyembelihan dijalankan.

Majlis bermula kira-kira pukul 8 pagi dengan penyembelihan kambing pertama yang dilakukan oleh Ustaz Zaki. Ini bertujuan untuk memperlihatkan kepada penuntut cara-cara penyembelihan yang betul. Setelah itu, barulah para mahasiswa mula menyembelih binatang korban mengikut kumpulan yang telah ditetapkan sebelum majlis bermula. 

Suasana luar bangunan Darussalam.

Dari sini, para mahasiswa berpeluang untuk untuk menimba pengalaman menyembelih binatang korban. Penyembelihan mereka diawasi oleh para pengajar yang berpengetahuan. Manakala para mahasiswi memotong dan membahagikan daging-daging korban untuk diagih-agihkan.

Daging dipotong dan dibahagikan sebelum diagih-agihkan.


Untuk makluman, sebanyak sepuluh ekor kambing dan dua ekor kerbau yang dijadikan binatang korban dalam majlis ini.

Selepas solat fardhu Zuhur, daging-daging korban mula diagihkan (tauzi) oleh para mahasiswa, iaitu 1/3 kepada kaum fakir miskin, 1/3 kepada kaum keluarga dan 1/3 lagi diberikan kepada pemilik binatang korban.

Manakala para mahasiswi telah bekerjasama untuk memasak daging-daging korban untuk dihidangkan kepada semua warga BruCai selepas solat Maghrib.

Kesimpulannya, Alhamdulillah majlis ini berjalan dengan lancar dengan izin Allah Subhanahu Wa Taala berkat kerjasama semua mahasiswa dan mahasiswi BruCai yang memberi komitmen yang tinggi bagi menjayakan majlis ini.