Friday, November 27, 2015

PROGRAM MINGGU TA’ARRUF MUSTAGIDIN DAN MUSTAGIDAT 2015



Rehlah hari pertama: Makam Anwar Sadat

Seperti lazimnya, Program Minggu Ta’arruf Mustagidin dan Mustagidat diadakan setiap tahun bagi menyambut kedatangan Para Mahasiswa dan Mahasiswi yang baru sahaja menjejakkan kaki di bumi Al-Azhar.

Adapun program Minggu Ta’arruf kali ini dijalankan selama sebelas hari, bermula dari 8hb Oktober 2015M hingga 18hb Oktober 2015 tahun ini. Aktiviti-aktiviti yang telah dianjurkan adalah seperti berikut:

Hari Pertama:

Hari pertama program ini dimulakan dengan Solat Maghrib berjemaah dan diselajurkan dengan perkumpulan Usrah Brucai di Surau Darussalam yang mana aktiviti ini selalunya diadakan pada malam Juma’at. Setelah Solat Isyak pula, aktiviti seperti sesi suai kenal, ‘Ice breaking’ dan Qiyamullail diadakan bagi menghidupkan hari pertama Program Minggu Ta’arruf.


Hari Kedua:

Hari kedua program ini pula disambung dengan ‘Morning Walk’ pada pagi hari Jumaat.

Hari Ketiga:

Hari ketiga pula diadakan Majlis Kongsisama daripada para pelajar senior BruCai. Para senior BruCai yang terlibat dalam memberikan kongsisama bagi pelajar lelaki ialah Ustaz Hilman bin Hj Salim, Ustaz Md Nazerul Wafiq bin Hj Hussin, Ustaz Muhd Husen bin Hj Ibrahim, Ustaz Nurhazmie bin Hj Razali, Ustaz Md Adham bin Hashim, Ustaz Ak Ahmad Hasanuddin bin Pg Hj Tejuddin dan Ustaz Muhd Thaqif bin Hj Baha. Manakala penyampai kongsisama bagi pelajar perempuan ialah Nurul Munirah bte Awg Jumat dan Siti Nurul Hazwani bte Hj Md Yussof. Dalam kongsisama mereka, mereka memberikan pelbagai nasihat dan tunjuk ajar yang bermanfaat bagi pelajar-pelajar baru.

Hari Keempat:
Hari keempat pula disambung dengan aktiviti riadhah, iaitu permainan Futsal bagi pelajar lelaki danNetball bagi pelajar perempuan. Para pelajar senior juga turut serta dalam memeriahkan acara ini

Hari Kelima:

Hari kelima pula dianjurkan Kelas Bahasa Arab ‘Ammi bagi memberikan sedikit tunjuk ajar kepada para pelajar baru untuk memudahkan komunikasi seharian mereka dengan penduduk-penduduk Mesir. Tenaga pengajar bagi kelas ini ialah terdiri daripada pelajar senior BruCai iaitu Ustaz Muhd Husen bin Hj Ibrahim dan Ustazah Hamizah bte Hj Mintir.

Hari Keenam:

Hari keenam pula diadakan taklimat keselamatan dari Tuan Haji Daud bin Hj Johari (Setiausaha 1, Kedutaan Besar Negara Brunei Darussalam) dan Ustaz Sirimi bin Haji Jamali (Pegawai Kesejahteraan). Dalam taklimat tersebut, mereka memberikan sedikit peringatan kepada para pelajar baru mengenai keselamatan mereka selama mereka berada di Mesir.

Hari Ketujuh:

Qal'ah Salahuddin Al-Ayubi
Hari ketujuh pula ialah hari yang amat dinantikan oleh semua pelajar baru dan sebahagian para pelajar senior yang turut serta, iaitu Rehlah Cairo. Rehlah ini merangkumi lawatan ke destinasi yang lazimnya dituju di Kawasan Kaherah. Tempat-tempat lawatan adalah Makam Anwar Sadat, Qal’ah Salahuddin Al-Ayubi, Masjid Imam Syafi’e, Piramid (Giza), Sungai Nil (Falukah) dan Tajammu’ Khamis (IKEA).

Hari Kelapan:

Pada hari yang kelapan, para pelajar baru diberikan peluang untuk membuat persiapan bagi Majlis Penutup Minggu Ta’arruf 2015 yang diadakan di hari kemuncak Program Minggu Ta’arruf ini, yang mana majlis ini diberikan tanggungjawab sepenuhnya kepada mereka.

Hari Kesembilan:

Di hadapan Masjid Sayyidah Nafisah
Hari kesembilan juga merupakan hari yang dinanti-nantikan oleh para pelajar baru, iaitu Rehlah Islamiyyah. Pada hari tersebut, para pelajar berpeluang untuk menziarahi masjid-masjid yang terkenal di mesir dan juga makam-makam. Tempat-tempat yang dituju ialah: Masjid Amru bin Al-Ash, Masjid Sayyidah Nafisah, Masjid Sultan Hassan/4 Madzhab, Masjid Imam Rifa’I, Makam Imam As-Suyuti, Makam Ibnu Atoillah Al-Iskandary, Makam Syekh Asrof Ar-rifa’i Al-Husaeny dan Makam Abu Zamroh. Segelintir para pelajar senior juga turut serta dalam lawatan ini.

Hari Kesepuluh:
Pada hari yang kesepuluh pula, para pelajar baru sekali lagi diberikan peluang terakhir untuk membuat persiapan agar Majlis Penutup Minggu Ta’arruf yang dijalankan oleh mereka berjalan dengan lancar dan teratur.

Hari Kesebelas:
Hari yang terakhir ini merupakan hari kemuncak Program Minggu Ta’arruf 2015, iaitu Majlis Penutup Minggu Ta’arruf 2015 dan diteruskan dengan Majlis Penutup Tirai Badan Kebajikan Penuntut Brunei Darussalam di Kaherah 2014/2015. Tetamu Kehormat dalam Majlis ini ialah Tuan Yang Terutama Haji Abdul Kahar bin Haji Hussin, Duta Besar Negara Brunei Darussalam ke Republik Arab Mesir.

Dengan adanya Program Minggu Ta’arruf bagi Mustagidin dan Mustagidat ini, ianya sedikit sebanyak dapat membantu dan memberikan manfaat yang berharga kepada mereka selama program ini dijalankan. Adapun objektif program ini diadakan adalah bagi memberikan sedikit tunjuk ajar kepada mereka dalam mengharungi dan menyesuaikan diri dalam kehidupan seharian yang baru di luar negara. Juga membina hubungan silaturrahim antara pelajar baru dan warga Brucai.

tekan sini untuk gambar selebihnya: