Thursday, March 17, 2016

MAJLIS SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM YANG KE- 32


Disediakan oleh:
Muniratussafiah bte Hj Jauhar
Ahli Unit Media Dan Publisiti
Badan Kebajikan Penuntut Brunei Darussalam D Kaherah sesi 2015/2016



Gambar ramai bersama mahasiswa NBD di Kaherah, Mesir


 “Generasi Berwawasan” adalah tema Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam kali ke-32. Alhamdulillah, pada tahun ini kami berkesempatan lagi menyambut Hari Kebangsaan di perantauan yang berlangsung di Hotel Marriott, Zamalek, Mesir pada hari Selasa, 23 Februari 2016.

Gambar ramai bersama mahasiswi NBD di Kaherah, Mesir

Adapun majlis ini diadakan pada setiap tahun bagi meraikan hari kemerdekaan Brunei Darussalam. Hadir pada majlis ini Tuan Yang Terutama Haji Abd Kahar bin Haji Hussin, Duta Besar Negara Brunei Darussalam di Kaherah, Mesir, diikuti dengan para pegawai kedutaan dan penuntut-penuntut Brunei di Kaherah, Mesir. Turut hadir, Dr. Mohamed Game'ah, wakil peribadi Sheikh Ahmed el-Tayeb, Imam besar al-Azhar, serta dimeriahkan lagi dengan kehadiran duta-duta dari negara lain.


 Acara dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan Brunei “Allah Peliharakan Sultan” dan lagu kebangsaan Mesir. Bagi memeriahkan lagi sambutan Hari Kebangsaan Brunei Darussalam pada tahun ini, satu dendangan nasyid telah  dijayakan oleh mahasiswi-mahasiswi tahun 1 yang berjudul “Rahmani Rahim Allah” dan “Ya Allah Ya Rahman“.

Acara kemudiannya dimeriahkan lagi dengan persembahan hadrah dari mahasiswa-mahasiswa Tahun 1, dan ditutup dengan gabungan unik nyanyian Lagu patriotik dan deklamasi sajak. Lagu Patriotik tersebut bertajuk “Merdeka Brunei Darussalam & Brunei Bumi Bertuah” manakala sajak pula nukilan Abdullah Tahir, “Wira Bangsa”, telah dipilih untuk dipersembahkan pada malam majlis tersebut, sesuai dengan tema Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam pada tahun ini.

gambar selebihnya, klik sini:

Sunday, March 13, 2016

Majlis Doa Kesyukuran Sempena Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Kali Ke-32



Disediakan oleh:
Nor Shahira bte Sawal
Ahli Unit Media Dan Publisiti
Badan Kebajikan Penuntut Brunei Darussalam Di Kaherah sesi 2015/2016



Alhamdulillah, dengan IzinNya jua, Majlis Doa Kesyukuran sempena memperingati Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Kali Ke-32  telah diadakan pada hari Isnin, 22hb Februari 2016M bersamaan dengan 15hb Jamadilawal 1437H yang bertempat di kediaman Duta Besar Negara Brunei Darussalam, yang mana majlis ini turut dihadiri oleh Yang Mulia Tuan Yang Terutama Tuan Hj Abdul Kahar Bin Hj Hussin, Duta Besar Negara Brunei Darussalam serta keluarga, para pegawai kedutaan serta keluarga dan mahasiswa-mahasiswi yang menuntut di Kaherah, Mesir.

Majlis dimulakan dengan Sembahyang Fardhu Maghrib dan sembahyang hajat berjemaah yang telah diimamkan oleh Ketua Unit Agama Dan Akhlak Sesi 2015/2016M, Ustaz Ak. Ahmad Faris Ramadhani Bin Pg Hj Sallehuddin, disusuli dengan bacaan surah Yassin beramai-ramai, doa hajat dan kesyukuran. Manakala doa hari kebangsaan dipimpin oleh  Yang Mulia Ustaz Hj Hisyam Bin Haji Maidin, Pegawai Ataci Pelajaran dan Kebudayaan Kedutaan Besar Negara Brunei Darussalam di Kaherah, Mesir.

 Majlis kemudian diteruskan dengan menunaikan Sembahyang Fardhu Isyak berjemaah yang diketuai oleh Ustaz Abu Hurairah Bin Ariffin. Selepas sembahyang Isyak, majlis dilanjutkan lagi dengan menikmati pelbagai juadah yang telah disediakan oleh pihak kedutaan.
Bagi menyemarakkan lagi suasana, majlis dmeriahkan dengan berbagai persembahan menarik dari para mustagid dan mustagidah iaitu persembahan Nasyid “Rahmani Rahim Allah” dan “Ya Allahu Ya Rahman”, persembahan hadrah lagu ”Adai-adai Brunei”,  deklamasi sajak “Wira Bangsa”  dan nyanyian lagu patriotik “Brunei Bumi Bertuah” dan “Merdeka Brunei Darussalam”.

Alhamdulillah, majlis ini diadakan bertujuan untuk memanjatkan doa dan rasa bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wataala di atas limpah kurniaNya ke atas Negara kita yang tercinta, Negara Brunei  Darussalam. Dengan adanya majlis seperti ini, semoga Negara kita akan sentiasa berada di bawah perlindungan Allah Subhanahu Wa Taala. Amin…
gambar selebihnya, klik sini

KELAS FOTOGRAFI 2016


Disediakan Oleh:
Siti Nuramirah Syafiqah Bte Muhd Juhari
Naib Ketua Unit Media Dan Publisiti
Badan Kebajikan Penuntut Brunei darussalam Di Kaherah sesi 2015/2016




Buat pertama kalinya kelas fotografi diadakan anjuran Unit Media Dan Publisiti, Badan Kebajikan Penuntut Brunei Darussalam Di Kaherah pada 26 Januari 2016, Hari Selasa yang lalu yang diadakan di Minihall, Imarah Darussalam.
Adapun tujuan kelas fotografi ini diadakan bagi mengisi masa lapang penuntut-penuntut Brunei di Kaherah semasa cuti semester. Dengan kelas fotografi ini juga, penuntut-penuntut boleh menambah ilmu tentang fotografi dan boleh mengasah bakat setiap individu dalam bidang fotografi.

Sebanyak 22 penuntut telah menyertai kelas fotografi pada tahun ini. Tenaga pengajar terdiri daripada penuntut Brunei Darussalam yang belajar di Kaherah ini sendiri iaitu, Ustaz Ahmad Zulwaqar bin Haji Suhaili dan Ustaz Muhd Azhar bin Haji Abdul Aziz.

Antara topik-topik yang dibincangkan dalam kelas fotografi tersebut ialah pengenalan kamera DSLR dan Mirrorless, fungsi kamera, cara penggunaannya, pengetahuan mengenai lens camera, cara menggambar, jenis-jenis fotografi seperti high-key photography, low-key photography dan lain-lain lagi.


Diakhir kelas fotografi tersebut, diadakan acara bergambar ramai sebagai kenangan-kenangan. Pihak UMDP mengucapkan ribuan terima kasih kepada dua tenaga pengajar kerana sudi berkongsi ilmu dan juga kepada para peserta kerana telah menyertai kelas ini. Semoga ilmu yang didapati bermanfaat dan dipraktikkan selalu.