Sunday, February 23, 2014

Sambutan Hari Kebangsaan kali ke-30

23hb Februari 2014M - Rakyat Negara Brunei Darussalam di Kaherah, Republik Arab Mesir tidak ketinggalan dalam menjayakan sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam kali ke-30. Majlis ini disambut dengan begitu meriah di bangunan Dar Assalam, iaitu kediaman penuntut-penuntut Negara Brunei Darussalam di Kaherah.

Majlis tersebut dihadiri oleh Tuan Yang Terutama Dato Paduka Awg Hj Mohd Mahdi bin Pehin Orang Kaya Digadong Seri Diraja Dato Laila Utama Hj Awg Abdul Rahman, Duta Besar Negara Brunei Darussalam ke Republik Arab Mesir, serta pegawai-pegawai kedutaan, ahli-ahli keluarga dan mahasiswa mahasiswi Negara Brunei Darussalam.

Majlis diserikan dengan bacaan Surah Yaasin dan doa kesyukuran
Ustaz Mohd Nazerul Wafiq selaku pengerusi forum pada malam tersebut.
Ustaz Hj Hazimin
Ustaz Pg. Dr. Hj. Saiful Bahrin
Sebahagian mahasiswa sewaktu persembahan lagu patriotik.


Majlis dimulakan dengan menunaikan solat fardhu Maghrib serta solat hajat berjemaah,  kemudian diteruskan dengan bacaan Surah Yaasin dan doa kesyukuran yang diketuai oleh pelajar daripada Maahad Qiraat Shoubra.

Bersempena dengan Hari Kebangsaan tahun ini, Badan Kebajikan Penuntut Brunei Darussalam di Kaherah (BKPBDK) tidak ketinggalan untuk mengadakan sebuah forum yang bertajuk “Generasi Berwawasan Berlandaskan Syariat Islam”. Ahli-ahli panel forum tersebut ialah Ustaz Pg. Dr. Haji Saiful Bahrin bin Pg Haji Kula dan Ustaz Haji Hazimin bin Haji Ibrahim.

Antara isi-isi yang ditekankan oleh ahli panel forum adalah mengenai ciri-ciri generasi yang akan membantu hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam menjayakan Wawasan 2035. 

Ciri-ciri yang disebutkan ialah generasi yang memegang Islam sebagai agama rasmi, generasi yang berpegang teguh kepada Al-Quran dan Hadith, generasi yang taat kepada Allah Ta’ala, Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Sallam dan pemimpin serta generasi yang beriman dan bertaqwa. 

Demi membentuk generasi yang berwawasan kita hendaklah menyuntik di dalam jiwa generasi masa kini Tarbiyyah Rabbaniyyah (didikan Rabbani), yang mana didikan ini tidak menghadkan wawasan kita kepada matlamat duniawi sahaja bahkan ia mendidik kita untuk bermatlamat ukhrawi.

Majlis diteruskan lagi dengan tayangan video yang dihasilkan oleh Unit Media dan Publisiti, BKPBDK. Antara isi video tersebut adalah paparan wawancara ahli-ahli jawatankuasa penuntut mengenai makna Kemerdekaan Negara Brunei Darussalam dan ucapan mahasiswa mahasiswi sempena Hari Kebangsaan yang ke-30.

Seterusnya majlis diserikan dengan persembahan lagu-lagu patriotik dan tausyeh serta deklamasi sajak tentang erti kemerdekaan.

                                     

Majlis ditutup dengan penyampaian sijil kepada ahli-ahli panel forum dan diakhiri dengan bacaan Doa Selamat.





Adapun tujuan majlis ini diadakan adalah untuk lebih menghayati makna kemerdekaan sekaligus menanamkan sifat patriotisme dalam diri penuntut yang berada di luar negara.
   







Disediakan oleh: Zulfa Farhina binti Dato Seri Setia Haji Md. Zaimi