Friday, March 13, 2015

Siri Pengenalan Kitab #3

IHYA ‘ULUMUDDIN


BIODATA PENULIS

                  Nama beliau ialah Al-Imam Al-Faqih Al-Mujtahid Zainuddin Muhammad Bin Muhammad Bin Muhammad Abu Hamid Al-Ghazali At-Thusi, Asy-Syafi’e, Hujjatul Islam wal Muslimin, wal A’immatuddin Radhiallahu Ta’ala ‘anhu.

                  Beliau diberi banyak gelaran antaranya; Hujjatul Islam, Imam Al-Faqih, Al-Mujtahid, Zainuddin dan ‘Ujubatuz Zaman.

                  Imam Al-Ghazali adalah seorang yang sangat hebat, beliau ialah seorang yang Faqih, seorang Sufi, Mutakallim dan Failasuf.

                  Beliau lahir pada tahun 405 H di satu tempat yang bernama Tus yang berada d Bandar Khurasan. Beliau wafat pada tahun 505 H iaitu pada 14 Jamadilakhir bersamaan dengan 18hb Disember tahun 1111 M.

                  Imam Al-Ghazali mempunyai seorang adik yang diberi nama Abul Fath bin Muhammad bin Ahmad At-Tusi Al-Ghazali. Beliau digelar sebagai Majduddin.

                  Guru yang paling rapat dengan Imam Al-Ghazali ialah Imam Al-Haramain Al-Juwaini hafizahullah.

                  Imam Al-Ghazali disifatkan sebagai seorang yang warak dan zuhud.

Imam Al-Ghazali dan adiknya:

                  Diceritakan bahawa bapa kepada Imam Al-Ghazali merupakan seorang yang soleh, sufi dan pencinta ilmu. Nama beliau ialah Muhammad bin Muhammad bin Ahmad Al-Ghazali, seorang penenun kain yang menjual kainnya di Bandar Tus. Beliau suka hadir ke majlis ilmu dan suatu hari ketika beliau hadir ke majlis ilmu dan mendengar kalam fuqahaa, beliau menangis dan memohon supaya dikurniakan anak seperti fuqaha-fuqaha yang menyampaikan ilmu.

                  Doa beliau dikabulkan dan beliau dikurniakan 2 orang anak lelaki yang mana kedua-duanya merupakan faqih di dalam agama.

                  Harapan beliau untuk  melihat anaknya membesar menjadi fuqaha di depan matanya tidak kesampaian apabila ajal lebih awal menjemputnya. Sebelum beliau wafat beliau sempat berpesan kepada sahabatnya yang juga seorang ahli Sufi untuk mentarbiyah dan menolong anak-anaknya dalam menuntut ilmu.

                  Dikisahkan suatu hari ketika Imam Al-Ghazali hendak pulang ke Tus selepas menghabiskan masa beberapa bulan belajar di Jarhaan, beliau telah dirompak. Ketika itu beliau bersama dengan sekumpulan pedagang yang membawa barang-barang mereka dan Imam Al-Ghazali membawa bersamanya catatan-catatan yang ditulisnya sepanjang dia belajar. Imam Al-Ghazali sangat menyayangi catatannya ini dan menjaganya seperti khazanahnya.

                  Imam Al-Ghazali meminta balik catatannya daripada perompak tersebut, perompak itu bertanya apa yang ada di dalam catatan tersebut sehingga Imam Al-Ghazali benar-benar mempertahankan catatannya itu. Lalu Imam Al-Ghazali menjawab catatan tersebut adalah ilmu-ilmu yang didapatinya sepanjang beliau berhijrah untuk belajar di Jarhaan. Perompak itu ketawa mendengar kata-kata Imam Al-Ghazali lalu berkata, “Begaimana mungkin engkau mendakwa engkau mempunyai ilmu, sedangkan ketika kami mengambilnya ilmumu terus hilang.”

                  Imam Al-Ghazali lantas tersedar dan berazam untuk menghafal segala yang pernah dipelajarinya sehingga jika sekiranya dia dirompak sekali lagi, dia tidak akan merasa kehilangan apa-apa.

Mencari al 'ilmu al yaqini:

                  Beliau dikisahkan jatuh sakit dan sedang mencari penawar bagi sakitnya, beliau melalui 4 fasa sebelum bertemu dengan penawar yang dicarinya.

Fasa pertama: beliau mengkaji tentang ‘ilmu al-Kalam. Beliau mengkaji Al-Asya’irah, Al-Maaturidiyah dan Al-Muktazilah, tapi tidak menemui apa-apa jawapan.

Fasa Kedua: Beliau mengkaji mengenai ilmu Falsafah, beliau mendapati golongan ini terlalu mementingkan akal, disini juga beliau tidak menemui apa-apa jawapan.

Fasa ketiga: Kemudian beliau berpindah mengkaji Al-Bathaniah Al-Imamiah, golongan ini terlalu taksub dengan imam dan disini juga beliau tidak menemukan apa-apa.

Fasa keempat: Beliau berpindah ke kelompok para sufi. Beliau tidak keluar dari kelompok para Sufi sehingga akhirnya beliau sendiri menjadi ahli sufi.

Keramat Imam Al-Ghazali:

                  Sheikh ‘Abdullah bin As’ad Al-Yafi’I berkata:

Sesungguhnya Al-‘Alamah Qitbul Yaman ‘Ismail bin Muhammad Al-Khadrami bertanyakan tentang tasanif (karangan-karangan) Imam Al-Ghazali. Lalu dijawab:

Muhammad bin Abdullah adalah Sayyidul Anbiya.

Muhammad bin Idris Asy-Syafi’e adalah Sayyidul A’immah.

Muhammad bin Muhammad bin Muhammad Al-Ghazali  adalah Sayyidul Musannifin.

Antara keramat beliau juga ialah tentang kisah pembakaran kitab ihya ‘Ulumuddin. Sheikh Imam Al-Kabir Abaal Hasan ‘Ali bin Harzaham Al-Maghrabi, seorang Ahli fiqh yang masyhur dan sangat ditaati. Beliau ialah antara orang yang tidak mengakui kebaikan kitab Ihya ‘Ulumuddin. Suatu hari, beliau memerintahkan untuk dikumpulkan kitab Ihya ‘Ulumuddin dan dibakar kitab tersebut di sebuah masjid pada hari jumaat. Pada malam jumaat beliau bermimpi seolah-olah beliau berada di dalam masjid dan melihat Rasulullah SAW bersama Sayyidina Abu Bakar dan Sayyidina ‘Umar radiallahu ‘anhuma dan dihadapan Rasulullah SAW ialah Imam Al-Ghazali.

Ketika Sheikh tersebut mendekati, berkata Imam Al-Ghazali terhadap Rasulullah,”Ya Rasulullah, ini adalah musuhku. Jika sekiranya apa yang ada di dalam Ihya itu seperti sangkaan beliau, maka aku bertaubat kepada Allah. Jika Ihya itu sesuatu yang ku hasilkan daripada berkahmu dan mengikut sunnahmu, maka ambilkan hakku daripada musuhku.”

Maka Rasulullah SAW pun menyemak buku Ihya sehingga habis dan berkata, “Demi Allah, ini adalah sesuatu yang baik.”

 Sayyidina Abu Bakar dan  Sayyidina ‘Umar juga mengakui tentang kebaikan kitab Ihya tersebut.

Lalu Rasulullah SAW memerintahkan agar gamis Sheikh Abul Hasan dibuka dan menghadnya (memukulnya) seperti had al-muftara. Ketika sampai pukulan ke-5, Sayyidina Abu Bakar berkata, “Ya Rasulullah, mungkin dia menyangka bahawa kitab Ihya bertentangan dengan sunnahmu dan salah dalam sangkaannya.”

Maka Imam Al-Ghazali pun redha. Kemudian terjaga Sheikh Abul Hasan dari tidurnya, dan merasakan ada bekas pukulan di tubuhnya, dan beliau menceritakan perkara tersebut pada sahabat-sahabatnya. Beliau bertaubat kepada Allah atas pengingkarannya terhadap kitab Ihya ‘Ulumuddin.

Pengaruh Imam Al-Ghazali di dalam Islam.

                  Imam Al-Ghazali merupakan seorang mujaddid kurun ke-5, tiada khilaf diantara ‘ulama mengenai perkara tersebut.

                  Buku-buku beliau banyak dijadikan rujukan muktabar dalam banyak bidang seperti;
Kitab Al-Basit dijadikan rujukan dalam bidang Fiqh.

Kitab Ihyaa  ‘Ulumuddin adalah rujukan dalam bidang aqidah, falsafah dan syari’ah.

                  Pemikiran beliau juga turut dikaji kerana ketajaman akal beliau dan kehebatan beliau dalam menyusun ilmu. Malahan beliau juga turut dikenali sehingga ke Eropah.

Karangan-karangan Imam Al-Ghazali

·       Kitab Ihyaa Ulumuddin

·       Kitab Ayyuhal Walad

·       Kitab Bidayatul Hidayah

·       Kitab Raudhatut Talibin wa ‘Umdatussalikin

Dan banyak lagi.

Kewafatan:

                  Adik kepada Imam Al-Ghazali, Sheikh Ahmad menceritakan:

“Pada subuh hari Isnin, Imam Al-Ghazali mengambil wudhu dan melaksanakan solat, kemudian beliau meminta kain kafan, lalu diberikan kepadanya, beliau pun mengambilnya dan meletakkannya dihadapannya, kemudian beliau berkata, ‘Saya mendengar dan taat untuk menemui Yang Maha Kuasa.’

Kemudian beliau berbaring menghadap kiblat dan wafat sebelum Isfar.”  Beliau wafat pada tahun 505 H dan dikuburkan di luar Bandar Tus.

KETERANGAN KITAB

Nama Buku                 : Ihya ‘Ulumuddin, Li Hujjatil Islam Abi hamid Muhammad bin Muhammad Al-Ghazali, wabihamishihi Al-Mughni ‘An hamlil Asfar fi takhrij ma fil Ihya’min Akhbar lil ‘Alamah Zainuddin Abil Fadhi ‘Abdur Rahim bin Al-Husin Al-Iraqi, Wa bi zailihi Ta’rif Al-Ihya bi Fadhailil Ihya lil ‘Alamah ‘Abdul Qadir bin Syeikh bin Abdullah bin Al-Aidarus wa Al-Imla ‘an Isykalatil Ihya lil Imam Al-Ghazali nafsah

Penulis Kitab               : Abi hamid Muhammad bin Muhammad Al-Ghazali

Cetakan                       : Enam, tahun 2013M/1434H. Kitab yang digunakan ini tidak ada pentahqiqnya akan tetapi Tob’ah lain ada yang ditahqiq.

Keluaran                      : Darussalam.

Jumlah Mukasurat       :  1995 mukasurat termasuk fahras (indeks)

Gambaran                    : 2 jilid

Sedikit pengenalan mengenai Zainuddin Abil Fadhi ‘Abdur Rahim bin Al-Husin Al-Iraqi: Beliau wafat pada 806H yang mana beliau adalah salah seorang dari beberapa ‘ulama yang berusaha mentakhrij (mengeluarkan) hadith-hadith dalam kitab Ihya Ulumuddin ini dan menjelaskan derajat tiap-tiap hadith menurut tingkatan sohih, hasan dan dhoif yang ada dijelaskan dihamish (nota kaki) kitab ini. Manakala ‘Abdul Qadir bin Syeikh bin Abdullah bin Al-Aidarus wafat pada 1039H.

Manhaj Penulisan Kitab:

Di awal penulisan kitab ini ada dijelaskan :

1)     Biodata Imam al-Ghazali, muallif (penulis) kitab.

2)     Biodata Al-Iraqi.

3)     Muqaddimah.

4)     Isi Kitab.

Pada asasnya, isi  kitab ini terbahagi kepada 4 Arba’ (bahagian) iaitu :

1)     ربع العبادات

2)     ربع العادات

3)     ربع المهلكات

4)     ربع المنجيات

Kalau dirujuk penyusunan kitab ini kita akan dapati dalam setiap rubu’ ini ada kitab dan dibawah kitab lagi ada bab, fasal, qisim, nau’ dan banyak lagi.

Imam Al-Ghazali mengeluarkan dalil dalam setiap yang dibincangkan dengan mendatangkan dalil-dalil bersumberkan dari Al-Quran diikuti dengan hadith-hadith Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, athar para sahabat dan tabi’in dan dimasukkan juga hikmah hidup dari kalangan orang soleh dan kutipan-kutipan yang bermanfaat baik sumber dari sejarah hidup individu maupun kehidupan sosial masyarakat.

Hadaf (tujuan) penulisan kitab:

Antara sebab Imam Al-Ghazali Rahimahullah menulis kitab ini ialah :

1.     Kelemahan manusia untuk mengetahui rahsia-rahsia agama.

2.     Kelemahan mereka dalam mengikuti pengajaran agama, akhlaknya dan adabnya.

Keistimewaan kitab:

Kitab ini cukup istimewa sebab ianya mencakup beberapa isi keilmuan diantaranya :

1)     Sisi Syariat : menjelaskan berbagai hukum Fiqh dan ilmu Usul Fiqh.

2)     Sisi Akidah dan Falsafah : membahaskan ilmu Kalam dan permasalahan Falsafah.

3)     Sisi Tasawwuf : ilmu penyucian jiwa.

Dan kitab ini bukan saja menjelaskan akan sesuatu amalan tapi juga mengupas rahsia-rahsia disebalik pensyariatan amalan tersebut. Itu keistimewaan secara dakhili (dalaman).

Manakala secara khariji (luaran) pula, kitab ihya ulumuddin mendapat sambutan hangat dan penghargaan yang tinggi dari para ‘ulama sehinggakan banyak ‘ulama mentahzib (meyusun) semula kitab ihya ulumuddin termasuk imam Al-Ghazali sendiri.

‘Ulama lain yang berjaya meringkas kitab Ihya adalah Syeikh Syamsu Muhammad bin Ali Al-Ajluni yang wafat pada tahun 813H/1410M, Syeikh Ahmad bin Muhammad Al-Ghazali iaitu adiknya Imam Al-Ghazali sendiri, wafat pada tahun 520H/1126M dan al-Hafidz Jalaluddin As-Suyuthi rahimahullah, wafat pada tahun 911H/1505M.

Kritikan dan Iktiraf:

Di samping mendapat sambutan hangat dan penghargaan, kitab ini tidak kurang juga mendapatkan beberapa kritikan diantaranya :

1.     Kitab ini mengandungi lafaz dan istilah yang rumit difahami oleh orang awam.

2.  Imam Al-Ghazali banyak menguatkan pembahasannya dengan berbagai hadith dhoif dan maudhu’.

Kritikan yang pertama dijawab oleh Imam Al-Ghazali sendiri dengan menulis 2 kitab yang bertajuk al-Ajwibah al-Musykilah dan al-imla fi Isykilat al–Ihya yang mana ta’rif (pengenalan)nya ada ditulis di akhir kitab Ihya Ulumuddin.

Kritikan yang kedua pula dijawab oleh Tajuddin as-Subki dalam kitab Thabaqat asy-Syafi’iyah al-Kubra. Beliau menjelaskan hadith yang digunakan selalu dijadikan rujukan bagi kitab lain bahkan al-Hafidz al-Iraqi menegaskan bahawa hadith di dalam kitab Ihya bukanlah hadith maudhu’ (palsu), meskipun ada diantaranya ada yang dhaif dan Imam Ghazali rahimahullah hanya mengambil makna tersirat dari hadith dhaif tersebut.

PERBAHASAN & ISI KANDUNGAN KITAB

ربع العبادات

Bahagian Ibadat
1.     كتاب العلم  (Kitab ilmu).

Imam Al-Ghazali ada berkata mengenai ilmu, yang kira-kira bermaksud “ilmu itu menghidupkan hati yang buta, menerangi jiwa dari kegelapan, menguatkan jasmani dari kelemahan sehingga dapat mengangkat darjat hamba ke tingkat golongan orang-orang soleh”.

2.     كتاب قواعد العقيدة  (Kitab kaedah-kaedah beraqidah).

Penulis banyak membincangkan mengenai aqidah ahli sunnah wal jamaah, mengenali zat Allah dan banyak lagi.

3.     كتاب أسرار الطهارة (Kitab rahsia-rahsia dalam bersuci).

Di sini penulis banyak menerangkan cara-cara bersuci , cara-cara mandi. Tidak hanya terhad pada cara-caranya sahaja, Imam Al-Ghazali juga membahaskan tentang rahsia-rahsia dan fadhilat-fadhilat bersuci.

4.     كتاب أسرار الصلاة ومهماتها  (Kitab rahsia – rahsia solat dan kepentingannya).

Imam Al-Ghazali ada menyebutkan hadis Rasulullah s.a.w , yang kira-kira bermaksud ,” Solat itu penghapus dosa yang dilakukan antara satu solat dengan yang lainnya selama dosa-dosa besar dijauhi” - أخرجه المسلم.

5.     كتاب أسرار الزكاة  (Kitab rahsia – rahsia zakat).

6.     كتاب أسرار الصيام  (Kitab rahsia – rahsia puasa).

7.     كتاب أسرار الحج  (Kitab rahsia – rahsia haji).

8.     كتاب آداب تلاوة القرآن  (Kitab adab membaca Al-Quran).

Imam Al-Ghazali mengambil hadis Rasulullah s.a.w yang kira-kira bermaksud, “ barangsiapa yang menafsirkan al-quran dengan  tafsirannya sendiri, maka hendaklah ia menyediakan tempat duduknya di neraka “ – أخرجه المسلم

9.     كتاب الأذكار والدعوات  (Kitab zikir-zikir dan doa–doa).

10.  ترتيب الأوراد وتفصيل إحياء الليل  (Tertib wirid-wirid dan huraian mengenai menghidupkan malam).

 ربع العادات

Bahagian Adat Kebiasaan

Di dalam bahagian ini terdapat 10 kitab:

1)  كتاب آداب الأكل (Kitab adab makan).

Kata Imam Al-Ghazali rahimahullah, mafhumnya, orang yang mempunyai akal, tujuannya adalah untuk berjumpa dengan Allah di dar ath-thawab (tempat pahala), dan tidak ada jalan untuk sampai berjumpa dengan Allah Ta’ala kecuali dengan ilmu dan amal, dan kita tidak akan dapat istiqomah melakukan dua perkara ini (ilmu dan amal) kecuali dengan badan yang sehat. Badan yang sehat itu adalah kesan daripada makanan-makanan kita. Maka kerana itu Imam Al-Ghazali rahimahullah menerangkan tentang adab makan.

2)  كتاب آداب النكاح (Kitab adab nikah).

Di dalam kitab ini Imam Al-Ghazali rahimahullah ada menerangkan mengenai anjuran bernikah, fadilat-fadilat nikah dan juga Imam Al-Ghazali juga ada menerangkan tentang keburukan / kerugian bernikah. Terdapat juga mengenai adab-adab kehidupan berumahtangga dan cara-cara agar perkahwinan itu kekal.

3) كتاب آداب الكسب والمعاش (Kitab adab bekerja atau penghasilan atau pendapatan dan kehidupan).

Isi kitab ini merangkumi pembahasan seperti jual beli dan riba. Dan ada juga penerangan mengenai keadilan dan larangan melakukan kezaliman dalam pergaulan (mu’amalah).

4)  كتاب الحلال والحرام (Kitab halal dan haram).

Diantara yang dibincangkan dalam kitab ini ialah peringkat-peringkat syubhat dan cara untuk membezakan yang syubhat dengan yang halal dan yang haram.

5) كتاب آداب الألفة والأخوة والصحبة والمعاشرة مع أصناف الخلق (Kitab adab ukhuwwah dan persahabatan dan adab bergaul dengan semua makhluk).

Terdapat penjelasan mengenai apa itu ukhuwwah fillah dan kelebihan ukhuwwah fillah daripada ukhuwwah fid dunya. Imam Al-Ghazali rahimahullah juga ada memberitahu mengenai “بيان البغض في الله” yang bermaksud “marah atau benci kerana Allah”. Ada penjelasannya dalam bab ini, bila kita mencintai seseorang kerana Allah maka menjadi satu kemestian bagi kita untuk merasai kebencian atau kemarahan kerana Allah, maksudnya jika  kita menyayangi seseorang kerana Allah, dan orang itu melakukan maksiat kepada Allah, kita sepatutnya marah. Marah di sini bermaksud marah kerana Allah, al-bughdu fillah.

6)  كتاب آداب العزلة (Kitab adab ber-uzlah).

Uzlah ini seperti yang kita tahu, ertinya ialah menyendiri untuk beribadah kepada Allah. Dalam ber-uzlah ini pun ada adab-adabnya.

7)  كتاب آداب السفر (Kitab adab belayar).

Dalam kitab ini Imam Al-Ghazali rahimahullah ada menerangkan mengenai adab-adab seorang musafir dari awal perjalanannya sehingga dia pulang. Ada juga penjelasan mengenai rukhsah (keringanan-keringanan) ketika belayar, tanda-tanda kiblat dan waktu-waktu solat.

8)  كتاب آداب السماع والوجد.

Adapun السماع ini bermaksud sesuatu yang kita dengar, seperti musik, nasyid dan qasidah. Sebagai contoh, timbulnya persoalan, apakah dibolehkan mendangar musik? Jawapannya ada di dalam kitab Ihya ni. Manakala الوجد beerti hati. Kaitan السماع ini dengan الوجد adalah apa-apa sahaja perkara yang kita dengar ia akan turun ke hati. Dan dari hati itu ia akan menjadi pergerakan kita.

9)  كتاب الأمر بالمعروف والنهي عن المنكر (Kitab mengajak melakukan perkara yang baik dan melarang daripada kemunkaran).

Antara yang diterangkan oleh Imam Al-Ghazali rahimahullah dalam bab ini adalah bagaimana cara untuk mengajak para pemerintah atau ketua-ketua untuk melakukan perkara yang baik dan menasihati mereka untuk meninggalkan perkara-perkara munkar.

10) كتاب آداب المعيشة وأخلاق النبوة (Kitab adab kehidupan dan akhlak Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam).

Terdapat penjelasan tentang Allah Ta’ala mengajarkan adab kepada Rasulullah SAW melalui al-Quran.

ربع المهلكات

Bahagian Perkara-Perkara Yang Membinasakan

المهلكات merupakan bahagian ketiga daripada empat bahagian dan ia berada di bawah golongan  علم المعاملة (ilmu mengenai amalan-amalan), bahagian علم باطن (ilmu mengenai hati) yang membincangkan mengenai perkara-perkara yang tercela.

Susunan kitab ini begitu rapi, ia menyentuh bahagian المهلكات  sebelum masuk kepada bahagian المنجيات  (perkara-perkara yang menyelamatkan).

Adapun perkara awal sekali yang diterangkan di dalam المهلكات ialah tentang;

1.  كتاب شرح عجائب القلب (Kitab mengenai keajaiban-keajaiban hati).

Apa yang menakjubkan mengenai hati? Hati yang bagaimana yang dimaksudkan? Adakah hati, daging beserta urat-urat darahnya? Atau hati bathin yang lembut, yang perlu diketahui hakikat sifat-sifatnya, keadaan-keadaannya, supaya dapat kita berurusan dengannya di dalam amalan hamba Allah.

Turut dinyatakan di dalam kitab ini, bahawa hati ini merupakan ciptaan Allah dan kurniaan Allah khas buat manusia agar dapat membantu mereka di dalam perjalanan mengenal Allah, Ma’rifatullah, bukan anggota badan.

Manakala, anggota tubuh itu, mereka yang menjadi pengikut hati, pembantu hati dan sebagai alat kepada hati.

Di dalam kitab ini, ada membincangkan mengenai ;

·      Perbezaan antara nafsu, ruh, hati dan aqal.

·      Tentera-tentera hati.

·      Sifat-sifat hati dan contohnya.

·      Perbezaan kurniaan ilham dan kurniaan ilmu dan perbezaan cara ahli sufi di dalam menyingkap kebenaran dan ahli kaji.

·      Kekuasaan Syaitan terhadap hati adalah melalui bisikan.

·      Pintu masuk Syaitan ke dalam hati.

·      Pencerahan mengenai kecepatan perubahan hati.
Dan banyak lagi tajuk-tajuk yang dibincangkan di dalam kitab yang pertama ini.

2.  كتاب رياضة النفس (Kitab mengenai didikan nafsu).
 
Di dalam kitab ini, ada membincangkan mengenai:

·      Kelebihan akhlaq yang terpuji dan celaan akhlaq yang buruk.

·      Penerimaan akhlaq untuk perubahan dengan menerapkan latihan.

·      Penerangan mengenai alamat-alamat penyakit hati dan tanda-tanda hati itu kembali sihat.

·      Cara-cara mendidik anak dari kecil.

3. كتاب آفات الشهوتين :شهوة البطن وشهوة الفرج (Kitab mengenai kerosakan-kerosakan dua syahwat (perut dan faraj).
 
Di dalam kitab ini, ada membincangkan mengenai:

·      Kelebihan lapar dan keburukan kenyang.

·      Penerangan mengenai cara melatih diri untuk memecahkan syahwat perut.

·      Perbincangan mengenai syahwat faraj.

4. كتاب آفات اللسان (Kitab mengenai  bahaya-bahaya lisan). Di dalamnya ada 20 bahaya lisan.

Di dalam kitab ini, ada membincangkan mengenai:

·      Penerangan mengenai besarnya bahaya lisan dan kelebihan diam.

·      Berkata-kata mengenai sesuatu yang tidak engkau perlukan.

·      Panjang bicara.

·      Berdebat.

·      Melaknat.

·      Bercanda.

·      Membuka rahsia.

·      Mengumpat.

·      Memuji.

5. كتاب ذم الغضب والحقد والحسد (Kitab mengenai celaan terhadap sifat pemarah, iri hati ; sentiasa merasa berat hati terhadap seseorang yang tertentu, benci terhadapnya, kekal tidak redha terhadapnya, berdendam dan hasad dengki ; benci orang lain memiliki nikmat tertentu dan berkeinginan untuk menghilangkannya).

Di dalam kitab ini, ada membincangkan mengenai ;

·      Penerangan mengenai kejian terhadap sifat marah.

·      Apakah mungkin menghilangkan rasa marah dengan latihan.

·      Kelebihan sifat ramah.


·      Kelebihan sifat berlembut.

·      Hakikat Hasad, hukumnya, pembahagiannya, dan peringkat-peringkatnya.

·      Pencerahan mengenai ubat yang boleh menyembuhkan penyakit hasad di dalam hati.

6. كتاب ذم الدنيا (Kitab mengenai celaan terhadap dunia).

Di dalam kitab ini, ada membincangkan mengenai:

·      Apa yang dimaksudkan dengan celaan terhadap dunia.

·      Sifat dunia dan contohnya.

·      Hakikat dunia dan ciri-cirinya di dalam hak hamba.
 
7. كتاب ذم البخل وذم حب المال (Kitab mengenai celaan terhadap sifat kikir dan cintakan harta).

Di dalam kitab ini, ada membincangkan mengenai:

·      Keburukan harta.

·      Penerangan mengenai celaan untuk tamak dan pujian terhadap perasaan cukup dan tidak menginginkan apa yang ada pada manusia.

·      Pencerahan mengenai kesembuhan penyakit bakhil.

8. كتاب ذم الجاه والرياء (Kitab mengenai celaan terhadap kemegahan atau kedudukan ; menginginkan dengan kedudukannya sesuatu dan sifat riya’ ; menginginkan kelihatan baik di hati manusia).

Di dalam kitab ini, ada membincangkan mengenai ;

·      Kejian terhadap kemasyhuran dan penyebaran gelaran nama baik.

·      Celaan menyukai pangkat.

·      Peringkat-peringkat sifat riya’.

·      Pencerahan mengenai meninggalkan perbuatan taat oleh kerana takut akan riya’.

·      Seorang murid hendaklah boleh melazimi nafsu dirinya sebelum buat sesuatu amal, setelahnya dan ketika melakukannya.

9. كتاب ذم الكبر والعجب (Kitab mengenai celaan terhadap sifat sombong ; menganggap diri lebih sempurna daripada yang lain dan sifat bangga diri ; membesar-besarkan nikmat yang diberikan kepadanya seolah-olah ia memiliki kedudukan yang benar di sisi Allah dan lupa ia adalah pemberian dari yang Maha Memberi).

Di dalam kitab ini, ada membincangkan mengenai:

·      Kejian terhadap sifat sombong dan bangga diri.

·      Kelebihan rendah diri.

·      Hakikat sombong dan bahayanya.

·      Penerangan mengenai apa yang membuatkan seseorang itu sombong.

·      Pencerahan mengenai bahaya bangga diri.

·      Penyembuhan sifat bangga diri secara umum.

·      Jenis-jenis sifat bangga diri dan penerangan lebih khusus mengenai cara penyembuhannya.

10. كتاب ذم الغرور (Kitab mengenai celaan terhadap tipu daya).

Di dalam kitab ini, ada membincangkan mengenai:

·      Celaan tipu daya, hakikatnya dan contoh-contohnya.

·      Penerangan mengenai kumpulan-kumpulan yang tertipu dan pembahagian pecahan bagi setiap kumpulan.

Berkata Imam AlGhazali rahimahullah :
“ Adapun al-Muhlikaat yang seper-empat ini, maka di dalamnya terkandung semua akhlaq-akhlaq tercela yang ada disebutkan di dalam Al-Qur’an, di mana Al-Qur’an menyatakan mengenai suruhan untuk menjauhinya, menyucikan nafsu@diri darinya dan menjernihkan hati darinya.

Di dalamnya, akan disebutkan juga secara terperinci setiap satu akhlaq-akhlaq tersebut mengikut pembatasan makna masing-masing, hakikat akhlaq tersebut, kemudian, apa yang akan terhasil daripadanya, yang membawa kepada kebahayaan-kebahayaannya tersendiri, ada juga yang memberitahukan mengenai alamat-alamat atau tanda-tanda  akhlaq-akhlaq tersebut. Setelah itu, dinyatakan pula baqaimana untuk memperbaiki serta menyelesaikan masalah akhlaq yang tercela itu.

Semua kandungan ini turut dikaitkan dengan bukti-bukti atau dalil-dalil daripada alQur’an, Hadith dan juga Athaar ”.

ربع المنجيات

Bahagian Perkara-Perkara Yang Menyelamatkan

Rubu’ yang keempat  dalam kitab Ihya Ulumuddin membincangkan tentang tajuk Munjiyyat . Imam Al-Ghazali membahagikan tajuk ini kepada 10 kitab :

1. التوبة

2. الصبر والشكر

3. الخوف والرجاء

4. الفقر والزهد

5. التوحيد والتوكل

6. المحبة والشوق والأنس والرضا

7. النية والصدق والإخلاص

8. المراقبة والمحاسبة

9. التفكر

10. ذكر الموت 

Dalam Munjiyyat ini, Imam Al-Ghazali Rahimahullah Ta’ala menyebut semua akhlak yang terpuji yang dilakukan oleh orang Muqarrabin dan Siddiqin serta menyebutkan juga had, hakikat, sebab-sebab untuk mendapatkan akhlak tersebut , buahnya ( natijah ) , tanda-tanda untuk mengetahuinya, kelebihannya serta mendatangkan dalil daripada syarak dan akal.

Berkata Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali bahawa, الخوف   adalah teman yang akrab bagi الرجاء . 

الخوف mendorong dengan cara الرهبة  , manakala الرجاء mendorong dengan cara الرغبة  . Kedua-dua cara ini mendekatkan hamba kepada Allah Ta’ala.

Kedua-dua akhlak ini terhasil dari 3 perkara : -

1. Hal : Mendorong atau membawa seorang hamba untuk beramal.

2. Ilmu : Adalah sebab seorang hamba membuat sesuatu amalan.

3. Amal: Apabila ilmu dan hal bergabung.

حال الرجاء terhasil dari mujahadah yang panjang dalam melakukan amalan serta berterusan dalam melakukan ketaatan.

Kesannya : Merasa kelezatan bertemu dengan Allah SWT secara terus-menerus, merasa nikmat bermunajat KepadaNya, merasa nyaman atau senang bila tertaut denganNya.

Beramal dengan الرجاء  adalah paling tinggi dari الخوف.

1. الخوف bermaksud takut akan azab Allah Ta’ala.

2. الرجاء bermaksud mengharapkan pahala daripada Allah Ta’ala.

Oleh itu seorang hamba digalakkan untuk berharap (الرجاء) dan berbaik sangka (حسن الظن) lebih-lebih lagi pada saat sakaratul maut. Allah Ta’ala berfirman : {{ لا تقنطوا من رحمة الله }} yang kira-kira bermaksud: Janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Lawan bagi sifat الرجاء ialah اليأس iaitu putus asa.

Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda {{ لا يموتن أحدكم إلا وهو يحسن الظن بالله تعالى }} kira-kira bermaksud : Janganlah salah seorang diantara kalian mati melainkan ia harus bersangka baik pada Allah.

Imam Al-Ghazali berkata sesungguhnya الرجاء   ini adalah ubat bagi salah satu dari dua jenis kelompok manusia:

1. Manusia yang berputus asa lalu ia meninggalkan ibadah.

2. Manusia yang merasa takut lalu ia berlebih-lebihan dalam melazimi ibadah sehingga ia memudharatkan dirinya dan ahli keluarganya.

Kedua-dua kelompok ini adalah orang yang melencong dari jalan yang lurus. Maka dengan itu mereka memerlukan solusi untuk kembali ke jalan yang lurus. Iaitu jalan yang tengah-tengah (طريقة الوسطية).

الرجاء  adalah khusus dipraktikkan oleh orang yang berputus asa melalui cara meneladani Al-Quran dan Sunnah Rasulullah صلى الله عليه وسلم  .

2 perkara yang boleh menimbulkan rasaالرجاء  :

1. الاعتبار ( mengambil pengajaran) :

·       Memerhatikan jenis-jenis nikmat (yang mana ada dijelaskan di dalam kitab syukur).

·       Memerhatikan hikmah-hikmah syariah, aturan syariat dalam kemaslahatan dunia dan bentuk rahmat Allah pada hamba-hambaNya.

2. استقراء الآيات والأخبار والآثار  (meneliti ayat-ayat Al-Quran, hadith-hadith dan athar). Allah berfirman : {{ قل يعبادي الذين أسرفوا على أنفسهم لا تقنطوا من رحمة الله إن الله يغفر الذنوب جميعا إنه هو الغفور الرحيم }}

Yang kira-kira bermaksud : Wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri , janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sungguh, Dialah yang Maha Pengampun , Maha Penyayang. ( Az-Zumar : 53 )

Daripada Akhbar , telah diriwayatkan oleh Abu Musa , sesungguhnya Rasulullah bersabda : (( Umatku adalah umat marhumah, tidak ada azab keatasnya di akhirat kerana Allah telah mempercepatkan azabnya di dunia dengan gempa dan fitnah , maka apabila datang hari kiamat, bertemu semua umatku dengan ahli kitab, lalu ahli kitab itu berkata : Itulah penebus kamu dari api neraka )).

Disediakan oleh :
Nur ‘Afiqah bt Boestaman
Nur Intan Aqilah bt Haji Abd Razak
Nurul Adilah bt Haji Abu Bakar
Zulfa Farhina bt DSS Haji Md Zaimi
Nur Aqilah bt Salleh
Munjiah bt Haji Johari

Disemak oleh :
Hilman Bin Hj Salim

Rujukan:
Kitab Ihyaa ‘Ulumuddin
Kitab Ayyuhal Walad
Kitab Syakhsiat Islamiyyah Hujjatul Islam Abu Hamid Al-Ghazali karangan Dr. Hamzah An-Nashrati, Sheikh Abdul Hafiz Faraghli dan Dr. Abdul Hamid Mustofa.