Monday, October 20, 2014

Minggu Taaruf 2014M

Program Minggu Ta’aruf 2014


Program Minggu Ta’aruf adalah tindakan awal atau tunjuk ajar pertama yang diberikan oleh pihak BKPBDK dalam membantu pelajar yang baru pernah menjejakkan kaki ke Bumi Mesir. Ia bertujuan bagi membiasakan pelajar baru tersebut dengan budaya dan cara hidup di Negara Mesir.

Seterusnya kita ikuti perjalanan Program Minggu Ta’aruf 2014 yang dijalankan selama 7 hari tujuh malam berturut-turut:

Isnin - 13hb Oktober 2014, merupakan hari pertama bagi Mustagidin dan Mustagidat (pelajar baru) sesi 2014 menjejakkan kaki ke bumi mesir. Kedatangan mereka ke Bangunan Darussalam disambut oleh para senior yang telah ditugaskan. Kemudian mereka dijemput untuk menikmati jamuan yang telah disediakan di Mini Hall Banggunan Darussalam.

Menjejakkan kaki di bumi Mesir buat kali pertama.

Setelah selesai menunaikan Solat Jama’ Ta'khir di Surau Darussalam, mereka diarahkan untuk berkumpul bagi pembahagian Syaqah (tempat tinggal) sementara dan pembahagian Musyrif atau Musyrifah (Pembimbing) yang akan memimbing mereka sepanjang Program Minggu Ta’aruf. 

Dalam pada itu, sebanyak 10 Syaqah dikhaskan bagi para Mustagidin dan sebanyak 8 Syaqah bagi para mustagidat. Sementara 5 orang Musyrif dikhususkan bagi Mustagidin dan 9 orang Musyrifah bagi Mustagidat.

Pada hari yang sama jam 6:30 malam diadakan majlis Pembukaan Program Minggu Ta’aruf, menandakan Program Minggu Ta’aruf telah pun bermula. Pengerusi bagi Program Minggu Ta’aruf bagi sesi 2014 ialah Mohammad Hairul Nizam bin Mohammad dan Naib Pengerusinya ialah Hajah Siti Mazidah binti Haji Mohd Yussof dibantu oleh beberapa Ahli Jawatan Kuasa yang terpilih.




Selasa - 14hb Oktober 2014, Para Mustagidin dan Mustagidat dikehendaki untuk menghadiri kelas Ammi (bahasa pertuturan yang diguna-pakai di Negara Mesir) yang disampaikan oleh beberapa senior mahir berbahasa Ammi. 

Mereka juga diberikan Taklimat daripada AJK Program Rehlah (lawatan) yang diketuai oleh Pengerusi Md. Alif bin Nordin dan Siti Safiyyah binti Haji Salim selaku Naib Pengerusi Program Rehlah 2014. Akhir sekali mereka diberikan Taklimat dari pihak Kedutaan Negara Brunei Darussalam.

Rabu - 15hb Oktober 2014, Selesai sahaja para Mustagidin, Mustagidat dan beberapa Ahli Jawatan Kuasa yang terlibat menikmati sarapan pagi di Mini Hall, Aktiviti Rehlah pun dijalankan bermula jam 7:00 pagi dengan menaiki 2 buah bas sewa khas. Aktiviti ini dijalankan di kawasan Kaherah dimulai dengan kawasan Anwar Sadat, seterusnya Qalaah (kubu pertahanan) Salahuddin Al-Ayubi yang terdapat di dalamnya masjid, penjara tawanan, kawasan latihan askar di bawah tanah dan sebagainya. Diikuti dengan Masjid dan Makam Imam Syafie, Piramid, Panorama, Faluqa dan akhir sekali ke IKEA Tajammuk Khamis.



Khamis - 16hb Oktober 2014, Aktiviti Rehlah diteruskan lagi di kawasan Alexandria yang mengambil masa kira-kira 3 jam untuk menuju ke sana. 

Kira-kira pada jam 10:00 pagi mereka sudahpun tiba di Qait bay. Ia terletak di tepi pantai dan jika diperhatikan dari jauh ianya kelihatan seperti sebuah istana pasir yang besar dan indah. 

Aktiviti rehlah ini berakhir di Pantai Muntazah dan seperti pantai yang ada di negara lain, pantai ini juga memiliki taman dan terdapat ramai penjaja yang berniaga berhampiran pantai tersebut. Lawatan ini berakhir sebelum Solat Fardhu maghrib.



Jumaat - 17hb Oktober 2014, setelah selesai menunaikan Solat Fardhu Asar berjemaah, diadakan Perlantikan Ahli Jawatan Kuasa bagi Majlis Penutup Program Minggu Ta’aruf yang hasilnya Ak Ahmad Faris Ramadhani Bin Pengiran Haji Sallehuddin dinobatkan sebagai Pengerusi dan Nur Fairuza Syahira Binti Hj Marsidi sebagai naib Pengerusi. Masing-masing mengambil jurusan yang sama di Ma’ahad Qiraat Al-Azhar Shoubra. Mereka bertanggungjawab membahagikan tugas kepada Mustagidin dan Mustagidat yang lain.

Sabtu - 18hb Oktober 2014, Pada jam 9:00 pagi kesemua Mustagidin dan Mustagidat dibawa oleh Musyrif dan Musyrifah untuk meninjau dan melawat Universiti Al-Azhar dan ma’ahad Qiraat Shoubra

Hari ini juga merupakan hari yang mencabar bagi para Mustagidin dan Mustagidat kerana buat pertama kalinya mereka diberikan tanggungjawab sepenuhnya untuk mengendalikan majlis di Mesir. Diantaranya ada yang memasak, membersihkan surau dan Mini hall dan membeli barang keperluan bagi persediaan Majlis Penutup Program Minggu Ta’aruf 2014.

Ahad - 19hb Oktober 2014, Para Mustagidin dan Mustagidat diberikan peluang untuk bergotong royong dan membuat persediaan terakhir bagi Majlis Penutup Program Minggu Ta’aruf 2014.

Majlis Penutup Minggu ta’aruf dimulakan pada jam 7:00 malam dengan Bacaan Doa dan  beberapa persembahan seperti Persembahan Tausyeh, Sesi Perkongsian dan persembahan Syair Arab. Majlis ini diakhiri dengan jamuan makan malam.



Allhamdulillah segala puji bagi Allah kerana dengan izin dan inayahnya jua Program Minggu Ta’aruf 2014 dan Majlis Penutup Minggu Ta’aruf dapat berjalan dengan lancar sesuai keinginan dan kehendak. 

Diucapkan jutaan terima kasih kepada yang terlibat dalam sama-sama menjayakan Program minggu Ta’aruf 2014 terutama kepada Ahli Jawatan Kuasa Rehlah 2014 kerana bijak dalam mengatur destinasi yang menakjubkan sepanjang Aktiviti Rehlah dijalankan. Berkat bimbingan dan tunjuk ajar serta pengisian Aktiviti Program Minggu ta’aruf kami dapat membiasakan sedikit demi sedikit dengan kehidupan di Mesir.



Mustagidin dan Mustagidat Sesi 2014/2015
Barakallahu fikum wa jazakumullahu khairan fid-darain…


Klik sini dan sini untuk lebih banyak gambar!

Untuk video, klik sini.




No comments:

Post a Comment