Saturday, October 6, 2012

Majlis Intikhabat Ahli Jawatankuasa Badan Kebajikan Penuntut Brunei Darussalam Di Kaherah Sesi 2012/2013M



Pada hari Sabtu, 6hb Oktober 2012M yang lalu, sesi kedua Majlis Intikhabat Ahli Jawatankuasa Badan Kebajikan Penuntut Brunei Darussalam di Kaherah telah dilangsungkan bagi melantik barisan ahli jawatankuasa BKPBDK yang baru bagi sesi pengajian 2012/2013M sekaligus menggantikan ahli jawatankuasa BKPBDK bagi sesi pengajian, 2011/2012M.

Majlis berlangsung di Markas Putera. Tetamu Kehormat pada hari tersebut adalah Yang Mulia Tuan Haji Aziman bin Haji Zaman, Pegawai Perhubungan Pelajaran dan Kebudayaan di Pejabat Kedutaan Besar Negara Brunei Darussalam di Kaherah, Republik Arab Mesir.

Majlis bermula sejurus selepas ketibaan Tetamu Kehormat dengan bacaan Surah Al-Faatihah, dan diikuti dengan ucapan daripada Pengerusi Majlis, Ustaz Ak. Muhd. Saiful @ Hazmie bin Pg. Razak. Presiden BKPBDK Sesi 2011/2012M, Ustaz Abdul Qawiy bin Hj Ismail, kemudian dijemput untuk memberi sedikit ucapan. Beliau pada dasarnya menasihatkan bakal peneraju kepimpinan BKPBDK untuk tidak menganggap tugas yang bakal digalas sebagai sebuah beban.

Tetamu Kehormat Majlis, Tuan Haji Aziman bin Haji Zaman, kemudian dijemput untuk menyampaikan ucapan. Antara lain beliau mengingatkan para mahasiswa dan mahasiswi yang bakal dilantik untuk bijak mengimbang dan membahagi masa dalam pengurusan aktiviti dan juga pelajaran. Beliau juga menasihati kesemua mahasiswa dan mahasiswi, khususnya yang baru menjejakkan kaki ke bumi Mesir, untuk mengambil langkah berjaga-jaga dari sudut keselamatan dan apa jua sudut yang lainnya.

Majlis pada hari tersebut merupakan kesinambungan daripada sesi pertama Majlis Intikhabat yang dijalankan pada hari Khamis, 4hb Oktober, iaitu hari pengundian bagi enam jawatan tertinggi dalam barisan kepimpinan BKPBDK iaitu: jawatan-jawatan Presiden, Naib Presiden, Setiausaha Agung I, Setiausaha Agung II, Bendahari Agung I dan Bendahari Agung II. Sesi pertama ini juga merupakan hari pencalonan bagi jawatan Ketua dan Naib Ketua Unit-unit di bawah pentadbiran BKPBDK. Tiga orang calon yang mendapat undian tertinggi bagi jawatan Ketua Unit dan Naib Ketua Unit pada hari tersebut dipilih untuk diundi semula pada sesi kedua Majlis Intikhabat ini.

Para Ahli Jawatankuasa BKPBDK Sesi Pengajian 2011/2012M pada tahun ini juga telah bersepakat untuk menubuhkan sebuah unit baru di bawah naungan BKPBDK iaitu Unit Media dan Publisiti. Unit ini merupakan ceraian daripada Unit Pelajaran dan Penerangan yang mana calon ketua dan naib ketua bagi unit ini telah sedia dipilih oleh ahli Jawatankuasa BKPBDK Sesi 2011/2012M.

Acara Majlis Intikhabat bagi sesi kedua kemudiannya diteruskan dengan pengumuman keputusan undian bagi enam ahli jawatankuasa tertinggi BKPBDK. Berikut adalah keputusan yang diumumkan berdasarkan undian:

Presiden : Ustaz Mohammad Nazerul Wafiq bin Haji Mohammad Husin
Naib Presiden : Ustazah Nurul Munirah binti Awang Jumat

Setiausaha Agung I : Ustaz Muhammad Azrin bin Haji Asri
Setiausaha Agung II : Ustazah Nur Hafilah Salihah binti Haji Muhd. Salleh

Bendahari Agung I : Ustaz Ahmad Faiz bin Haji Awg. Shawal
Bendahari Agung II : Ustazah Hajah Adibah binti Haji Daim

Majlis Intikhabat bagi sesi kedua kemudian diteruskan dengan pengumuman calon-calon bagi jawatan Ketua dan Naib Ketua bagi setiap Unit di bawah naungan BKPBDK. Berikut adalah keputusan setelah pengumuman dan undian dibuat:

Ketua Unit Media dan Publisiti : Ustaz Muhammad Azhar bin Haji Abdul Aziz
Naib Ketua Unit Media dan Publisiti : Ustazah Hajah Nurnadiah binti Awang Haji Mohamed Ismail

Ketua Unit Agama dan Akhlak : Ustaz Muhammad Saifullah bin Rosli
Naib Ketua Unit Agama dan Akhlak : Ustazah Nuraqilah binti Haji Abdul Hamid

Ketua Unit Pelajaran dan Penerangan : Ustaz Mohd. Khalis bin Jofri
Naib Ketua Unit Pelajaran dan Penerangan : Ustazah Nurhafizah binti Haji Ismadi

Ketua Unit Kebajikan dan Kemasyarakatan : Ustaz Mohd. Refdie bin Haji Rosli
Naib Ketua Unit Kebajikan dan Kemasyarakatan : Ustazah Nurul Hazirah binti Haji Sulong

Ketua Unit Sukan dan Kesihatan : Ustaz Ak. Hafizul Hanif bin Pg. Haji Mohd. Hatta
Naib Ketua Unit Sukan dan Kesihatan : Ustazah Siti Nurul Hafizah binti Mohd. Zin

Majlis Intikhabat pada hari tersebut direhatkan seketika bagi memberi laluan kepada para hadirin untuk menunaikan solat Maghrib berjemaah. Majlis kemudiannya disambung dengan acara Pembubaran Rasmi Ahli Jawatankuasa BKPBDK Sesi 2011/2012M. Acara disempurnakan oleh Tetamu Kehormat Majlis, Yang Mulia Tuan Haji Aziman bin Haji Zaman, dengan penyampaian fail-fail kepada ahli-ahli Jawatankuasa BKPBDK sesi 2012/2013M yang dipilih.

Tetamu Kehormat Majlis juga telah menyampaikan sijil-sijil penghargaan kepada Ahli Jawatankuasa BKPBDK Sesi 2011/2012M. Pengumuman keputusan keseluruhan bagi rumah-rumah sukan sesi 2011/2012M kemudian disampaikan oleh Ustaz Muhammad Azrin bin Haji Asri, mantan Ketua Unit Sukan dan Kesihatan, BKPBDK. Rumah Helang Perkasa telah berjaya menjuarai keseluruhan aktiviti yang dijalankan oleh BKPBDK dengan markah 4396, diikuti dengan rumah Wira Tebuan yang memperolehi markah sebanyak 4293. Tempat ketiga disandang oleh rumah Singa Satria dengan markah sejumlah 4137.

Majlis diselajurkan dengan pelancaran kitab ‘At-Taraakib An-Nahwiyyah Fii Surah Yaasin’ tulisan Ustaz Pengiran Haji Saiful Bahrin bin Pengiran Haji Kula, dan majalah Raudhah, edisi ke 14, sebuah majalah tahunan terbitan Unit Pelajaran dan Penerangan. Pelancaran majalah ini telah disempurnakan oleh Yang Mulia Tuan Haji Aziman bin Haji Zaman, Tetamu Kehormat Majlis.

Acara diteruskan dengan penyampaian cenderahati kepada Tetamu Kehormat Majlis, Yang Mulia Tuan Haji Aziman bin Haji Zaman. Acara penyampaian cenderahati ini telah disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Intikhabat Ahli Jawatankuasa BKPBDK Sesi 2012/2013M, Ustaz Ak. Muhd. Saiful @ Hazmie bin Pg. Razak.

Majlis pada hari itu diakhiri dengan bacaan Doa Selamat yang dibacakan oleh Ustaz Muhammad Saifullah bin Rosli, Ketua Unit Agama dan Akhlak yang baru dilantik.

Para warga BKPBDK mendoakan semoga dipermudahkan segala urusan ahli jawatankuasa yang baru dilantik dalam menjalankan tugas sebagai pemimpin-pemimpin BKPBDK dan semoga lantikan ini menjadi sebuah platform dan latihan yang akan melahirkan pemimpin-pemimpin cekal yang berwibawa, berkualiti dan cemerlang di masa akan datang, InsyaAllah.

‘Melahirkan Pemimpin Berintelektual Islam Sejati’
Ucapan daripada Pengerusi Majlis, Ustaz Ak. Muhd. Saiful @ Hazmie bin Pg. Razak
Tetamu Kehormat Majlis, Tuan Haji Aziman bin Haji Zaman juga tidak turut ketinggalan memberikan sedikit ucapan.
Pelancaran kitab ‘At-Taraakib An-Nahwiyyah Fii Surah Yaasin’ tulisan Ustaz Pengiran Haji Saiful Bahrin bin Pengiran Haji Kula.
Pelancaran majalah Raudhah edisi-14.
Bacaan Doa Selamat yang dibacakan oleh Ustaz Muhammad Saifullah bin Rosli, Ketua Unit Agama dan Akhlak yang baru dilantik.
Ahli-ahli Jawatankuasa yang baru sesi 2012/2013M.

Disediakan oleh : Ustazah Siti Musfirah Bte Misli

No comments:

Post a Comment