Wednesday, April 29, 2015

Taklimat daripada Kementerian Hal Ehwal Ugama



Selasa , 21 April 2015M – Satu taklimat telah diadakan untuk semua pelajar Brunei Darussalam di Kaherah bertempat di surau bangunan Darussalam. Turut serta hadir ke majlis tersebut pegawai-pegawai kedutaan Brunei Darussalam di Kaherah dan juga pegawai kesejahteraan. Majlis dimulai dengan solat Maghrib berjemaah yang diimamkan oleh Ust. Muhd Khairul Hamizan bin Md Yusof.



Taklimat pertama disampaikan oleh Prof. Samsul Bahri Andi Galigo, Pengarah Pusat Pengkajian Ahli Sunnah Wal Jamaah. Antara isi yang disampaikan oleh beliau mengenai pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah iaitu betapa pentingnya kita berpegang teguh dengan ajaran tersebut agar tidak menyeleweng dan mengikuti ajaran selain daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Beliau menyatakan bahawa pelajar Al-Azhar inilah yang akan mempertahankan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah di Negara Brunei Darussalam. Para pelajar digalakkan untuk mengkaji dan menggali sedalam-dalamnya agar faham dan pakar dalam bidang tersebut untuk dibawa dan diajarkan kepada penduduk Negara Brunei Darussalam. Beliau juga turut menekankan untuk kembali kepada kaedah شجرة العلم di dalam mengkaji sesuatu ilmu agar ilmu yang dicari itu berada di jalan yang benar.

Prof. Samsul Bahri juga menyebutkan petikan daripada Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Menyambut Tahun Baru Hijrah 1434 yang berbunyi :
 “Turut membimbangkan kita, medan bagi penyaluran ajaran atau fahaman menyeleweng ini sangatlah luasnya. Ia tidak lagi terbatas setakat dari mulut ke mulut atau dari satu individu kepada individu lain, tetapi sudah sangat canggih dan lengkap melalui buku-buku, majalah-majalah, surat-surat khabar dan internet, seperti sahaja, keadaan itu sudah tidak dapat dibendung lagi.Oleh itu, Beta mengingatkan, supaya kita di Brunei tidak akan terbawa-bawa untuk mencedok sebarang pemikiran atau fahaman yang menyalahi itu. Brunei adalah Bumi Islam tulin. Insya Allah, pegangan ini akan terus kekal turun temurun, sehingga keakhir zaman.”


Taklimat diteruskan lagi sejurus selepas menunaikan solat Isya berjemaah yang diimamkan oleh Ust. Sawardi Haji Mahadi. Taklimat kedua ini disampaikan oleh Ustazah Hjh Zakiah binti Hj Taib, Pmk. Pengarah Hal Ehwal Syariah. Beliau menyebutkan tentang perlembagaan Negara Brunei Darussalam yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi negara menurut Ahli Sunnah Wal Jamaah dan bermazhabkan Syafie dan inilah yang menjadikan negara kita bersatu padu dan tidak berpecah belah seperti yang sudah terjadi di negara luar. Ini bermakna sebarang ajaran atau kefahaman yang bertentangan dengan ajaran Akidah Ahli Sunnah Wal Jama'ah tidak boleh dibawa masuk dan disebarkan ke Negara Brunei Darussalam.

Manakala taklimat yang ketiga pula disampaikan oleh Dr Hj Noralizam bin Hj Aliakbar, Pengarah Pusat Perhubungan Awam, KUPU SB. Antara pengisian taklimat beliau menyetuh mengenai isu Bid’ah yang kerap kali menjadi isu di kalangan masyarakat kita. Beliau turut menasihati pelajar agar tidak menimbulkan sebarang keraguan dan keresahan pada masyarakat seperti mempertikaikan amalan yang biasa dibuat oleh rakyat Brunei. Beliau juga turut menekankan bahawa individu yang berhak untuk mengeluarkan fatwa adalah Mufti Kerajaan.

Taklimat terakhir disampaikan oleh Ustazah Hajijah binti Hj Moktal, Pmk. Penolong Pengarah Pengajian Islam Bahagian Profesional. Beliau mengingatkan kembali tujuan kerajaan Brunei Darussalam menghantar para pelajar ke Mesir ini dan menasihatkan agar tidak mensia-siakan peluang mahasiwa-mahasiswi yang ada di bumi yang penuh berkat ini.


Majlis ditutup dengan bacaan doa selamat yang diketuai oleh Ust. Ak Md Faris Ramadhani bin Pg Hj Sellahuddin.


No comments:

Post a Comment