Friday, February 26, 2016

MAJLIS PENUTUP DIKIR SEMPENA MAULID NABI MUHAMMAD S.A.W 2015M/1437H




Disediakan Oleh:
Muhamad Adi Adham bin Ramlan
Ahli Unit Media Dan Publisiti
Badan Kebajikan Penuntut Brunei Darussalam Di Kaherah sesi 2015/2016


Bulan Rabi’ul Awwal merupakan salah satu bulan yang paling agung dan mulia dalam Taqwim Hijri. Ini kerana bulan ini adalah bulan kelahiran Rasul kita yang dicintai, Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam. Oleh itu, Pihak Badan Kebajikan Penuntut Brunei Darussalam Di Kaherah (BKPBDK) tidak melepaskan peluang keemasan ini untuk menyemarakkan malam Maulidurrasul yang mulia ini.

Majlis Penutup Dikir Sempena Sambutan Maulidurrarasul Sallallahu ‘Alaihi Wasallam ini berlangsung pada Hari Selasa, 22hb Disember 2015 Masihi bersamaan dengan 12hb Rabi’ul Awwal 1437H di Surau Darussalam. Turut serta dalam majlis ini Tuan Yang Terutama Ustaz Haji Abdul Kahar bin Haji Hussin, Duta Besar di Kedutaan Besar Negara Brunei Darussalam ke Republik Arab Mesir serta keluarga, Pegawai-Pegawai Kedutaan yang lainnya serta keluarga dan Mahasiswa/Mahasiswi Brunei Darussalam di Kaherah.

Acara majlis dimulakan dengan Solat Maghrib berjemaah selepas kedatangan Tuan Yang Terutama. Kemudian, majlis diteruskan dengan bacaan Al-Fatihah bagi memulakan dendangan Dikir Syarafil Anam dan Qasidah secara beramai-ramai bagi memeriahkan lagi suasana majlis. Acara sedemikian ini setentunya memberikan peluang kepada semua warga Brunei di Kaherah untuk turut merasakan kehangatan suasana Maulidurrasul yang lazimnya diadakan di tanahair, Negara Brunei Darussalam. Di samping itu juga, acara sebegini dapat menambahkan lagi rasa cinta kita terhadap Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.



Setelah itu, acara diteruskan dengan bacaan Doa Penutup Dikir yang diketuai oleh Ustaz Haji Hazwan bin Haji Salim, dan Doa Peliharakan Sultan yang diketuai oleh Ketua Unit Agama dan Akhlak iaitu Ustaz Ak Md Faris Ramadhani bin Pg Hj Sellahuddin bagi memberkati majlis ini.

Majlis selepas itu diselajurkan dengan penyampaian cenderahati kenang-kenangan kepada salah seorang Pegawai Kedutaan yang akan menamatkan khidmat bakti beliau di Kaherah, Mesir, iaitu Tuan Haji Daud bin Haji Johari, yang mana beliau telahpun bertugas hampir tiga tahun sebagai Setiausaha I. Setelah itu, pegawai yang baru dilantik iaitu Tuan Haji Mohd Amirol Hafidzin bin Mohammad, Pegawai Baru (Setiausaha I) telahpun memperkenalkan serba sedikit mengenai profil diri beliau kepada warga BruCai.


Majlis diakhiri dengan Solat Isyak berjemaah, dan selepas itu diteruskan dengan menikmati jamuan yang telah disediakan sebelum bersurai.

No comments:

Post a Comment