Tausiah Syeikh
Youssef Req Al-Bakhour Al-Hasani hafizahullah
25.12.2014
- Ketika kita di dalam alam zar (alam roh sebelum alam rahim), Allah Subhanahu wa Ta'ala bertanya kepada kita “Alastu Birabbikum?” (Bukankah Aku Tuhanmu?). Pertanyaan itu juga membawa maksud “Alastu bimahbubikum?” (Bukankah Aku ini yang kau cintai?), kerana perkataan “Rabb” juga berkaitan dengan perkataan “tarbiyah” (didikan, menjaga), dan tidak ada tarbiyah tanpa ada rasa cinta. Dan kita menjawab “balaa syaahidna” (Benar, Engkaulah Tuhan kami).
- Allah 'Azza wa Jalla berfirman melalui hadith qudsi: “Wahai anak Adam, janganlah kamu takut terhadap yang memiliki kekuasaan selama mana kekuasaanKu kekal. Dan kekuasaanKu tidak akan luput selamanya.Wahai anak Adam, jangan takut daripada kesempitan rezeki, sedangkan khazanahKu melimpah ruah, dan khazanahKu tidak akan habis selamanya. Wahai anak Adam, Aku ciptakanmu untuk beribadah maka janganlah bermain-main dan Aku telah menjaminkan bagimu rezekimu maka janganlah merasa letih. Maka demi kemuliaanKu dan ketinggianKu, jika engkau redha dengan apa yang Aku peruntukkan untukmu, maka hati dan badanmu akan merasa tenang dan engkau akan menjadi mulia di sisiKu. Dan jika engkau tidak redha dengan apa yang Aku peruntukkan untukmu, maka demi kemuliaanKu dan ketinggianKu, akan Aku arahkan dunia untuk menguasaimu, sehingga engkau mengejar dunia sepertimana binatang buas berlari di darat. Kemudian tiada bagimu daripada bahagian dunia kecuali apa yang Aku peruntukkan bagimu. Wahai anak Adam, Aku telah ciptakan langit dan bumi, dan Aku tidak merasa letih menciptakannya, maka apakah Aku akan merasa letih untuk memberikan sekeping roti untuk menampung kehidupanmu? Wahai anak Adam, jangan meminta kepadaKu rezeki esok hari sepertimana Aku tidak menuntut daripadamu amalan esok hari. Wahai anak Adam, Aku mencintaimu maka oleh kerana itu jadilah engkau orang yang mencintaiKu.” Syeikh Youssef hafizahullah mengatakan bahawa ini adalah hadiah daripada Allah. Maka terimalah.
- Syeikh Youssef hafizahullah bertanya : “Ketika kita dilahirkan, apakah kita dilahirkan bersama kasut atau tanpa kasut?” Kami menjawab: “Tanpa kasut.” Syeikh Youssef berkata: “Dan apabila kita meninggal dunia, apakah kita akan membawa bersama kasut kita?” Kami menjawab: “Tidak.” Syeikh Youssef: “Jadi kenapa kita berkelahi hanya kerana kasut?” Penerangan: Syeikh Youssef hafizahullah menggunakan sebuah analogi yang mana kasut disini bererti material-material dunia. Apabila kita dilahirkan kita tidak didatangkan bersama material-material dunia, dan ketika kita meninggal pun kita tidak membawa bersama harta-harta kita. Ini menampakkan kepada kita bahawa kehidupan dunia ini hanya sementara dan tidak kekal. Maka mengapa kita terlalu fokus kepada kehidupan dunia?
- Syeikh Youssef hafizahullah juga ada mengongsikan beberapa kisah Nabi Ibrahim ‘alaihissalam dan keluarga Baginda ‘alaihimussalam yang diuji oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala untuk membuktikan kebenaran bahawasanya Nabi Ibrahim benar-benar berserah diri kepada Allah Ta’ala. Kisah ini berkaitan dengan surah Al-Baqarah ayat 131. Terjemahan ayat: Ketika Tuhannya berfirman kepadanya “Tunduk patuhlah.” Ibrahim menjawab: “Aku tunduk patuh kepada Tuhan semesta alam.” Maka untuk membuktikan kata-kata Nabi Ibrahim ‘alaihissalam, Allah Ta’ala telah memberikannya pelbagai jenis dugaan dan cubaan. Dan terbuktilah bahawasanya Nabi Ibrahim ‘alaihissalam benar-benar tunduk patuh dan berserah diri sepenuhnya kepada Allah Ta’ala. Dengan kisah ini, Syeikh Youssef hafizahullah membawa para hadirin untuk memikirkan apakah kita sudah cukup berserah kepada Allah? Beliau mengatakan “Surrender is to do what Allah likes, not what you like. This is the price of love.” (Berserah diri adalah melakukan apa yang Allah suka, bukan apa yang engkau suka. Ini adalah harga untuk sebuah cinta.)
- If you want Allah to love you, be as Allah likes. Not what your desire likes. Don’t put conditions to Allah. (Jika kau mahu Allah mencintaimu, jadilah sepertimana yang Allah sukai. Bukan apa yang disukai oleh kehendak nafsumu. Janganlah meletakkan apa-apa kondisi kepada Allah Ta’ala.)
- Antara tausiah terakhir daripada Syeikh Youssef hafizahullah, beliau ada mengatakan “Negara kamu sangat-sangat memerlukan kamu. Jangan buang masa kamu. Kamu datang ke negara ini untuk menuntut ilmu.”
Syeikh Youssef bersama dengan Sidi Luqman Al-Hakim hafizahumullah. |
Wallahu Ta’ala a’laa wa a’lam. Mohon betulkan jika
terdapat sebarang kesilapan.
Untuk melihat gambar-gambar pada majlis tersebut klik sini
No comments:
Post a Comment