Pengajian Ilmu
Fiqh Di Darussalam
Alhamdulillah, pada semester yang lalu Unit Pelajaran dan Penerangan telah memulakan program-program ilmiah bagi para mahasiswa dan mahasiswi Brunei Darussalam di Kaherah yang dibuat pada setiap minggu. Di antara program ilmiah tersebut ialah pengajian ilmu Fiqh. Pengajian ini diajarkan oleh guru jemputan khas yang berasal daripada Indonesia, Ustaz Ahmad Ikhwani bin Shamsuddin hafizahullah. Beliau adalah graduan Master Universiti Al-Azhar Asy-Syarif dalam bidang Usuluddin syu’bah Hadith dan Ulum Hadith. Sekarang beliau sedang belajar di peringkat PhD di Universiti Al-Azhar Asy-Syarif.
Kitab yang digunakan bagi pengajian Ilmu Fiqh ini adalah
kitab Fathul Qarib Al-Mujib yang dikarang oleh Al-Imam Abi Abdillah Shamsuddin Muhammad
ibn Qasim ibn Muhammad Al-Ghazzi rahimahullah, atau lebih dikenali dengan Ibnu
Al-Gharabili. Kitab ini merupakan syarahan untuk Matan Abi Syuja’ yang dikarang
oleh Al-Qadhi Abu Syuja’ Ahmad ibn Al-Husaini ibn Ahmad Al-Asfahani Al-Syafi’e
radiallahu Ta’ala ‘anhu.
Kitab Fathul Qarib Al-Mujib ini merupakan kitab asas dalam
memahami Fiqh Mazhab Al-Imam Asy-Syafi’e rahimahullah. Apabila Imam Abu Syuja’
radiallahu Ta’ala ‘anhu ditanya mengenai kitab yang beliau karang ini, beliau
menjawab kitab ini tujuannya adalah untuk memudahkan para pelajar yang dalam
peringkat al-mubtadi’ (permulaan) untuk mempelajari ilmu Fiqh Asy-Syafi’i.
Diantara isi kitab yang sudah ditelaah oleh para mahasiswa
dan mahasiswi Brunei ialah bab tahorah (suci). Bab ini mengandungi banyak
pembahagian, diantaranya ialah jenis-jenis air, jenis-jenis najis dan apa yang
boleh disucikan melalui proses samak, penerangan mengenai larangan menggunakan
bekas emas, penjelasan tentang rukun-rukun wudhu yang wajib dan sunat,
hukum-hukum istinja’ dan adab-adab mengqadha hajat. Manakala baru-baru ini para
pelajar diterangkan mengenai perkara-perkara yang membatalkan wudhu’ dan
keadaan-keadaan yang mewajibkan ghusl (mandi) serta rukun-rukun dan perkara
yang sunat dilakukan ketika mandi.
Para mahasiswa dan mahasiswi Brunei telah mendapat banyak
mutiara-mutiara ilmu melalui aktiviti-aktiviti ilmiah seperti ini. Antara motif
program ilmiah ini diadakan di surau Darussalam adalah untuk mempersiapkan diri
bakal-bakal Ulama’ ini dengan pelbagai jenis ilmu yang bermanfaat, in sha
Allah.
Disediakan oleh: Zulfa Farhina binti DSS Haji Md. Zaimi
Jika ada kesilapan dalam penulisan fakta atau
penjelasan, mohon dibetulkan. J
No comments:
Post a Comment