Thursday, December 11, 2014

Siri Pengenalan Kitab Siri #1



"RISALAH ADAB SULUK AL-MURID



BIODATA PENULIS

Beliau ialah Al-Habib Abdullah bin ‘Alawi bin Muhammad bin Ahmad bin Abdullah bin Muhammad al-Haddad. Dilahirkan pada Isnin malam 5 safar 1044H bersamaan 30 Julai 1634M, namun ada juga yang mengatakan bahawa beliau telah dilahirkan pada malam Khamis. Beliau lahir disebuah perkampungan bernama Zubair yang terletak berhampiran dengan Kota Tarim di Wadi Hadramaut, Yaman.

Imam Abdullah al-Haddad rahimahullah adalah merupakan salah seorang tokoh ahli tasawuf yang masyhur pada kurun ke-11. Manakala manhaj beliau didalam bertasawuf adalah menurut sebagaimana yang dikemukakan oleh Imam Abu Hamid al-Ghazzali (450H-505H) rahimahullah.. Beliau juga telah digelar oleh para ulama pada zamannya dengan gelaran Qutb al-Irsyad قطب الإرشاد  ” dan merupakan mujaddid pada kurun ke-12 hijriah.

Sebagai menggambarkan akan kemasyhuran Imam Abdullah al-Haddad, terdapat suatu ungkapan pernah diungkapkan berhubung dengan kedudukan beliau dengan ungkapan yang indah, iaitu ; "Dalam dunia tasawwuf Imam Ghazzali ibarat pemintal kain, manakala Imam as-Sya’rani pula ibarat tukang potong dan Imam al-Haddad adalah penjahitnya ".

Perlu disebutkan disini bahawa Imam Abdullah al-Haddad rahimahullah berpegang dengan aqidah Ahli Sunnah wal’ Jamaah melalui jalan ataupun mazhab al-Asya'irah, dan dalam mazhab fiqhi pula beliau adalah bermazhabkan dengan mazhab Imam as-Syafi'e (150H) rahimahullah.

Imam Abdullah al-Haddad rahimahullah juga ada menyusun wirid-wirid serta amalan-amalan zikir . Diantara wirid beliau yang masyhur adalah yang dikenali dengan “Ratib al-Haddad – راتب الحدّاد ”.

Disamping itu, beliau banyak berjasa di dunia Islam khususnya dalam bidang penulisan dan da'wah serta pendidikan kerohanian. Diantara karya-karya beliau yang masyhur ialah seperti:

1.       النصائح الدينية والوصايا الإيمانية

2.       الدعوة التامة والتذكرة العامة

3.       رسالة المعاونة والمظاهرة والمؤازرة للراغبين من المؤمنين

4.       الفصول العلمية والأصول الحكمية

5.       سبيل الإدكار بما يمر بالإنسان وينقضي له من الأعمار

6.       رسالة المذاكرة مع الإخوان المحبين من أهل الخير والدين
7.       رسالة آداب سلوك المريد
8.       كتاب الحكم
9.       النفائس العلوية في المسائل الصوفية
10.   إتحاف السائل بجواب المسائل

Bagi sesiapa yang pernah membaca serta mengamati akan karya-karya Imam Abdullah al-Haddad, nescaya mereka akan mendapati bahawa ianya sarat dengan kata-kata nasihat dan kata-kata hikmah yang amat berguna. Maka tidak hairanlah karya-karya beliau telah tersebar luas dimuka bumi ini, sehinggakan kebanyakan karya-karya tersebut telah banyak diterjemahkan kedalam bahasa-bahasa yang lain seperti Bahasa Melayu, Inggeris dan sebagainya. Karya ataupun kitab-kitab beliau juga banyak diguna pakai dan banyak memberi manfaat kepada para murid atau salik yang ingin mendekatkan diri kepada Allah Ta'ala.

Pada akhir hayat Imam al-Haddad, iaitu pada hari Khamis 27 Ramadhan tahun 1132H, beliau mula sakit yang dikatakan berlanjutan selama 40 hari, sehingga pada malam Selasa 7 Dzulqaedah tahun 1132H, Imam murabbi ummah al-Haddad rahimahullah dijemput oleh Allah Ta'ala pada usianya lebih kurang 89 tahun. Makam beliau terletak di permakaman Zanbal di Kota Tarim, Hadramaut, Yaman. Semoga Allah melimpahkan rahmatnya kepada rohnya dan memberi manfaat kepada kita dengan ilmu-ilmu nya. Amin.



KETERANGAN KITAB
 
Nama Buku             :  Risalah Adab Suluk al-Murid  (  رسالة آداب سلوك المريد )

Penulis Kitab            :  Al-Habib Abdullah bin ‘Alawi al-Haddad al-Hadhrami asy-Syafi'e.

                                       ( الحبيب عبد الله بن علوي الحداد الحضرمي الشافعي )

Cetakan                     al-Wabil as-Shoyyib, (الوابل الصيب للإنتاج والتوزيع والنشر ) Cetakan Pertama, Tahun 1430H  /2009M

Jumlah Mukasurat   :   76 termasuk isi kandungan dan 17 fasal.

Gambaran                 Tidak lebih dari 5 mukasurat, paling sedikit dalam 2-3 mukasurat

Terdapat 2 jenis cetakan kitab yang dijumpai. Adapun kitab yang digunakan dalam bahath ini adalah kitab yang dicetak oleh Syarikat al-Wabil.
Diantara keistimewaan kitab ini adalah isinya yang saling berkaitan dari satu fasal ke satu fasal seterusnya. Kitab ini dimulakan dengan kata-kata aluan sebagai muqaddimah dari Syeikh Mustafa Hasan Badawi, iaitu yang bertanggungjawab dalam penerbitan kitab ini, yang antara lain beliau menyatakan bahawa:
"Risalah ini jelas binaan ayatnya, sungguh mendalam maknanya. Ia menerangkan kepada murid dan salik akan jalan yang ditempuhi oleh ahli-ahli sufi serta adab-adab yang wajib keatasnya untuk beriltizam dan berpegang dengannya supaya perjalanan mereka kepada Allah Ta'ala sampai ke penghujungnya, dan agar usahanya membuahkan hasil dan diredhai oleh Allah Ta'ala".
Setelah itu ialah  muqaddimah atau pendahuluan bagi kitab ini dari penulis iaitu al-Imam Abdullah al-Haddad rahimahullah. Didalamnya beliau menasihatkan kepada setiap murid atau salik dengan kata-katanya:
"Ketahuilah wahai murid yang menuntut, yang dengan penuh minat ingin menujukan diri kepada Allah SWT, sesungguhnya ketika kamu ingin memohon dariku untuk memberikan sesuatu pesanan dari bicaraku (kalamku) yang berkaitan dengan jalan(طريق)  yang amu sedang menuju kepadaNya, belum aku atangkan sesuatu yang dapat aku sampaikan kini".
                Selain itu, beliau juga menjelaskan bahawa dalam penulisan kitab ini adalah lebih baik jika beliau mencatatkan ringkasan tentang adab-adab dan cara-cara bagaimana seorang murid menuju ke jalan Allah SWT dan membahagikannya kepada beberapa fasal dengan menggunakan ibarat-ibarat yang mudah difahami ramai.


PERBAHASAN & ISI KANDUNGAN KITAB

Kitab ini mempunyai 17 fasal yang membincangkan akan adab-adab serta keperluan dan tunjuk ajar bagi setiap murid atau salik dalam meniti dijalan Allah Ta'ala, iaitu:

(FASAL 1-6)
FASAL (1): JALAN PERTAMA KE ATAS MURID HENDAKLAH  IA MEMPUNYAI DORONGAN KEBATINAN YANG KUAT.

Imam al-Haddad al-hadrami menyebutkan mengenai jalan pertama yang perlu keatas murid itu ialah memiliki dorongan kebatinan yang kuat yang muncul di dalam hati seorang hamba itu di mana ianya menggerakkan, menarik minat serta mengajak dirinya untuk berada di jalan Allah dan hari akhirat. Dan membelakangi perkara duniawi dan yang biasanya di kejar oleh manusia seperti mengumpul harta kekayaan dan bersenang-senang menurut kehendak nafsu dan syahwatnya dan bermegah-megahan dengan keindahan dan kemewahannya.

Keatas setiap murid itu hendaklah ia berusaha untuk menguatkan dorongan kebatinannya itu, menjaganya serta menurut ajakan dorongan itu – dengan cara mengingati Allah, merenung dan meneliti segala kekuasaan Nya, dan berdampingan dengan wali-wali  Allah.



FASAL (2): TAUBAT DAN SYARATNYA, SERTA MEMELIHARA DIRI DARI DOSA-DOSA.

Tindakan pertama yang dimulakan oleh setiap murid itu ialah bertaubat dengan sebenar-benar taubat kepada Allah Subhanahu Wata’ala dari kesemua dosa-dosa. Syarat sah taubat ialah dengan benar-benar menyesali atas perbuatan dosa bersama mempunya keazaman yang kuat untuk tidak melakukan kembali dosanya itu sepanjang umurnya. Dan hendaklah keatas setiap murid itu memelihara dirinya dari membuat sekecil-kecil dosa apatah lagi melakukan dosa-dosa besar laksana ia memelihara dirinya dari meminum racun yang berbisa.





FASAL (3): MENJAGA HATI DARI PERASAAN WAS-WAS, ANGAN-ANGAN KOSONG DAN LINTASAN-LINTASAN FIKIRAN YANG KOTOR.

Hendaklah ke atas setiap murid itu berusaha dalam menjaga hatinya dari perasaan was-was, angan-angan kosong dan lintasan-lintasan fikiran yang kotor. Hendaklah ia membina dipintu hatinya sebuah dinding yang mengawasi dan mencegah perkara-perkara yang masuk didalamnya. Jika sekiranya perkara-perkara yang disebut diatas telah masuk kedalam hati tersebut, nescaya ianya akan merosakkan hati, dan apabila hati itu rosak maka sukarlah  untuk mengeluarkan semula penyakit yang berselaput didalamnya. Antara penyakit-penyakit hati yang membahayakan ialah sifat-sifat membesar diri atau bongkak, riya' atau menunjuk-nunjuk dan hasad atau dengki.



FASAL (4):  MENCEGAH SELURUH ANGGOTA DARI MAKSIAT.

Seorang murid harus berusaha untuk mencegah anggota badannya dari perkara maksiat dan dosa-dosa, tidak menggerakkannya kecuali untuk membuat perkara ketaatan, dan tidak pula ia melakukan sesuatu kecuali ianya memberi manfaat untuk dirinya di akhirat kelak.

Hendaklah ia bersungguh-sungguh dalam memelihara lidahnya, maka sesungguhnya walaupun bentuk lisan itu kecil akan tetapi bencananya dan kesannya amat besar. Hendaklah lidahnya itu dijaga dari berdusta, mengumpat dan seterusnya segala percakapan yang dilarang agama. Hendaklah juga ia menjaganya dari menuturkan perkataan-perkataan yang kotor, melibatkan diri dalam perkara-perkara yang tidak ada sangkut-paut dengan diri sendiri. Meskipun yang demikian itu tidak haram hukumnya akan tetapi ia akan mengeraskan hati dan mensia-siakan masa tanpa faedah. Ketahuilah jua bahawasanya pendengaran dan penglihatan itu adalah dua pintu yang sentiasa terbuka menuju ke hati, yang mana apa sahaja yang masuk menerusi kedua pancaindera tersebut akhirnya akan sampai ke hati.



FASAL (5): SENTIASA DALAM KEADAAN SUCI.

Hendaklah ke atas murid itu untuk sentiasa dalam keadaan suci. setiap kali ia berhadas hendaklah ia berwudhu dan solat dua rakaat, dan jika sekiranya ia sudah berkahwin hendaklah ia bersegera untuk mandi junub selepas mendatangi isterinya dan jangan membiarkan dirinya dalam keadaan janabah pada waktu yang lama.

Di dalam cara mengekalkan diri supaya sentiasa dalam keadaan suci ialah dengan mengambil permakanan yang sedikit. Apabila  makan seseorang itu banyak maka ianya akan membuat dirinya selalu berhadas dan susahlah baginya dalam mengekalkan kesucian dirinya. Sebaliknya jika sekiranya makannya hanya sedikit, ianya akan membantunya untuk sentiasa dalam keadaan suci dan memudahkan untuk berjaga di tengah malam ( bertahajjud ), sedangkan tahajjud itu adalah sangat-sangat dituntut dan digalakkan.



FASAL (6): SENTIASA BERADA DI JALAN ALLAH.

Hendaklah ke atas setiap murid itu sepatutnya ia adalah orang yang paling menjauhi maksiat-maksiat dan perkara-perkara yang dilarang, dan paling kuat menjaga perkara-perkara fardhu dan yang dianjurkan, dan yang paling memelihara amalannya untuk mendekatkan diri kepada Allah dan yang paling cenderung untuk membuat kebaikan. Seseorang murid itu tidak ada bezanya dengan manusia yang lain kecuali ianya berada di jalan Allah dan mentaati perintah-Nya serta mengasingkan diri dari segala yang menghalangnya untuk beribadat.

Hendaklah juga ia menjadi seorang yang sangat berkira dalam setiap hembusan nafasnya dan bakhil dalam setiap masanya, tidaklah ia membazirkan atau meluangkan masanya sedikit mahupun banyak kecuali di dalam mendekatkan dirinya kepada Allah dan yang akan mendatangkan manfaat baginya untuk akhirat kelak.



(FASAL 7-12)



FASAL (7) : KEWAJIBAN SOLAT DAN RUH IBADAT.

Diantara nasihat-nasihat al-Imam Abdullah al-Haddad kepada setiap murid atau salik ialah menjaga solat dan mendirikan solat 5 waktu dengan menyempurnakan segala bacaannya, khusyuknya, rukuknya, sujudnya dan segala rukun dan sunat. Merasakan dalam hati sebelum mendirikan solat akan keagungan yang akan disembah iaitu Allah Subhanahu Ta’ala.

Beliau juga mengingatkan kepada murid agar jangan lalai dan was-was dalam beribadah, dan menjauhkan hal dunia ketika sedang beribadah. Beliau memetik hadith Rasulullah SAW yang kira-kira mafhumnya: bagi setiap hamba yang ingin mendirikan solat, maka hendaklah ia menghadapkan diri seluruhnya kepada Allah Subahanahu Ta’ala, jika ia berpaling buat kali yang pertama, maka ia seolah-olah ada yang lebih baik dari Allah, begitu juga kali keduanya, sampailah ia berpaling buat kali ketiga, maka ketika itu Allah Ta'ala sendiri yang akan berpaling daripadanya.

FASAL (8): MENJAGA SOLAT JUM'AT DAN SOLAT BERJEMA'AH SERTA AMALAN-AMALAN SUNAT.
Al-Imam Abdullah al-Haddad mengingatkan agar tidak meninggalkan solat Jum’at dan berjema’ah, kerana ianya adalah adat dan budaya atau kebiasaan bagi ahli bathil dan orang jahil. Beliau juga memberitahu kepada murid, sesiapa mengimarahkan waktu selepas solat subuh dengan perkara sunat, maka akan dilimpahi rezeki dari segi jasmani. Misalnya kesihatan. Bagi sesiapa mengimarahkan waktu selepas solat asar dengan perkara sunat, maka akan dilimpahi rezeki dari segi kerohanian. Misalnya ketetapan hati.

FASAL (9): SENTIASA BERZIKIR DAN BERTAFAKKUR.

Imam Al-Haddad Rahimahullah memberitahu kepada setiap murid untuk menetapkan hati pada jalan Allah selepas melakukan segala ketaatan dan menjauhi larangannya. Dengan cara sentiasa berzikir pada setiap keadaan, waktu dan tempat dengan hati dan lisan. Diantara caranya juga adalah dengan sentiasa bertafakkur akan kebesaran Allah Subahanahu Wa Ta’ala.

Beliau memberitahu kepada murid, jenis tafakkur itu ada 3 :

      1Bertafakkur akan kebesaran, keajaiban,  kekuasaan Allah yang ada di langit dan di bumi,          kesannya   kita akan mengenal Allah Subhanahu Wa  Ta’ala, iaitu Ma'rifatullah.

      2Bertafakkur akan segala nikmatnya, natijahnya akan merasa Mahabbatullah.

     3. Bertafakkur akan dunia, akhirat dan keadaan ciptaannya, faedahnya akan meninggalkan keduniaan dan menuju kepada akhirat yang akan membuahkan az-Zuhd fi ad-Dunia.



FASAL (10): MELAWAN HAWA NAFSU YANG MENDORONG KEPADA MALAS DALAM IBADAH DAN KETAATAN.
Imam Al-Haddad Rahimahullah memberitahu kepada setiap murid akan cara untuk melawan hawa nafsu yang mendorong pada malas membuat ketaatan dan beribadah, iaitu:

    - Menanamkan rasa “ar-rojaa'", yakni harapan. Dengan mengingatkan janji baik Allah bagi yang taat padanya, dari segala nikmat, rahmat, kemenangan, kemuliaan, syurga dan sebagainya.

    - Beliau juga menasihatkan bagi sesiapa yang melakukan maksiat dan melakukan dosa, hendaklah menghadirkan rasa “al-Khauf”, yakni takut. Setiap hamba mesti mengingati akan janji Allah bagi siapa yang melakukan maksiat, seperti azab, neraka dan sebagainya.



FASAL (11): BERSABAR DALAM MEMERANGI HAWA NAFSU.

Imam Al-Haddad al-Hadrami mengingatkan kepada setiap murid dan salik dijalan Allah, bahawa nafsu sentiasa menyeru kepada melakukan keburukkan, iaitu Nafsu al-Ammarah Bissuu'. Antara cara untuk memerangi hawa nafsu ini adalah dengan cara banyak bersabar. Adapun jika murid itu sudah memerangi hawa nafsu dengan cara bersabar, maka nafsunya itu akan berpindah, berubah kepada Nafsu al-Lawwamah, yang akan menuju kepada Nafsu al-Muthmainnah.

Beliau juga mengingatkan bahawa hati itu berbolak-balik, untuk menetapkannya adalah dengan cara menanamkan ar-Roghbah, iaitu cenderung berbuat kebaikan kepada Allah.



FASAL (12): BERSABAR AKAN KESUSAHAN DAN KESEMPITAN HIDUP.

Imam Al-Haddad Rahimahullah menasihatkan kepada murid agar bersabar dan bersyukur kepada Allah dalam kehidupan yang susah. Kerana kehidupan seperti ini adalah ciri-ciri kehidupan para nabi, para wali dan para orang soleh.

Beliau juga mengingatkan kepada murid, bahawa perasaan yang sentiasa mahukan nikmat dunia, bersenang-lenang, suka akan kehiasanan dunia, yang membuat hamba itu cinta dunia,  adalah ibarat racun yang membunuh.

Beliau juga memberitahu, rezeki adalah qadar Allah yang sudah dibahagikan, disusun bagi setiap hambanya. Ada diantara hambanya yang dilimpahkan rezeki yang luas, dan juga ada diantara hambanya yang disempitkan rezeki. Itu adalah hikmah Allah, hanya Allah sahaja yang tahu.

Seterusnya Imam Al-Haddad al-Hadrami juga menasihatkan kepada murid, agar jangan sesekali berangan panjang, kerana ianya akan membawa pada cinta dunia, yang akan mendorong  rasa berat untuk melakukan ibadah, ketaatan, dan meninggalkan akhirat.



  
   

(FASAL 13-17)



FASAL (13): SABAR KEATAS KESAKITAN DAN ANCAMAN YANG MENIMPA.
Di dalam fasal ini, al-Imam al-Haddad rahimahullah telah menasihati para muridin bahawa di dalam perjalanan menuju Allah Subhanahu Wa Taala , pasti akan ada banyak cobaan, rintangan, kesakitan yang akan menimpa dirinya. Bila perkara ini terjadi maka haruslah bagi para muridin untuk bersabar dan sentiasa sucikan hati. Kemudian para muridin juga dinasihatkan agar jangan sekali-kali membalas keburukan orang kepada mereka dengen kata-kata yang buruk.

Al-Imam al-Haddad rahimahullah juga menasihati agar para muridin sentiasa mempunyai sifat memaafkan dan mendoakan kebaikan kepada orang lain , yang mana dua sifat ini ialah antara sifat para shiddiqien.



FASAL (14): PENYUCIAN HATI.

Sebuah fasal yang menarik yang disematkan oleh al-Imam al-Haddad al-Hadhrami rahimahullah, yang mana beliau menerangkan tentang perlunya para muridin untuk mensucikan hati mereka dari takut kepada makhluq dan dari sifat tamak akan dunia. Ini kerana dua sifat ini akan membawa manusia kepada tiga perkara, iaitu: diam akan kebatilan, mudahanah dalam agama dan meninggalkan al-amr bil ma’ruf dan an-nahyu ‘anil munkar.



FASAL (15): LARANGAN MENCARI DAN MENGHARAP MUKASYAFAH DAN KARAMAH.

Adalah satu kemudharatan kata al-Imam al-Haddad al-Hadhrami rahimahullah bagi para muridin, untuk meinginkan dan berharap mendapat mukasyafat dan karamah. Beliau juga berkata adalah menjadi sesuatu kebiasaan bagi orang yang inginkan mukasyafah dan karamah, perkara ini tidak akan datang pada diri mereka. Berlawanan dengan orang yang membenci perkara ini terjadi pada mereka, orang yang seperti iniah yang selalunya akan zahir pada mereka mukasyafah dan karamah.

Beliau juga menerangkan bahawa, kadang-kadang perkara seumpamanya juga datang pada orang yang menginginkannya, tapi ia bukanlah merupakan karamah bahkan sebagai ihanah iaitu penghinaan bagi orang-orang yang lalai, serta sebagai ujian kepada orang-orang yang beriman.



FASAL (16): YAKIN DENGAN REZEKI YANG DATANG DARI ALLAH TA'ALA.

Didalam fasal ini, al-Imam al-Haddad rahimahullah menasihatkan agar para muridin agar sentiasa bersangka baik terhadap rezeki yang dikurniakan Allah kepada hambanya. Beliau juga dalam hal ini telah mengemukakan dalil, ayat keenam dari surah Hud tentang perlunya yakin dengan janji Allah Taala dalam hal rezeki. Kemudian beliau menyebutkan pula ayat ketujuh belas dari surah al-Ankabut , sebagai dalil akan perlunya bagi para muridin meminta rezeki dari Allah dan tidak merasa risau akan rezekinya yang telah dijamin, malah hendaklah ia berbuat dengan apa yang diperintahkan.




FASAL (17): BERSAHABAT DAN BERDAMPING DENGAN PARA SHOLEHIN, SERTA ADAB DAN SIFAT SYEIKH YANG MURSYID.

Al-Imam al-Haddad al-Hadhrami rahimahullah telah menerangkan dalam bab ini , satu perbincangan yang panjang mengenai perlunya bagi para muridin untuk ber-suhbah dengan para ulama dan orang-orang soleh.

Beliau menasihatkan agar para muridin sentiasa mentaati syeikh mereka sama ada secara zahir ataupun batin , sama ada ketika bersama syeikh ataupun tidak. Boleh sahaja kata beliau jika seseorang muridin tidak mentaati syeikhya dari segi batin, syeikhnya itu mengetahui.

Al-Imam al-Haddad al-hadhrami rahimahullah juga dalam fasal ini melarang para muridin untuk meminta tunjuk mukasyafah dan karamah dari syeikh mereka, dan jika berlaku sedemikian pun, seorang syeikh yang kamil tidak akan menunjukkan mukasyfat-nya sungguhpun mereka mampu untuk berbuat demikian.

Kemudian beliau juga memberi nasihat bagi para muridin agar sentiasa berwaspada supaya jangan sampai syeikh berubah hati dan berpaling dari mereka . Beliau memberi tamsilan dimana jika dikumpulkan syeikh-syeikh dari timur dan barat sekalipun tidak akan mampu merubah hati syeikh kecuali syeikh itu sendiri yang meredhakannya.

Dalam pencarian syeikh yang kamil pula, beliau menasihati agar sebelum menerima seseorang syeikh perlulah dulu diselidiki dan diteliti hal ehwal syeikh tersebut dan perlulah bagi para muridin kenal dengan sungguh-sungguh akan keahliannya.

Pada akhir fasal ini juga al-Imam al-Hadad al-Hadhrami rahimahullah juga  telah menukilkan serba sedikit nasihat yang berkaitan dengan Syeikh at-Tahkim yang mana para muridin dengan syeikh tahkim ini diibaratkan seperti anak kecil dan ibu. Manakala Syeikh at-Tabarruk pula adalah seperti tujuan bertemu dan belajar darinya untuk mendapatkan keberkatan. Wallahu a’lam .



KHATIMAH



Sebelum menutup kitab, Imam al-Habib Abdullah 'Alawi al-Haddad menasihatkan kepada setiap murid atau salik untuk meminta atau bertanya terus kepada syeikh atau gurunya jika terdapat sebarang pertanyaan atau soalan walau sebanyak yang dimahukan oleh Murid itu. Jangan hanya kerana sebab seorang murid itu mahu menjaga adab terhadap syeikhnya, ia menghalang dirinya  dari meminta atau bertanya. Kerana  diamnya seorang murid itu dari meminta atau bertanya bukanlah bererti satu adab yang baik. Melainkan jikalau syeikhnya itu sendiri yang melarangnya dari meminta atau bertanya kepadanya, maka itulah yang patut dipatuhinya. Ibarat kata pepatah, malu bertanya sesat jalan dan malu biar bertempat.



      Antara sifat-sifat seorang murid yang benar ialah ;

         Tidak layak seseorang itu dipanggil sebagai Murid melainkan selepas dia mendapati segala yang terdapat dalam Al-Quran itu semua yang dimahukannya. Hendaklah seorang Murid itu memandang lebih kepada kekurangan yang ada pada dirinya, bukan hanya memandang kepada kelebihannya. Cukuplah Allah sahaja yang memenuhi keperluannya, bukan berhajat kepada hamba-hambaNya.

               Seorang murid itu hendaklah sentiasa menjaga batasan-batasan dan janji-janji Allah, sentiasa redha dengan apa yang ada serta bersabar jika kehilangan sesuatu.

           Seorang murid itu hendaklah sentiasa bersyukur keatas segala nikmat yang Allah beri kepadanya, bersabar jika ditimpa bala bencana, redha dengan kepahitan ketentuan yang Allah tetapkan kepadanya, sentiasa memuji Tuhannya sama ada ketika suka dan duka dan sentiasa mengikhlaskan dirinya kepada Allah dalam keadaan terang mahupun sembunyi.

         Seorang murid tidak harus memperhambakan dirinya kepada selain dari Allah, dialah  yang seharusnya memimpin nafsunya, bukan dia yang dipimpin oleh nafsunya dan terkongkong dengan adat dan kebiasaan. Seluruh percakapannya, perbuatannya serta keadaanya hendaklah dihiasi dengan perkara-perkara yang baik. Akhirnya hendaklah seorang murid itu menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai idolanya dan ikutannya.

 Imam al-Habib Abdullah bin 'Alawi al-Haddad rahimahullah mengakhiri kitabnya dengan bacaan doa dan menyatakan bahawa kitab ini "Adab Suluk al-Murid" selesai ditulis pada malam ketujuh atau kelapan, bulan Ramadhan, tahun 1071 hijrah.







Disediakan oleh:


Muhammad Aisamuddin bin Haji Selaman
Mohammad Izzat Izzuddin bin PKDP Haji Emran
Muhammad Hairul Nizam bin Muhammad
Muhammad Jalaluddin bin Junaidi
Ak. Muhammad Muzhaffar bin Pg. Haji Rusjdi
Muhammad Ammar Fashan bin Ahmad



Disunting oleh:

Hilman bin Haji Salim

No comments:

Post a Comment