Saturday, November 8, 2014

Pembuka Tirai 2014/2015M

MAJLIS PEMBUKA TIRAI BADAN KEBAJIKAN PENUNTUT
BRUNEI DARUSSALAM DI KAHERAH (BKPBDK) SESI 2014/2015M


Pada hari Sabtu, 08hb November 2014 bersamaan dengan 15hb Muharram 1436H, Alhamdulillah, Majlis Pembuka Tirai bagi Badan Kebajikan Penuntut Brunei Darussalam Di Kaherah (BKPBDK) sesi 2014/2015M telah berjalan dengan lancar.

Majlis dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah di Surau Darussalam yang diketuai oleh Ketua Unit Kebajikan Dan Kemasyarakatan, Ustaz Muhd Aisamuddin bin Haji Selaman. 

Sejurus selepas menunaikan solat berjemaah, bacaan Ummul Kitab dibacakan oleh Setiausaha Agung 1, Ustaz Nurhazmie bin Haji Razali. Kemudian diteruskan dengan bacaan Surah Yassin yang diketuai oleh Ketua Unit Agama Dan Akhlak, Ustaz Muhammad Ammar Fashan bin Ahmad dan diselajuri dengan bacaan tahlil arwah yang diketuai oleh Presiden BKPBDK, Ustaz Muhammad Thaqif bin Haji Baha. Manakala doa tahlil telah dibacakan oleh Ustaz Awangku Muhammad Muzhaffar bin Pg Hj Rusjdi, Ketua Unit Pelajaran Dan Penerangan.

Kemudian majlis diteruskan dengan bacaan Doa Kesyukuran oleh Ustaz Mohammad Afif bin Haji Japar, Ketua Unit Media Dan Publisiti dan Doa Tolak Bala yang telah dibacakan oleh Ustaz Mohammad Fathi bin Haji Hassan, Ketua Unit Sukan Dan Kesihatan.

Majlis diteruskan lagi dengan ucapan Presiden BKPBDK yang baru. Di dalam ucapannya, beliau menyeru semua warga BruCai untuk patuh segala arahan Presiden dan juga semua barisan Ahli Jawatan Kuasa (AJK) yang telah dilantik baru-baru ini. Sentiasa tegur-menegur dan nasihat-menasihati diantara satu dengan yang lain.

Beliau juga ada menerangkan tentang moto BruCai ‘Ke Arah Perpaduan Intelek Islam Yang Berkaliber’, iaitu ‘Ke Arah Perpaduan’ di sini bermaksud kita menuju satu tujuan, susah senang sentiasa bersama dan tidak berpecah belah. 

Manakala ‘Intelek Islam’ pula bermaksud kita adalah harapan Negara untuk membuatkan Brunei Darussalam sebuah ‘Negara Zikir’ seperti dalam titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Dipertuan Negara Brunei Darussalam. Begitu juga dengan perlaksanaan Hukum Qanun Syari’ah yang sedang berjalan di Brunei Darussalam. 


‘Yang Berkaliber’ pula bermaksud mentarbiah dan melahirkan cendikiawan Islam yang berguna di masa akan datang.

Beliau juga menekankan tentang mendisiplinkan diri dalam menjaga masa. Beliau menyeru supaya sentiasa menepati masa yang ditentukan oleh badan BruCai sama ada ketika menghadiri majlis mahupun mesyuarat. Ahli BruCai juga dinasihati agar menghormati masa orang lain. Firman Allah Subhanahu Wa Taala di dalam Surah Al-Asr yang bermaksud:

“Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran”

Atas dasar keselamatan, Presiden BKPBDK menekankan bahawa para penuntut hanya dibenarkan berada di luar bangunan selewat-lewatnya sehingga jam 8 malam bagi mahasiswi dan jam 10 malam bagi mahasiswa. Disamping itu, mahasiswa adalah dilarang keras untuk menaiki bangunan mahasiswi kecuali jika ada urusan yang penting.

Hubungan BruCai bukan setakat dalam bangunan sahaja, bahkan juga di luar bangunan. Mahasiswa dan mahasiswi yang baru mahupun yang lama hendaklah saling hormat menghormati, memberi salam ketika bertemu di mana saja berada.

Berbalik semula kepada niat asal ke bumi Anbiya ini adalah untuk menimba ilmu sebanyak yang mungkin, bukan sahaja ilmu yang didapati di kuliah bahkan perbanyakkanlah ilmu itu melalui kelas-kelas talaqqi. Kita datang ke bumi Mesir bukan untuk mendapatkan ijazah semata-mata. 

Dalam kesibukan untuk peperiksaan, kuliah dan aktiviti, kita tidak seharusnya melupakan orang yang berada di Brunei terutama sekali ibubapa kita yang telah banyak berkorban dan mendoakan kita sehingga kita berjaya.

Selepas ucapan dan nasihat Presiden, majlis ditutup dengan solat Isya’ berjemaah yang diimamkan oleh  Bendahari Agung 1, Ustaz Hj Muhammad Farid bin Hj Muhd Yasin serta diakhiri dengan menikmati jamuan.

“Ke Arah Perpaduan Intelek Islam Yang Berkaliber”



Untuk melihat gambar-gambar pada majlis tersebut klik sini

1 comment:

  1. This article gives the light in which we can observe the reality. This is very nice one and gives indepth information. Thanks for this nice article.
    Prom Dresses

    ReplyDelete