" BERSATU MENDUKUNG UNDANG-UNDANG ALLAH "
Pada Jumaat yang lalu iaitu pada 12hb Disember 2014 bersamaan dengan 28 Safar 1436H bertempat di Surau Darussalam pada pukul jam 2 petang, telah berlangsung satu majlis ceramah yang bertajuk “Bersatu mendukung undang-undang Allah”.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah penceramah undangan, Yang Mulia Dr Ustaz Haji Japar Bin Haji Maidin, Ketua Pegawai Istinbat, Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri, Negara Brunei Darussalam beserta pegawai-pegawai kedutaan dan ibu-bapa. Majlis pada petang itu dimulakan dengan bacaan Ummul Kitab.
Serba sedikit tentang latar belakang pendidikan " YM Dr Ustaz Haji Japar Bin Haji Maidin."
Beliau memperolehi ijazah sarjana muda dalam bidang Usuluddin Akidah Dan Falsafah di Universiti Al-Azhar, Mesir pada tahun 1983M. Manakala Ijazah Sarjana dalam bidang Syariah di Universiti Malaya, Kuala Lumpur, Malaysia pada tahun 2000M dan beliau memperolehi pangkat kedoktoran pada tahun 2011M dalam bidang Falsafah Syariah di Universiti Malaya Kuala Lumpur, Malaysia.
Majlis kemudian diteruskan dengan mempersila penceramah undangan, Yang Mulia Dr Ustaz Haji Japar Bin Haji Maidin untuk menyampaikan ceramah yang mana secara ringkasnya, beliau ada menerangkan tentang perintah-perintah, kanun-kanun dan undang-undang syariah yang akan dilaksanakan.
Yang Mulia Dr Ustaz Hj Japar dalam ceramahnya menjelaskan, Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syar’iah 2013 ialah satu perintah yang diisytiharkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. Ianya merupakan satu undang-undang negara yang perlu kita ikuti dan patuhi. Alhamdulillah, seperti yang kita sudah maklum, pada 22hb Oktober 2013M sempena dengan Majlis Ilmu Hari Keputeraan KDYMM, Negara Brunei Darussalam telah mencipta sejarah dengan perlaksanaan Akta Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syar’iah yang akan berkuatkuasa secara berfasa setelah enam bulan selepasnya.
Beliau juga turut mengongsikan tentang perlaksanaan Perintah Kanun Jenayah Syar’iah ini adalah dilakukan secara berperingkat-peringkat iaitu melalui tiga fasa :-
- Fasa 1 meliputi kesalahan yang hanya melibatkan hukuman denda dan penjara di bawahPerintah Kanun Hukuman Jenayah Syar’iah. Fasa ini telah bermula pada 1hb Mei 2014M iaitu 6 bulan setelah ianya diwartakan.
- Fasa 2 pula meliputi semua kesalahan yang melibatkan hukuman Qisas, Diyat, Arsy dan Badal As-sulh kecuali kesalahan yang melibatkan hukuman bunuh. Fasa ini akan bermula 12 bulan setelah ianya diwartakan.
- Fasa 3 ini pula akan bermula 24 bulan setelah Perintah Kanun Peraturan Jenayah Mahkamah Syariah diwartakan, Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah 2013 (Syariah Penal Code) akan dilaksanakan sepenuhnya termasuk kesalahan yang mengenakan hukuman mati.
Dalam pada itu, beliau juga turut menghuraikan beberapa persoalan yang seringkali menjadi tanda-tanya masyarakat Brunei. Di antaranya:
Soalan: Adakah Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syar’iah ini hanya dilaksanakan keatas hanya orang Islam atau sebaliknya dan apakah pengenaan hukuman kesalahan-kesalahan yang khusus untuk orang bukan Islam?
Menurut beliau, oleh sebab ini undang-undang negara, ia terkandung orang islam dan juga bukan orang islam. Ianya bukan merupakan undang-undang Mahkamah Ugama akan tetapi undang-undang negara secara general.
Di antara pengenaan kesalahan-kesalahan yang dilakukan khusus untuk orang Islam.
- Murtad: Keluar dari Agama Islam. Tidak menjadi kesalahan sekiranya penganut agama lain seperti misal, penganut agama kristian ingin menukar ke agama hindu atau selainnya.
- Tidak menunaikan sembahyang Jumaat: Mana-mana lelaki yang mukallaf tidak menunaikan sembahyang Jumaat di masjid tanpa ada uzur syar’ie atau alasan yang munasabah akan dikenakan denda.
- Pemujaan. Mana-mana orang islam yang memuja tempat, alam benda dan apa-apa objek yang bertentangan dengan hukum syara’ yang mana pemuja beranggapan bahawa ianya akan mendatangkan rezeki, menyampaikan hajat atau sebagainya akan dikenakan denda, dihukum penjara atau kedua-duanya sekali.
Di antara pengenaan kesalahan-kesalahan yang dilakukan bagi orang bukan islam tapi dilakukan secara bersyarat:
- Zina: Bukanlah menjadi kesalahan sekiranya penzina itu merupakan bukan orang Islam. Akan tetapi, ianya akan menjadi kesalahan sekiranya dilakukan di antara orang bukan islam dengan orang Islam. Sekalipun ia tidak berupa satu kesalahan pada asalnya, jika ia melakukan bersama orang Islam, ia akan menjadi kesalahan.
- Minum minuman yang memabukkan: Ianya hanya menjadi kesalahan apabila ia dilakukan di hadapan khalayak orang ramai. Tidak menjadi kesalahan sekiranya dilakukan di rumahnya atau kawasan tertutup.
Pada ceramah itu, beliau ada menjelaskan lanjut bahawa hukuman Jenayah Syar’iah ini mempunyai
dua bentuk:
- Hukuman takzir ialah hukuman yang tertakluk kepada budi bicara pemerintah kerana hukumannya tidak disebut di dalam Al-Quran dan Sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.
Hukuman takzir ini boleh didapati dalam bentuk penjara, sebatan, denda dan lain-lain. Antara kesalahan-kesalahan yang boleh dikenakan hukuman takzir ialah kesalahan tidak menunaikan sembahyang fardhu Jumaat bagi lelaki, kesalahan tidak menghormati bulan Ramadhan, khalwat dan lain-lain.
- Hukuman yang mengikut hukum yang ditetapkan oleh Al-Qur’an atau Sunnah RasulullahSallallahu Alaihi Wasallam. Misalnya, Kesalahan-kesalahan seperti mencuri, hirabah (rompak), zina termasuk liwat dan zina bil-jabar (rogol), Qazaf, meminum minuman yang memabukkan dan murtad akan dikenakan hukuman “Hadd”.
Ujarnya,terdapat pelbagai komen dari negara luar terhadap Negara Brunei Darussalam bila melaksanakan Perintah Kanun Hukuman Jenayah Sya’riah. Kita selaku rakyat sepatutnya faham dan bersedia untuk menghadapi cabaran-cabaran dari anasir yang cuba mengagalkan negara kita dari menjalankan hukum Allah ini.
Sesuai dengan titah Baginda KDYMM, “Jangan leka dibuai arus kemodenan, ujian ini akan sentiasa dihadapi oleh orang-orang yang menegakkan kebenaran di muka bumi dan ia tidak mudah untuk dilalui kerana naluri manusia yang cenderung kepada kebatilan, dimana tarikan kepentingan dunia amat kuat berbanding dengan tarikan akhirat. Fikir-fikirkanlah bersama”. – Petikan titah KDYMM di Majlis sambutan Isra dan Mikraj 1426H/2005M.
Melalui ceramah ini, beliau mengharapkan para mahasiswa dan mahasiwi agar terus mendalami ilmu agama khususnya kita yang menuntut ilmu di Mesir ini. Kita semualah yang akan memainkan peranan penting dalam membantu hasrat kerajaan KDYMM dalam menggubalkan Perintah Kanun Hukuman Jenayah Sya’riah serta menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah negara “بلدة طيبة ورب غفور”
Majlis seterusnya diikuti dengan sesi soal jawab dan diakhiri dengan penyampaian cenderahati yang disampaikan oleh Ustaz Muhammad Thaqif bin Haji Baha, Presiden BKPBDK 2014/2015M.
Untuk akhirnya, bagi memberkati majlis, Doa Selamat telah dibacakan oleh Ustaz Muhammad Ammar Fashan bin Ahmad, Ketua Unit Agama dan Akhlak sesi 2014/2015M.
Untuk melihat gambar-gambar pada majlis tersebut إضغط هنا
You’ve got some interesting points in this article. I would have never considered any of these if I didn’t come across this. Thanks!.
ReplyDeleteProm Dresses