Friday, December 12, 2014

PROGRAM QIYAMULLAIL BRUCAI




 Allah Subhanahu Wata’ala pernah berfirman dalam Surah Al-Muzammil ayat 1-4 yang bermaksud : “Hai orang-orang yang berselimut , bangunlah di malam hari, kecuali sedikit daripadanya. Yaitu seperduanya atau kurangilah atau kurangilah dari seperdua itu sedikit, atau lebih dari seperdua itu dan bacalah AlQuran itu dengan perlahan-lahan” 





   Alhamdulillah Thumma Alhamdulillah, pada hari Khamis , 4hb Disember 2014 bersamaan dengan 20hb Safar 1436H Program Qiyamullail kini kembali lagi mengetuk pintu Warga Brucai untuk sama-sama mengisi hati yang terasa kosong dan iman yang mengemis kepada perkara yang baik sebagai santapan roh. Lebih-lebih lagi bulan disember ini boleh dikatakan bulan “ketahanan mental dan fizikal” bagi pelajar-pelajar disebabkan menjelangnya imtihan untuk semester satu. Adapun Program Qiyamullail kali ini datang menyapa kita dengan tema yang mampu membuatkan kitani berfikir sejenak iaitu “BERSEDIAKAH AKU?”



Usai Solat Maghrib berjema’ah, ceramah motivasi telahpun disampaikan oleh Yang Mulia Ustaz Ahmad Ikhwani , dimana beliau telah mengupas lebih mendalam mengenai tema Qiyamullail kali ini. Secara Umumnya, beliau ada menyentuh beberapa perkara penting sebagai renungan bersama khususnya sebagai Pelajar Azhari yang akan membimbing ‘ummah apabila pulang nanti. Allah Subhanu Wata’ala ada berfirman : 


"من يرد الله به خيرا، يفقهه في الدين"


Tafsirannya : “Barang siapa yang Allah inginkan kepadanya kebaikan, maka Allah akan memberikannya kefahaman dalam agama”

Berdasarkan ayat diatas , Ustaz Ahmad Ikhwani ada menjelaskan pelajar-pelajar yang menyambung pembelajarannya ke Bumi Kinanah ini perlu menyedari keberuntungannya dipilih oleh Allah Subhanahu Wata’alaa untuk berada disini. Akan tetapi, dengan kemuliaan ini ada bersandar dengannya tanggungjawab iaitu tanggungjawab untuk membimbing ‘ummah, memperbetulkan mana yang batil, dan juga tanggungjawab untuk menimba ilmu sebanyaknya selama mana ada disini.


Beliau juga ada memberi peringatan akan bahayanya jikalau seorang pelajar itu gagal mensyukuri nikmat yang diberikan keatasnya, disamping itu juga beliau ada memberikan beberapa turuq (cara-cara) untuk bersyukur antaranya ialah :

          .   Mengucapkan “Alhamdulillah”.

          .   Memanfaatkan masa dengan menimba ilmu sebanyak mungkin.

         .  Melaksanankan amanah yang diberi.


Beliau ada juga mengkongsikan bahawasanya menurut Imam Daud untuk menjadi seseorang yang baik dalam agama, kita tidak perlu menghafal beribu-ribu hadis bahkan mencukupi empat sahaja iaitu:

1.      (إنما الأعمال بالنيات......)

2.      (الحلال بين والحرام بين وكل ما بينهما متشابهات....)

3.      (من حسن إسلام المرء تركه ما لا يعنيه....)

4.      (لا يؤمن أحدكم حتى يحب لأخيه ما يحب لنفسه....)

Selesai Solat Isya’ berjema’ah dan makan malam, Program Qiyamullail diteruskan lagi dengan permainan-permainan yang dianjurkan oleh Unit Agama dan Akhlak (UADA) dimana pelajar-pelajar telah dibahagikan kepada dua tempat berasingan, pelajar-pelajar perempuan di bilik serbaguna (mini-hall) manakala  pelajar-pelajar lelaki di Surau Dar Assalam. 


Aktiviti Di Surau Dar Salam bagi Banin : 


Sesi pertama ialah TA’ARUF dimana pelajar-pelajar dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan setiap kumpulan haruslah memperkenalkan ahli-ahlinya dari segi umur, tempat tinggal, kegemarannya dan lain-lain lagi kepada orang ramai. Ianya bertujuan untuk mengeratkan silaturrahmi diantara pelajar sekaligus melatih kekuatan daya ingatan.


Sesi kedua ialah Permainan “ Belalang Belatok “ dimana seorang pelajar ini haruslah berusaha untuk menepuk bahu pelajar yang berpasangan dengannya bilamana perkataan “belalang” ataupun “belatok” disebut. Maka pelajar-pelajar akan berusaha untuk mempertahankan diri mereka agar tidak ditepuk. Permainan ini bertujuan mendidik pelajar apabila berada di alam pembelajaran, akan ada perkara-perkara yang membawa kita kepada kelalaian dan alpa akan niat yang asal. Maka pelajar-pelajar adalah di ingatkan agar mentajdid niat selalu agar tidak lari dari matlamat asal.


Aktiviti di Bilik Serbaguna (Minihall) bagi Banat :




Sesi pertama ialah sesi TADABBUR AL-QURAN bagi banat (pelajar perempuan) dimana pelajar-pelajar dibahagikan kepada lima kumpulan dan sesi tadabbur Al-Quran segera dimulakan. Selain untuk menghidupkan lagi Program Qiyamullail ini, sesi ini diadakan adalah bagi menerapkan kedalam diri pelajar kepentingan membaca Al-Quran dan menjadikan Al-Quran ini sebagai pedoman didalam beramal serta sebagai petunjuk jalan yang harus ditempuh. Seperti yang kita ketahui الإيمان يزيد وينقص (iman itu bertambah dan berkurang)maka dengan mentadabbur Al-Quran, kita dapat meningkatkan lagi keimanan dan ketaqwaan kita terhadap Allah dengan merenungkan dan memerhatikan apa yang kita baca dalam Al-Quran.


Selesai saja sesi pertama, diteruskan lagi dengan sesi kedua iaitu permainan “Cleaning our mind and soul “ dimana setiap kumpulan telahpun diberikan satu kontena yang berisi didalamnya perkataan sama ada “positif “ ataupun “negatif”. Setiap pelajar dikehendaki mengambil sekeping kertas tersebut, dan jikalau kertas yang diambil itu merupakan “negatif” maka adalah menjadi satu cabaran untuknya untuk meneruskan perjuangannya sehingga mendapat “positif”. Pengajaran yang dapat kita lihat dari permainan ini ialah,walaupun kita mendapat bermacam-macam dugaan, ianya bukan menjadi sebab supaya kita mengaku kalah dan berputus asa dalam setiap perkara, bahkan kita belum boleh dikatakan seorang muslim yang sempurna jikalau belum menerima ujian dari Allah.


Pada jam 10 malam, pelajar lelaki dikehendaki untuk bermalam disurau, manakala pelajar perempuan dikehendaki tidur di Syaqah masing-masing. Kira-kira pada Jam 3 pagi, semua pelajar disuruh bangun untuk sama-sama mendirikan Solat Sunat Hifzi beramai-ramai. Solat Sunat Hifzi ini terdiri daripada empat raka’at dengan dua kali tahiyat akhir. Diantara fadhilat-fadhilat Solat Sunat Hifzi ini adalah :

        .       Menguatkan daya ingatan kita dalam menghafal Al-Quran terutama sekali bagi Hufaza’.

        .       Dikabulkan segala permintaan kita, In Sha Allah. 

        .       Allah mengampuni dan merahmati hamba-hambaNYA yang bangun untuk melakukan Solat Sunat pada ketika itu.


Solat Sunat Hifzi pertama telah di imamkan oleh Ustaz Khairul Ikhwan dengan membaca Surah Yaasin & Surah Ad-Dukhan. Manakala Surah As-Sajdah & Surah Al-Mulk telah dibacakan pada Solat Sunat Hifzi yang kedua oleh Ustaz Muhammad Najib.

Selesai Solat Sunat Hifzi, diteruskan lagi dengan Solat Sunat Hajat dua raka’at secara berjema’ah yang diketuai oleh Ustaz ‘Ammar Fashan. Sementara menunggu Azan Subuh berkumandang, pelajar-pelajar diberi masa untuk membuat aktiviti-aktiviti bebas seperti membaca Al-Quran, Solat Sunat bersendirian dan lain-lain lagi. Setelah itu, acara diteruskan lagi dengan Solat Subuh beramai-ramai yang diketuai oleh Ustaz Abu Hurairah. Setelah selesai Solat Subuh, Program Qiyamullail disemarakkan lagi dengan pembacaan Surah Al-Kahfi beramai-ramai yang dikepalai oleh Ustaz Ak Ahmad Faris Ramadhani bagi sama sama meraih keredhaan dan rahmat Allah pada Hari Jum’at yang penuh dengan keberkatan dan kemuliaan.


KULIAH SUBUH “Uniknya Manusia”


Selepas itu, Program Qiyamullail diteruskan lagi dengan Kuliah Subuh yang disampaikan oleh Yang Mulia Ustaz Hilman dengan tajuknya “Uniknya Manusia”. Dimana beliau ada menerangkan bahawasanya Cerdiknya seorang insan itu ialah apabila dirinya kuat bermuhasabah, sering bertafakkur dan sentiasa mempersiapkan diri sebelum ajal menjemputnya. Manakala, lemahnya seorang insan itu apabila dirinya sering mengikut hawa nafsu …والعياذ بالله

Beliau ada juga menerangkan beberapa jenis tafakkur iaitu :

1.      معرفة الله

2.      محبة الله

3.      الخوف من الله

4.      الإستحياء من الله



Alhamdulillah, Program Qiyamullail ini dijangkakan akan beterusan selama empat minggu berturut-turut.  Disamping mempersiapkan diri pelajar-pelajar untuk menempuhi peperiksaan yang akan datang , Program ini  diharap dapat memupuk rasa kecintaan dan melatih diri pelajar-pelajar sekalian untuk bangun sepertiga malam sekaligus membentuk jati diri Muslim yang sejati.



Untuk melihat gambar-gambar pada majlis tersebut klik sini

No comments:

Post a Comment