Thursday, November 22, 2012

Program Qiyamullail

Pada 22hb November 2012M, Unit Agama dan Akhlak telah mengungkayahkan Program Qiyamullail dan diteruskan dengan solat Hifzi yang diadakan secara berasingan. Bagi mahasiswa bertempat di Markas Putera manakala bagi mahasiswi di Markas Puteri. Majlis yang bertemakan ‘Menuju Kecemerlangan Duniawiy & Ukhrawiy’ itu dimulakan dengan bacaan Ma’thurat secara berjemaah, diteruskan dengan Ifthar Jam'ie dan solat Maghrib dan Isya' berjemaah.

"Sharing Session"
Di antara pengisian yang ada sepanjang majlis pada waktu malam ialah membaca Surah Kahfi, 'Sharing Session' dan diteruskan dengan aktiviti berkumpulan dan video.

Manakala pengisian pada waktu pagi pula ialah solat Tahajjud, solat Hifzi dan solat Subuh berjemaah kemudian disusuli dengan bacaan Ma’thurat. Majlis diserikan lagi dengan aerobik yang memeriahkan lagi suasana di waktu pagi. Setelah penat beriadah sarapan pagi pun dihidangkan.


Solat Subuh berJemaah
Baccan Surah Kahfi


Seterusnya sesi bergambar ramai bagi kenang-kenangan. Banyak kenangan indah yang terukir sepanjang majlis diadakan. Semoga ukhuwah yang ada berterusan serta diberkahi oleh Allah Subhanahu WaTaala.

Berbincang bersama kumpulan
Aktiviti berkumpulan

Penerangan tentang logo.









 

 Disediakan oleh: Ustazah Hazimah Bte Baha.


Monday, November 19, 2012

Kursus Pengurusan Jenazah

Ustaz sewaktu membentangkan kertas kerja berkenaan.

Pada Isnin lalu, 5hb Muharram 1434H bersamaan dengan 19hb November 2012M, beberapa orang mahasiswa-mahasiswi Brucai telah mengikuti sebuah kursus anjuran Al-Mustamidy Study & Training Center. Kursus berkenaan bertempat di Wisma Nusantara, Thayran.

Antara mahasiswi yang hadir di kursus tersebut.
Tenaga pengajar bagi kursus tersebut ialah Ustaz Akhmad Ikhwani Syamsuddin. Sepanjang kursus tersebut, para peserta mendapat penjelasan daripada cara-cara memandikan jenazah hinggalah cara menguburkannya.
Di dalam Muqaddimah, Ustaz Akhmad mengingatkan para peserta bahawa kematian adalah sesuatu yang pasti.

كل نفس ذائقة الموت
“Setiap yang bernyawa akan merasakan kematian” – Surah Ali Imran: 183.

Antara penerangan pada hari berkenaan adalah mengenai cara memandikan jenazah. Adapun para ulama bersepakat bahawa mayat berhak dimandikan jika memenuhi syarat-syaratnya, iaitu:
1.       Muslim.
2.       Sempat hidup di dunia sebelum kematiannya.
3.       Tubuh mayat dalam keadaan sempurna.
4.       Bukan syahid.
5.       Bukan orang fasik. (Jumhur ulama berpendapat mereka patut dimandikan sebagaimana layaknya kaum muslimin).
6.       Terdapat air.
Para mahasiswa Brunei yang sempat
bergambar bersama Ustaz.

Dalam pada itu, ada beberapa soalan telah diajukan kepada Ustaz di bawah sub-topik Memandikan Jenazah: -

Soalan: Jika badan mayat terpotong-potong, adakah perlu menjahit semula anggota badan mayat berkenaan?
Jawapan: Tidak perlu. Cukup dengan hanya mengumpulkan anggota badan yang terpotong tersebut pada satu tempat.

Soalan: Bagaimana jika badan mayat hancur, hangus, becerai-berai sehingga tidak dapat dikenali dan bercampur dengan mayat lain?
Jawapan: Cuba kenal pasti mayat melalui bentuk badan mayat atau menggunakan teknologi canggih yang ada pada masa ini.

Berpindah kepada sub-topik seterusnya, Ustaz menerangkan bahawa secara dasarnya, terdapat dua syarat bagi yang ingin memandikan mayat:
1.       Berakal,
2.       sama jantina atau mempunyai hubungan syar’i dengan mayat seperti hubungan nasab dan pernikahan.

Antara soalan yang sempat diajukan lagi:

Bolehkah seorang isteri memandikan mayat suaminya?
Jawapan: Boleh, tetapi yang lebih baik adalah kaum kerabatnya.

Soalan: Semasa memandikan, adakah mayat perlu dihadapkan ke kiblat?
Jawapan: Boleh jika tidak menghadap kiblat, akan tetapi lebih baik menghadapkannya ke kiblat untuk ‘ihtiram’(menghormati) si mati.

Dari penjelasan mengenai pengurusan jenazah ini, kita dapat lihat bahawa Islam sangat memberikan penghormatan yang tinggi kepada penganutnya. Sehingga sampai urusan kematian pun, Islam memberikan dan mengajarkan tata cara khusus yang tidak ada dalam agama lain.

Program seperti ini sedikit sebanyak membantu para mahasiswa-mahasiswi dalam membekalkan diri mereka dengan ilmu fardhu kifayah sebelum kembali ke tanah air nanti. Wallahu a’lam.


Disediakan oleh: Hjh Nurnadiah binti Hj Mohamed Ismail.

Friday, November 16, 2012

Sukan Tahunan 2012/2013M

Sukan Tahunan Anjuran Badan Kebajikan Penuntut Brunei Darussalam di Kaherah
Oleh : Siti Musfirah Misli

Dalam usaha melahirkan suasana yang lebih sihat dan cergas, Badan Kebajikan Penuntut Brunei Darussalam di Kaherah melalui Unit Sukan dan Kesihatan telah mengelolakan satu akitiviti Sukan Tahunan bagi para ahli BKPBDK pada Semester Pertama yang lalu.

Aktiviti ini telah dirancang antara lain bertujuan untuk mengisi masa para mahasiswa dan mahasiswi dengan aktiviti yang lebih sihat sambil beriadah bersama rakan-rakan sebaya di samping menimba ilmu sebagai mahasiswa dan mahasiswi universiti.

Akitiviti Sukan Tahunan ini telah berlangsung selama seminggu: bermula pada 9hb November 2012M yang lalu dan berakhir seminggu kemudian iaitu pada 16hb November 2012M.

Berbagai acara sukan telah diatur untuk dipertandingkan dalam Sukan Tahunan pada kali ini, antaranya ialah:
  • ·       Bola Sepak bagi mahasiwa,
  • ·       Bola Jaring bagi mahasiswi,
  • ·       Tarik Kalat bagi mahasiwa,
  • ·       Ping-Pong (beregu dan perseorangan) bagi mahasiswa dan mahasiswi,
  • ·       Bowling (beregu, perseorangan dan beregu campuran) bagi mahasiswa dan mahasiswi, dan
  • ·       Bola Tangkis (beregu dan perseorangan) bagi mahasiswa dan mahasiwi.


Acara-acara dalam Sukan Tahunan ini telah dimeriahkan dengan penyertaan mahasiswa-dan mahasiwi wakil dari rumah-rumah Putera Mahkota, Indera Wijaya dan Pendekar Alam. Begitu juga dengan kehadiran ahli-ahli yang memberikan sokongan padu kepada ahli rumah masing-masing.

Adapun Sukan Tahunan pada kali ini telah diadakan pada waktu dan di tempat yang berlainan. Markaz Syabab yang terletak di Hayyu Sadis telah menjadi medan perlawanan bagi acara-acara Bola Sepak, Bola Jaring, Tarik Kalat dan Bola Tangkis. Acara Ping-Pong pula telah dipertandingkan di Markas Putera manakala acara Bowling pula dipertandingkan di Panorama Bowling yang terletak di Madinat Nasr.

Markah-markah setiap rumah dalam setiap acara yang dipertandingkan dalam Sukan Tahunan pada kali ini dikumpulkan bersama markah keseluruhan bagi acara-acara yang dipertandingkan dalam Sukan Muhibbah anjuran USDK yang diumumkan pada 1hb Disember 2012M yang lalu.

Rumah Pendekar Alam telah berjaya menewaskan rumah-rumah lain dalam acara-acara Sukan Tahunan dan Sukan Muhibbah dengan mengumpulkan markah sebanyak 1234, diikuti dengan rumah Indera Wijaya dengan markah sebanyak 1192. Rumah Putera Mahkota pula mengambil tempat ketiga dalam kesemua acara yang dipertandingkan, dengan markah sebanyak 1175.

Hadiah-hadiah bagi para pemenang dalam Sukan Tahunan Sesi 2012/2013M telah disampaikan di majlis Sukan Muhibbah oleh Tuan Yang Terutama Dato Paduka Awg Hj Mohd Mahdi bin Pehin Orang Kaya Digadong Seri Diraja Dato Laila Utama Hj Awg Abdul Rahman, Duta Besar Negara Brunei Darussalam ke Republik Arab Mesir dan pegawai-pegawai kedutaan yang lainnya.

Aktiviti-aktiviti seperti Sukan Tahunan ini adalah sebuah aktiviti yang sangat bagus memandangkan ia mendorong para ahli BKPBDK untuk lebih mempraktikkan sukan dan gaya hidup yang lebih sihat. Ianya diharap akan dapat membantu melahirkan ahli masyarakat kita lebih berdaya saing, berfizikal kuat dan berminda cerdas. Sukan juga dapat melahirkan sikap berkerjasama dan saling bantu-membantu, sebagaimana ia mendorong kita untuk memupuk sikap saling sokong-menyokong dan berfikiran positif di kalangan ahli-ahli kita sendiri.

Semoga aktiviti yang membawa seribu kebaikan seperti ini tidak hanya terbatas di musim-musim sukan sahaja, bahkan akan sentiasa kita praktikkan dan pertingkatkan di dalam hidup bagi menjamin kehidupan yang lebih sihat, positif dan ceria.







’العقل السليم في الجسم السليم‘
























Wednesday, November 14, 2012

Majlis Awal Tahun Hijrah 1434H.


Ceramah yang disampaikan oleh penceramah undangan khas oleh Dr. Haji Jaapar bin Haji Maidin, Ketua Pegawai Istinbat, di Jabatan Mufti Kerajaan.

Markas Putera, 14hb Nov – Majlis Sambutan Awal Tahun Hijrah 1434 berjalan dengan jayanya yang dianjurkan oleh Badan Kebajikan Penuntut Brunei Darussalam di Kaherah melalui Unit Agama Dan Akhlak.

Msjlis diadakan dengan bacaan doa akhir tahun dan awal tahun hijrah disertakan dengan solat berjemaah.

Penceramah undangan khas pada majlis tersebut ialah Dr. Haji Jaapar bin Haji Maidin, Ketua Pegawai Istinbat, di Jabatan Mufti Kerajaan. Beliau turut mengongsikan pengalaman beliau semasa menuntut di Mesir dan menjelaskan pada mahasiswa dan mahasiswi Brunei di Mesir untuk memanfaatkan masa yang ada dengan
sebaiknya dalam menuntut ilmu dan merupakan pejuang agama Islam di Brunei nanti.

Untuk memeriahkan suasana, majlis diakhiri dengan bacaan tausyeh dan qasidah beramai-ramai.

Dengan sambutan awal tahun hijrah ini, adalah untuk menanamkan semangat hijrah pada mahasiswa dan mahasiswi agar lebih bermuhasabah dan memperbaiki diri demi mendapatkan redha Allah Taala.








Nyayian Tausyeh dan Qasidah yang diketuai oleh
salah seorang mahasiswa yang hadir pada malam itu.
Dr. Haji Jaapar bin Haji Maidin juga turut serta bersama-sama meriahkan majlis dengan bacaan Tausyeh.





Cenderahati kepada tetamu khas.




Disediakan oleh : Auni Raqinah HAR

Wednesday, November 7, 2012

Majlis Gemilang Bahasa

Alhamdulilah syukur ke hadrat Allah, Majlis Besar Unit Pelajaran dan Penerangan telah selamat menutup tirainya yang berlangsung pada 7hb November 2012M bersamaan 22hb Zulhijjah 1433H. Majlis yang bertemakan ‘Mahasiswa Berprestasi Peneraju Transformasi’ dimulakan sejurus ketibaan tetamu kehormat majlis, Yang Mulia Tuan Haji Kamis bin Haji Ali.

Tanpa melengahkan masa, majlis dibuka dengan bacaan Fatihatul Kitab diketuai oleh pengacara majlis iaitu Ustaz Md Afiq bin Roslan. Seterusnya majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan dari Ketua Unit Pelajaran dan Penerangan sesi 2012/2013M, Ustaz Mohd Khalis bin Jofri. Antara isi ucapan beliau ialah “Semua adalah pemenang, tiada pengalah.” Ini menyuntik semangat para peserta untuk bertanding secara sihat.
Ucapan alu-aluan dari Ketua Unit Pelajaran dan Penerangan sesi 2012/2013M, Ustaz Mohd Khalis bin Jofri.

Kemudian majlis disambung dengan ucapan dari tetamu Kehormat Majlis, Yang Mulia Tuan Haji Kamis bin Haji Ali. Diantara intisari kata-kata beliau ialah supaya sentiasa membawa jati diri kebruneian walau di mana pun berada, sesuai dengan menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia.

Ucapan dari tetamu Kehormat Majlis,
Yang Mulia Tuan Haji Kamis bin Haji Ali.
Majlis membahagikan pertandingan kepada tiga bahagian yang mana masing-masing mempunyai keunikan yang tersendiri iaitu pertandingan pidato dalam Bahasa Melayu, pertandingan kuiz ilmiah dalam Bahasa Arab Fushah dan pertandingan video dalam Bahasa Inggeris. Terlebih dahulu semua pelajar Brucai telah dibahagikan mengikut rumah-rumah sukan iaitu rumah Putera Mahkota, rumah Indera Wijaya dan rumah Pendekar Alam. Setiap rumah sukan dikehendaki menghantar wakil bagi setiap pertandingan yang dianjurkan.

Pidato yang disampaikan dari wakil rumah Pendekar Alam.
Wakil dari rumah Indera Wijaya
Wakil dari Putera Mahkota.
Menikmati sedikit jamuan ringan sebelum meneruskan majlis.
Cenderahati kepada tetamu kehormat majlis.
Pertandingan pidato telah dimenangi oleh Ustaz Mohd Husen bin Hj Ibrahim yang mewakili rumah Indera Wijaya dengan membawakan tajuk ‘Setiap Kejadian Itu Ada Hikmahnya’ dengan mengutip markah sebanyak 91%. Manakala pertandingan kuiz ilmiah juga dimenangi oleh rumah Indera Wijaya yang berjaya mengutip 31 markah. Peserta kuiz terbaik pula dianugerahkan kepada  Ustaz Ak Haji Md Wafiuddin bin Pg Hj Zulkarnain yang mewakili rumah Pendekar Alam. Rumah Indera Wijaya berjaya memonopoli setiap pertandingan apabila sekali lagi rumah tersebut memenangi tempat pertama dalam pertandingan video dengan membawa tajuk ‘Action Speaks Louder Than Words’. Keputusan disampaikan oleh ketua hakim, Ustaz ‘Abdul Qawiy bin Haji Ismail.

Keputusan disampaikan oleh ketua hakim,
 Ustaz ‘Abdul Qawiy bin Haji Ismail.
Pemenang pertandingan pidato dari rumah Indera Wijaya.
Peserta kuiz terbaik.

Pemenang dalam menghasilkan video
dari rumah Indera Wijaya

Seterusnya majlis diteruskan dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang dan para hakim yang disampaikan oleh Presiden BKPBDK sesi 2012/2013M, Ustaz Mohammad Nazerul Wafiq bin Hj Mohammad Hussin. Majlis ditutup dengan bacaan doa penutup yang diketuai Ketua Unit Agama dan Akhlak sesi 2012/2013M,Ustaz Muhammad Saifullah bin Rosli.


Cenderahati kepada para juri.
Bacaan doa penutup yang diketuai Ketua Unit Agama dan Akhlak sesi 2012/2013M,
Ustaz Muhammad Saifullah bin Rosli.

Pertandingan Kuiz Ilmiah.






Tayangan video-video yang dipertandingkan.

Ahli Jawatan Kuasa Unit Pelajaran dan Penerangan sesi 2012/2013M.



Disediakan oleh: Ustazah Hazimah Bte Baha.