Thursday, February 28, 2013

UADA Anjurkan Qiyamullail Kali Ke-2




Badan Kebajikan Penuntut Brunei Darussalam di Kaherah melalui Unit Agama Dan Akhlak telah mengadakan program Qiyamullail pada malam Khamis, 28hb Februari 2013 M. Ia merupakan program Qiyamullail kali ke-2  yang telah diungkayahkan oleh Unit Agama Dan Akhlak.

Seperti semester lepas, program tersebut diadakan secara berasingan. Para peserta lelaki bermalam di Markas Puteri, manakala peserta perempuan di Markas Putera.

Program bermula kira-kira jam 5.30 petang dengan bacaan zikir Ma’tsurat beramai-ramai dan diselajurkan dengan mendirikan solat fardu Maghrib serta solat Hajat. Para peserta kemudian menikmati iftar jama’ie sementara menunggu masuk waktu solat Isya’.



Antara aktiviti pada malam tersebut adalah membaca Surah Al-Kahfi, Sharing Session yang mana mengongsikan kisah sahabat rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam, pembentangan hadis mengikut kumpulan serta pembentangan video tentang Sultan Muhammad Al-Fateh.




Solat Tahajjud dan Witir juga tidak ketinggalan dilakukan secara berjemaah pada akhir malam. Selesai menunaikan solat fardu Subuh dan membaca zikir Ma’tsurat, para peserta kemudian mendengar Kuliah Subuh yang disampaikan oleh penuntut sendiri.

Para peserta juga tidak ketinggalan untuk melakukan senamrobik pada pagi itu sebelum menikmati Sarapan Pagi kemudian bersurai.

Alhamdulillah, program tersebut telah memberi kesan yang positif kepada para peserta. Seperti jasad yang perlu kepada makanan dan air untuk hidup, begitu juga rohani memerlukan pengisian. Semoga para peserta mendapat manfaat daripada program ini dan sentiasa diberi taufiq dan hidayah oleh Allah.

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: "ألا وإن في الجسد مضغة إذا صلحت صلح الجسد كله، وإذا فسدت فسد الجسد كله، ألا وهي القلب"
رواه البخاري ومسلم.

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Ketahuilah bahawa dalam badan ada seketul daging, jika ia baik, maka baiklah seluruh badan. Jika ia buruk, maka buruklah seluruh badan. Ketahuilah bahawa ia adalah hati.”








Oleh: Hjh Nurnadiah Hj Mohamed Ismail

No comments:

Post a Comment