Friday, February 8, 2013

MAJLIS BERSAMA RAKYAT DAN PENDUDUK SERTA PENUNTUT NEGARA BRUNEI DARUSSALAM YANG BERADA DI MESIR


24hb Rabiulawwal 1434H bersamaan dengan 5hb Februari 2013M – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat dan Penduduk Serta Penuntut Negara Brunei Darussalam di Republik Arab Mesir, berlangsung di Al Saraya Grand Ballroom, Intercontinental Hotel, City Stars.


 




Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam. Bacaan ayat-ayat suci Al-Quran kemudian dibacakan oleh Ustaz Ahmad Zulwaqar bin Suhaili dan intisari ayat dibacakan oleh Ustaz Muhammad Saifullah bin Rosli.

Seterusnya Doa Selamat dibacakan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam.




Sembah alu-aluan disampaikan oleh Ustaz Mohammad Nazerul Wafiq bin Haji Mohammad Hussin, Presiden Badan Kebajikan Penuntut Brunei Darussalam Di Kaherah.




Seterusnya Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan titah. Menurut titah baginda, Negara Brunei Darussalam memerlukan lulusan-lulusan agama yang lebih ramai, sesuai dengan perkembangan semasa yang sangat ligat dan cepat. Baginda juga menyeru para penuntut supaya belajar bersungguh-sungguh dengan menumpukan masa di kuliah, bukan di tempat-tempat lain.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga berkenan menerima pesambah daripada Presiden Badan Kebajikan Penuntut Brunei Darussalam Di Kaherah.



 
Kemudian baginda dijunjung bagi sesi bergambar bersama pegawai-pegawai kedutaan dan pelajar-pelajar Negara Brunei Darussalam di Republik Arab Mesir dan diteruskan dengan sesi beramah mesra.


Disediakan oleh : Hjh Nurnadiah binti Hj Mohamed Ismail. 

No comments:

Post a Comment