Saturday, March 16, 2013

BruCai Family Day

‘BruCai Family Day’ Disambut Meriah
Oleh : Siti Musfirah Misli

Pada hari Sabtu, 16hb Mac 2013M yang lalu telah diadakan sebuah majlis besar, anjuran gabungan Unit Agama dan Akhlak (UADA) dan Unit Kebajikan dan Kemasyarakatan (UKDK), Badan Kebajikan Penuntut Brunei Darussalam di Kaherah (BKPBDK). Majlis yang dinamakan ‘BruCai Family Day’ ini telah mengambil tempat di Hadiqah Tifl, Makram ‘Abid.

Para mahasiswa dan mahasiswi mula hadir ke Hadiqah Tifl seawal jam 8.30 pagi bagi sesi pendaftaran nama dan hadiah bagi acara Exchange Gift. Majlis pada hari tersebut telah dimulakan pada jam 10 pagi; dengan bacaan Ummul Kitab Surah al-Faatihah dan bacaan doa selamat yang dipimpin oleh Presiden BKPBDK, Ustaz Mohammad Nazerul Wafiq bin Haji Mohammad Hussin.

Ketua UADA seterusnya tampil memberikan kata alu-aluan buat semua mahasiswa dan mahasiswi yang hadir ke majlis tersebut.  Sebuah tazkirah kemudian disampaikan oleh tetamu jemputan majlis, Ustaz Muhammad Naufal bin Shamsul Maarif, mahasiswa Tahun 4 Kuliah Perubatan di Universiti al-Azhar Asy-Syareef. Beliau antara lain mengingatkan tetamu yang hadir akan kepentingan ukhuwwah sesama Muslim dan pada hakikatnya, kecuali taqwa, tiada perbezaan yang wujud di kalangan umat Islam sekaliannya.



Program Brucai Family Day pada hari tersebut dimeriahkan dengan aktiviti-aktiviti sebelah pagi dan petang. Hampir keseluruhan ahli-ahli rumah sukan Putera Mahkota, Indera Wijaya dan Pendekar Alam telah menyertai pertandingan-pertandingan yang dijalankan.

Sesi senaman ringan menjadi sesi pembuka tirai buat aktivit-aktiviti yang dijalankan pada sebelah pagi. Aktiviti-aktiviti seperti BruCai Hunters, Pertandingan Mencipta Barang daripada Bahan Kitar Semula, Pertandingan Menggubah Hantaran Kahwin dan Pertandingan Master Chefs telah diadakan bagi memeriahkan BruCai Family Day pada hari tersebut. Pertandingan-pertandingan antara lain bertujuan mencungkil bakat-bakat di kalangan ahli-ahli tersebut sambil menjalinkan silaturrahim melalui kerjasama berkumpulan dalam pertandingan yang telah dijalankan.



















‘Brucai Family Day’ direhatkan seketika bagi memberi ruangan kepada para mahasiswa dan mahasiwi untuk menunaikan solat Fardhu Zohor berjemaah dan aktiviti bebas.



Adapun sesi petang BruCai Family Day telah dimulakan dengan aktiviti Tadabbur alam, yang mana para mahasiswa dan mahasiswi dibahagi-bahagikan kepada beberapa kumpulan untuk sama-sama menghayati dan memahami lebih dalam akan isi ayat-ayat suci al-Qur’aan.





Usai sahaja akitiviti Tadabbur Alam dijalankan, Brucai Family Day disambung dengan aktiviti-aktiviti sebelah petang seperti Super Spontan, Guess Who?, Fashion Designer bagi mahasiswa dan mahasiswi dan pertandingan Bersikut Race bagi para mahasiswa. Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja menjadi riadah tapi pada masa yang sama melatih para peserta untuk menajamkan akal dan fikiran dalam masa yang singkat.





‘BruCai Family Day’ pada petang tersebut diteruskan dengan acara Exchange Gift, yang mana setiap dari mahasiswa dan mahasiwi BKPBDK mendapat satu cenderahati hasil pertukaran dengan mahasiswa dan mahasiwi yang lain mengikut nombor undian.




Penyampaian hadiah bagi pemenang-pemenang setiap pertandingan diadakan setelah selesai semua aktiviti-akitiviti dijalankan. Jamuan pada hari tersebut disediakan oleh ahli-ahli BKPBDK dari setiap rumah sukan Putera Mahkota, Indera Wijaya dan Pendekar Alam dan dihidangkan kepada semua tetamu yang menghadiri majlis ini.

Majlis yang bertemakan ‘Ummati Ummati Ummati; Aiduuna fi Qalbin Waahidin’ ini adalah yang julung kalinya diadakan oleh Badan Kebajikan Penuntut Brunei Darussalam di Kaherah. Ianya diadakan bagi menggantikan Bazar Amal kelolaan UKDK dan Majlis Besar UADA yang diadakan setiap tahun. Majlis ini juga diadakan bagi memupuk rasa mahabbah di kalangan ahli-ahli BKPBDK dalam masa yang sama menjalin kerjasama yang utuh dan kukuh, melalui pertandingan-pertandingan yang diadakan.






Majlis ditutup pada petang tersebut dengan bacaan Surah al-Asr beramai-ramai.

No comments:

Post a Comment