Monday, February 25, 2013

Sambutan Hari Kebangsaan di Markas Putera


                                       

Pada 25hb Februari 2013, Badan Kebajikan Penuntut Brunei Darussalam di Kaherah (BKPBDK) telah menganjurkan sebuah majlis bagi menyambut Hari Kebangsaan yang ke-29 yang diadakan di Markas Putera, Rabaah El-Adawiyah.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang diketuai oleh Presiden BKPBDK, Ustaz Mohd Nazerul Wafiq bin Hj Mohd Hussin dan diteruskan dengan nyanyian lagu kebangsaan beramai-ramai serta bacaan ikrar yang diketuai oleh Presiden sendiri.

Para penuntut seterusnya  menyaksikan tayangan video Hari Kebangsaan serta video ’Suara Satu BruCai’ yang disediakan oleh Unit Media Dan Publisiti (UMDP). Para penuntut juga tidak ketinggalan menyanyikan beberapa buah lagu patriotik Brunei Darussalam seperti ‘Bendera Negara’, ‘Brunei Bumi Bertuah’ dan ‘Tekad Kemerdekaan’.

Walaupun berada jauh dari tanahair, ini tidak menghalang para penuntut daripada menyambut hari bersejarah Negara. Adapun tujuan majlis ini diadakan adalah untuk lebih menghayati hari kemerdekaan sekaligus menanamkan sifat patriotisme dalam diri penuntut yang berada di luar negara.

Majlis ditutup dengan bacaan doa kesyukuran yang diketuai oleh Ketua Unit Agama Dan Akhlak (UADA), Ustaz Mohd Saifullah bin Rosli.




Oleh: Hjh Nurnadiah Hj Mohamed Ismail.

Friday, February 22, 2013

Majlis Doa Kesyukuran Sempena Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam yang ke 29.


22hb Feb 2013 – Mahasiswa dan mahasiswi Brunei Darussalam Di Kaherah telah menunaikan sembahyang fardu Asar dan Maghrib berjemaah, membaca surah Yasin, tahlil dan doa kesyukuran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan ke-29 di kediaman Dato Paduka Awg Hj Mohd Mahdi bin Pehin Orang Kaya Digadong Seri Diraja Dato Laila Utama Hj Awg Abdul Rahman, Duta Besar Negara Brunei Darussalam di Kaherah.

Turut hadir, pegawai kedutaan Negara Brunei Darussalam di Kaherah serta keluarga. Majlis dimulakan dengan sembahyang fardu Asar Berjemaah, yang diimamkan oleh Ustaz Ahmad Zulwaqar bin Suhaili.


 Manakala bacaan surah Yasin dan tahlil dipimpin oleh Ustaz Awang Mohd Zulfadhli Haji Abdul Rahman begitu juga dengan bacaan doa kesyukuran. Seterusnya, sembahyang fardu Maghrib dan sunat hajat berjemaah.

Majlis dimeriahkan lagi dengan memotong kek daripada Duta Besar dan pegawai kedutaan Negara Brunei Darussalam di Kaherah.


 

Friday, February 15, 2013

Kempen Kebersihan Pupuk Semangat Kerjasama



Pada Hari Jumaat, 15hb Februari 2013M yang lalu, sebuah kempen kebersihan telah diselanggarakan oleh Unit Kebajikan dan Kemasyarakatan, Badan Kebajikan Penuntut Brunei Darussalam di Kaherah. Kempen mengambil tempat di kedua-dua buah markas milik BKPBDK; Markas Putera dan Markas Puteri.

Kempen serupa ini telah diadakan untuk kali kedua bagi Sesi Pengajian 2012/2013M. Ianya bertujuan untuk mengekalkan dan meningkatkan mutu kebersihan markas-markas tersebut, di samping melahirkan kondisi dan suasana markas yang bersih, sihat dan teratur untuk kegunaan bersama.

Kesemua ahli-ahli Badan Kebajikan Penuntut Brunei Darussalam telah turut serta menolong dalam melaksanakan aktiviti berkebajikan ini. Kempen bermula pada jam 8 pagi dan berakhir pada jam 11 pagi. Kebersihan ruang berkumpul, pejabat, stor dan tandas di markas-markas BKPBDK menjadi isi perlaksanaan kempen kebersihan kali ini. Ahli-ahli Unit Agama dan Akhlak dan Unit Kebajikan dan Kemasyarakatan telah ditugaskan untuk membersihkan Markas Putera manakala ahli-ahli Unit Pelajaran dan Penerangan dan Unit Sukan dan Kesihatan telah ditugaskan untuk menjalankan kempen di Markas Puteri. Ahli-Ahli Unit Media dan Publisiti pula bertugas selaku krew fotografi dan media massa sambil membantu sepanjang aktiviti kempen dijalankan.

Aktiviti bergotong-royong seperti ini diharap akan dapat mewujudkan semangat kerjasama, persaudaraan dan bertolong-tolongan di kalangan ahli-ahli BKPBDK. Kita berharap agar aktiviti seumpama ini akan dapat melahirkan rasa tanggungjawab di kalangan ahli-ahli BKPBDK dalam sama-sama menjaga kebersihan markas-markas BKPBDK khususnya dan tempat-tempat lain amnya.

“Kebersihan sebahagian daripada Iman”









Oleh: Siti Musfirah Misli

Monday, February 11, 2013

Kuliah Subuh Bersama Mufti


Yang Berhormat Pehin Dato Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned

Alhamdulilah syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wa Taala. Belum pun reda kegembiraan setelah bersua muka dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mui'zzaddien Waddaulah ibni Almarhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien Sultan Dan Yang Dipertuan Negara Brunei Darussalam, pelajar-pelajar di Qaherah, Mesir, berpeluang pula bertemu dan seterusnya mengadakan kuliah subuh bersama Yang Berhormat Pehin Dato Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan pada hari Khamis, 7hb Februari 2013M, melalui Unit Agama Dan Akhlak (UADA) dan Unit Pelajaran Dan Penerangan (UPDP).

Majlis dimulakan dengan solat Subuh berjemaah dan diteruskan dengan kuliah subuh yang menyentuh mengenai ‘Role Model’ ataupun ikutan yang baik. Yang Berhormat Pehin menegaskan bahawasanya Allah telah pun menyebut dan telah menentukan siapakah dia ikutan yang baik itu di dalam Surah Al-Ahzab ayat 21 yang bermaksud “Sungguh telah ada pada diri Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu…”.



Ini jelas menunjukkan Rasulullah lah ikutan ataupun uswah hasanah dalam semua bidang dan dari segi aspek apa pun.Namun amat mengecewakan apabila orang Islam sendiri mencari-cari ke barat dan ke timur untuk memilih role model tersebut. Padahal ianya telah terbukti dan jelas bahawa Rasulullah lah sebaik-baik teladan dan sebaik-baik ikutan. Yang Berhormat Pehin juga menambah bahawa fenomena ini berlaku pada setiap peringkat umur tidak kira remaja, kanak-kanak mahupun orang tua. Ini sangat merugikan kerana ia merupakan seperti menegakkan benang yang basah. Yang Berhormat Pehin juga sempat mengongsikan dua buah cerita yang memaparkan jelas teladan pada diri Rasulullah.

Sebelum kuliah subuh ditutup, Yang Berhormat Pehin berpesan untuk sentiasa menghormati guru dan menjelaskan bahawa guru tidak semestinya berada di sekolah sahaja bahkan ibu bapa itu guru,suami itu guru dan guru segala guru ialah Rasulullah Sollallahu a’laihi wassalam.

Yang berhormat juga menyatakan bahawa keperibadian dan akhlak yang hebat hanya dapat dibentuk dengan agama samawi yang tertinggi, tidak lain tidak bukan agama Islam yang diredhai Allah. Beliau juga menyeru para pelajar agar menjadi penerus dan penegak seterusnya menjadi tiang negara untuk mengekalkan aliran ahli Sunnah wal Jamaah dan mazhab Syafie yang merupakan tunggak utama yang menghalang pengaruh tidak baik di Negara Brunei Darussalam.

Majlis ditutup dengan bacaan doa selamat yang dibacakan oleh Yang Berhormat Pehin sendiri dan seterusnya menikmati jamuan. Semoga dengan adanya majlis ini akan lebih menyuntik semangat para pelajar untuk menjadikan Rasulullah sebagai idola dan seterusnya membentuk keperibadian yang hebat sebagai pemuda pemudi harapan bangsa, agama dan negara.

Disediakan Oleh: Hazimah bte Baha

Friday, February 8, 2013

MAJLIS BERSAMA RAKYAT DAN PENDUDUK SERTA PENUNTUT NEGARA BRUNEI DARUSSALAM YANG BERADA DI MESIR


24hb Rabiulawwal 1434H bersamaan dengan 5hb Februari 2013M – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat dan Penduduk Serta Penuntut Negara Brunei Darussalam di Republik Arab Mesir, berlangsung di Al Saraya Grand Ballroom, Intercontinental Hotel, City Stars.


 




Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam. Bacaan ayat-ayat suci Al-Quran kemudian dibacakan oleh Ustaz Ahmad Zulwaqar bin Suhaili dan intisari ayat dibacakan oleh Ustaz Muhammad Saifullah bin Rosli.

Seterusnya Doa Selamat dibacakan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam.




Sembah alu-aluan disampaikan oleh Ustaz Mohammad Nazerul Wafiq bin Haji Mohammad Hussin, Presiden Badan Kebajikan Penuntut Brunei Darussalam Di Kaherah.




Seterusnya Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan titah. Menurut titah baginda, Negara Brunei Darussalam memerlukan lulusan-lulusan agama yang lebih ramai, sesuai dengan perkembangan semasa yang sangat ligat dan cepat. Baginda juga menyeru para penuntut supaya belajar bersungguh-sungguh dengan menumpukan masa di kuliah, bukan di tempat-tempat lain.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga berkenan menerima pesambah daripada Presiden Badan Kebajikan Penuntut Brunei Darussalam Di Kaherah.



 
Kemudian baginda dijunjung bagi sesi bergambar bersama pegawai-pegawai kedutaan dan pelajar-pelajar Negara Brunei Darussalam di Republik Arab Mesir dan diteruskan dengan sesi beramah mesra.


Disediakan oleh : Hjh Nurnadiah binti Hj Mohamed Ismail. 

Thursday, January 31, 2013

Sambutan Maulidurrasul 1434H

25hb Jan 2013M – Pada hari jumaat yang barakah, Majlis Sambutan Dikir sempena Maulud Nabi Muhammad Sallahu Alaihi Wasallam telah diadakan di kediaman Dato Paduka Awg Hj Mohd Mahdi bin Pehin Orang Kaya Digadong Seri Diraja Dato Laila Utama Hj Awg Abdul Rahman, Duta Besar Negara Brunei Darussalam di Kaherah. 
Turut hadir, pegawai kedutaan bersama mahasiswa dan mahasiswi Brunei Darussalam di Kaherah.

Majlis bermula dengan solat asar berjemaah dan diteruskan dengan dikir Syarafil Anam dan tausyeh beramai-ramai. Majlis diikuti dengan bacaan surah Yasin dan doa tahlil.


 


Majlis diteruskan dengan solat maghrib berjemaah dan menikmati hidangan istimewa masakan Brunei dan diakhiri dengan solat isyak berjemaah.

Dengan adanya majlis sambutan maulidur rasul ini, bukan sahaja menguatkan silaturrahim sesama pihak kedutaan dan mahasiwa-mahasiswi, bahkan menguatkan lagi mahabbah cinta terhadap nabi junjungan kita Muhammad Sallahu Alaihi Wasallam.




Disediakan oleh : Auni Raqinah HAR

Sunday, January 27, 2013

Pesta Sukan Brucai

Nadi Riyadhi, 1hb Dec – Sukan Muhibbah disambut dengan meriah yang dianjurkan oleh Badan Kebajikan Penuntut Brunei Darussalam di Kaherah melalui Unit Sukan dan Kesihatan yang bertemakan “Kearah Meningkatkan Kualiti Sukan dan Kesihatan”. 

Turut hadir, Dato Paduka Awg Hj Mohd Mahdi bin Pehin Orang Kaya Digadong Seri Diraja Dato Laila Utama Hj Awg Abdul Rahman, Duta Besar Negara Brunei Darussalam di Kaherah, selaku tetamu kehormat majlis, bersama dengan pegawai kedutaan dan keluarga.

Dato Paduka Awg Hj Mohd Mahdi bin Pehin Orang Kaya Digadong
Seri Diraja Dato Laila Utama Hj Awg Abdul Rahman, Duta Besar Negara Brunei
Darussalam di Kaherah

Acara dimulakan dengan bacaan surah Al-fatihah beramai-ramai. Setelah itu ucapan dari Ketua Unit Sukan dan Kesihatan, Ak. Hafizul Hanif bin Pg Hatta dan Tetamu Kehormat Majlis.
Ucapan dari Ketua Unit Sukan dan Kesihatan,
 Ak. Hafizul Hanif bin Pg Hatta

Cenderahati kepada Tetamu Majlis.




Pelbagai jenis acara sukan dijalankan bagi mahasiswa dan mahasiswi Brunei di Kaherah dan yang paling diminati ramai ialah aerobik dan tarik kalat. Sukan Muhibbah pada kali ini dibahagikan kepada tiga buah rumah sukan iaitu Indera Wijaya, Pendekar Alam dan Putera Mahkota.

Senam aerobik dari rumah Indera Wijaya.
Rumah Pendekar Alam.
Rumah Putera Mahkota.
Acara seterusnya dengan penyampaian hadiah sukan tahunan dan sukan muhibbah. Muncul juara secara keseluruhan ialah dari pasukan rumah Pendekar Alam yang diketuai oleh Ak. Muhammad Wafiuddin bin Pg. Haji Zulkarnain.

Dengan Sukan Muhibbah ini akan dapat menggalakkan mahasiswa dan mahasiswi dalam mengamalkan cara hidup yang sihat dari segi fizikal dan mental malah mantap dalam menuntut ilmu dan riyadah. Disamping itu dapat mengeratkan lagi silaturrahim dalam memupuk semangat perpaduan dan kerjasama.


Juara secara keseluruhan dari rumah Pendekar Alam.

Ahli Jawatankuasa Unit Sukan Dan Kesihatan.

 


Disediakan oleh:
Auni Raqinah Haji Abdul Rajak