Wednesday, April 29, 2015

Taklimat daripada Kementerian Hal Ehwal Ugama



Selasa , 21 April 2015M – Satu taklimat telah diadakan untuk semua pelajar Brunei Darussalam di Kaherah bertempat di surau bangunan Darussalam. Turut serta hadir ke majlis tersebut pegawai-pegawai kedutaan Brunei Darussalam di Kaherah dan juga pegawai kesejahteraan. Majlis dimulai dengan solat Maghrib berjemaah yang diimamkan oleh Ust. Muhd Khairul Hamizan bin Md Yusof.



Taklimat pertama disampaikan oleh Prof. Samsul Bahri Andi Galigo, Pengarah Pusat Pengkajian Ahli Sunnah Wal Jamaah. Antara isi yang disampaikan oleh beliau mengenai pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah iaitu betapa pentingnya kita berpegang teguh dengan ajaran tersebut agar tidak menyeleweng dan mengikuti ajaran selain daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Beliau menyatakan bahawa pelajar Al-Azhar inilah yang akan mempertahankan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah di Negara Brunei Darussalam. Para pelajar digalakkan untuk mengkaji dan menggali sedalam-dalamnya agar faham dan pakar dalam bidang tersebut untuk dibawa dan diajarkan kepada penduduk Negara Brunei Darussalam. Beliau juga turut menekankan untuk kembali kepada kaedah شجرة العلم di dalam mengkaji sesuatu ilmu agar ilmu yang dicari itu berada di jalan yang benar.

Prof. Samsul Bahri juga menyebutkan petikan daripada Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Menyambut Tahun Baru Hijrah 1434 yang berbunyi :
 “Turut membimbangkan kita, medan bagi penyaluran ajaran atau fahaman menyeleweng ini sangatlah luasnya. Ia tidak lagi terbatas setakat dari mulut ke mulut atau dari satu individu kepada individu lain, tetapi sudah sangat canggih dan lengkap melalui buku-buku, majalah-majalah, surat-surat khabar dan internet, seperti sahaja, keadaan itu sudah tidak dapat dibendung lagi.Oleh itu, Beta mengingatkan, supaya kita di Brunei tidak akan terbawa-bawa untuk mencedok sebarang pemikiran atau fahaman yang menyalahi itu. Brunei adalah Bumi Islam tulin. Insya Allah, pegangan ini akan terus kekal turun temurun, sehingga keakhir zaman.”


Taklimat diteruskan lagi sejurus selepas menunaikan solat Isya berjemaah yang diimamkan oleh Ust. Sawardi Haji Mahadi. Taklimat kedua ini disampaikan oleh Ustazah Hjh Zakiah binti Hj Taib, Pmk. Pengarah Hal Ehwal Syariah. Beliau menyebutkan tentang perlembagaan Negara Brunei Darussalam yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi negara menurut Ahli Sunnah Wal Jamaah dan bermazhabkan Syafie dan inilah yang menjadikan negara kita bersatu padu dan tidak berpecah belah seperti yang sudah terjadi di negara luar. Ini bermakna sebarang ajaran atau kefahaman yang bertentangan dengan ajaran Akidah Ahli Sunnah Wal Jama'ah tidak boleh dibawa masuk dan disebarkan ke Negara Brunei Darussalam.

Manakala taklimat yang ketiga pula disampaikan oleh Dr Hj Noralizam bin Hj Aliakbar, Pengarah Pusat Perhubungan Awam, KUPU SB. Antara pengisian taklimat beliau menyetuh mengenai isu Bid’ah yang kerap kali menjadi isu di kalangan masyarakat kita. Beliau turut menasihati pelajar agar tidak menimbulkan sebarang keraguan dan keresahan pada masyarakat seperti mempertikaikan amalan yang biasa dibuat oleh rakyat Brunei. Beliau juga turut menekankan bahawa individu yang berhak untuk mengeluarkan fatwa adalah Mufti Kerajaan.

Taklimat terakhir disampaikan oleh Ustazah Hajijah binti Hj Moktal, Pmk. Penolong Pengarah Pengajian Islam Bahagian Profesional. Beliau mengingatkan kembali tujuan kerajaan Brunei Darussalam menghantar para pelajar ke Mesir ini dan menasihatkan agar tidak mensia-siakan peluang mahasiwa-mahasiswi yang ada di bumi yang penuh berkat ini.


Majlis ditutup dengan bacaan doa selamat yang diketuai oleh Ust. Ak Md Faris Ramadhani bin Pg Hj Sellahuddin.


Friday, April 3, 2015

Bazar Amal Brucai Sesi 2014/2015




Badan Kebajikan Penuntut Brunei Darussalam Di Kaherah telah mengadakan Bazar Amal Brucai pada 21hb Mac yang lalu bertempat di bangunan khas pelajar-pelajar Brunei Darussalam di Kaherah, Republik Arab Mesir.

Majlis bazar serupa ini merupakan aktiviti tahunan yang diungkayahkan oleh Unit Kebajikan dan Kemasyarakatan, BKPBDK. Adapun tujuan bazar ini diadakan diantaranya mengeratkan silaturrahim sesama mahasiwa/mahasiswi bersama para pegawai kedutaan dan sahabat dari negara jiran dan memberikan peluang kepada mahasiswa/mahasiswi untuk lebih memahami pengurusan kewangan disamping menimba ilmu di bumi Mesir ini.

Akan tetapi bazar tahun ini berbeza sedikit dari tahun-tahun lepas kerana sebahagian daripada hasil keuntungan jualan daripada Badan Kebajikan akan didermakan ke tabung kemanusiaan.




Hadir selaku tetamu kehormat majlis tersebut Yang Mulia Puan Nur Hafizah Al-Islam binti Awang Mahani, Kuasausaha Sementara Kedutaan Besar Negara Brunei Darussalam di Republik Arab Mesir dan seterusnya merasmikan Majlis Bazar Amal Brucai sesi 2014/2015M.



Turut hadir pada bazar tersebut para pegawai kedutaan bersama keluarga dan mahasiswa/mahasiswi negara jiran yang tinggal sekitar bangunan khas pelajar-pelajar Brunei Darussalam tersebut.




Majlis Bazar tersebut diserikan lagi dengan pelbagai aktiviti dan pertandingan seperti Master Chef, Guess What dan sebagainya disamping jualan kuih-muih yang dihasilkan oleh pegawai-pegawai kedutaan dan penuntut-penuntut Brunei Darussalam Di Kaherah.


Untuk melihat gambar-gambar pada majlis tersebut, إضغط هنا

Thursday, April 2, 2015

Tausiah Syeikh Youssef Req Al-Bakhour Al-Hasani Hafizahullah #2



Tausiah  Syeikh Youssef Req Al-Bakhour Al-Hasani Hafizahullah

26.03.2015





Tausiah kali ini Syeikh menumpukan pada kitab Ayyuhal Walad karangan Imam Ghazali Rahimahullah, yang mana antara pengisian yang dikupas ialah :
·    
          Rasulullah Salllallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda (اللهم إني أعوذ بك من علم لا ينفع) yang membawa maksud “ya Allah, aku berlindung dari ilmu yang tidak bermanfaat” iaitu ilmu yang tidak diamalkan. Syeikh lalu membawa kami untuk sama-sama bermuhasabah untuk apa kita belajar. Jika kita belajar kerana kerja/dunia, ketahuilah kita telah gagal kerana belajar ilmu agama itu bukan untuk dunia.

·       Para imam-imam besar tidak pernah terbayang ketika mengumpul ilmu-ilmu itu mereka akan menjadi imam besar atau ulama. Bukan ilmu yang mengangkat martabat mereka walaupun ilmu adalah sebab yang menjadikan mereka imam besar. Akan tetapi ketakwaan mereka kepada Allah yang mengangkat mereka, dan dengan mengamalkan ilmu  mereka serta mengharapkan redha Allah Subhanahu Wa Taala. Sebagaimana firman Allah Ta’ala, (واتقوا الله ويعلمكم الله)


·           Syeikh bertanya, “ Apakah dia ilmu yang tidak bermanfaat?” Lalu beliau menjawab, “ Ilmu yang menjadikan sohibnya terfitnah, tergoda kepada dunia”.

·               Imam Ghazali sebagaimana dalam kitab Ayyuhal Walad memulai dengan rasa kasih kepada anak muridnya. Begitulah selayaknya hubungan antara seorang guru dengan anak murid. Akan tetapi inilah yang susah didapati pada masa kini.


·           Syeikh mengingatkan bahawa terdapat juga beberapa pelajar yang sudah selesai pengajian tapi tidak tahu nama guru –gurunya. Jadi bagaimana sanad itu akan tersambung?. Antara tuntutan yang perlu diketahui itu adalah siapa yang membawai sanad, apakah dia orang yang soleh dan lain-lain.

·       Nasihat yang pertama di dalam kitab Ayyuhal Walad: Mafhum daripada sabda Rasulullah Sollallahu Alaihi Wasallam tentang tanda Allah berpaling dari seorang hamba ialah apabila seorang hamba itu sibuk dengan perkara yang tidak bermanfaat. Apabila umurnya sudah mencecah 40 tahun dan kebaikannya belum mengalahkan keburukannya maka bersiap-siaplah dia untuk ke neraka.


·       الأمم تنجح بإفادة العلم Waktu itu adalah usia kita. Tugas kita sekarang adalah untuk belajar. Belajarlah daripada seorang yang tua tentang bagaimana menjalankan kehidupan dan janganlah hanya dengan membaca sahaja.

·       Nasihat yang kedua : Nasihat itu mudah tetapi masalahnya di sini adalah menerimanya. Kita merasa nasihat itu adalah perintah tapi sebenarnya bukan begitu. ketahuilah orang yang menasihati kita adalah mereka yang mencintai kita. Orang yang mencintai itu bukanlah orang yang mengikuti apa yang kita mahu sebab itu hanya akan menjerumuskan kita.


·       Sekarang kita berada di antara 2 marhalah iaitu kekurangan dan ingin menuju kesempurnaan, masalahnya ialah apabila kita merasakan kita benar-benar sempurna.Kita tidak mahu menerima nasihat kerana merasa lebih besar dari perkara yang dinasihati.

·       Siapakah orang yang hanya memiliki kebaikan sahaja? Hanya Nabi Muhammad Sollallahu Alaihi Wasallam dan kita hanya manusia biasa yang tidak lepas dari kesalahan. Kesalahan menuntut kita untuk dinasihati agar kita keluar daripada kesalahan.


·       Sabda Rasulullah Sollallahu Alaihi Wasallam : (أشد الناس عذابا يوم القيامة عالم لا ينفعه الله بعلمه) yang bermaksud “orang yang paling pedih azabnya di hari kiamat ialah orang yang berilmu tetapi tidak memanfaatkan ilmunya”.

·       Nasihat yang ketiga: Janganlah kamu termasuk orang yang muflis dari amal kebaikan, dan yakinlah ilmu yang tidak diamalkan tidak akan menyelamatkan. Ilmu tidak akan bermanfaat kecuali jika digunakan.


·       Nasihat yang keempat : walaupun belajar ilmu 100 tahun kalau tidak diamalkan tidak akan mendapatkan rahmat Allah kerana rahmat Allah akan turun jika ilmu itu diamalkan. Sebagaimana di dalam hadith Nabi Muhammad Sollallahu Alaihi Wasallam :
(بني الإسلام على خمس : شهادة أن لا إله إلا الله وأن محمدا رسول الله وإقام الصلاة وإيتاء الزكاة وصوم رمضان وحج البيت من إستطاع إليه سبيلا)

Semua perkara di dalam hadith ini menuntut kita untuk beramal kerana iman itu bukan hanya dengan kata-kata akan tetapi diakui dengan hati kemudian diamalkan dengan anggota badan. Orang yang masuk syurga bukan dengan amalnya tetapi dengan rahmat Allah.