Friday, April 8, 2016

‘MAJLIS BAZAR BRUCAI 2016’ MENDAPAT SAMBUTAN YANG BAIK



Disediakan oleh:
Muhammad ‘Ammar Fashan Bin Ahmad
Ahli Unit Media dan Publisiti
Badan Kebajikan Penuntut Brunei Darussalam di Kaherah Mesir 2015/2016M



Kaherah, Republik Arab Mesir, 12 Mac –Badan Kebajikan Penuntut Brunei Darussalam Di Kaherah (BKPBDK) Sesi 2015/2016M telah mengadakan satu bazar gerai jualan yang bertempat di markas bangunan khas penuntut Brunei Darussalam di Hay Sadis, Kaherah.  Program yang berada dibawah kelolaan Unit Kebajikan Dan Kemasyarakatan BKBPDK selaku penganjur program ini telah dirasmikan oleh Yang Mulia, Tuan Yang Terutama Haji Abdul Kahar Bin Haji Hussin, Duta Besar, Kedutaan Brunei Darussalam di Republik Arab Mesir, yang  hadir selaku tetamu kehormat majlis tersebut.


Bazar ini dibahagikan kepada dua sesi, iaitu  bermula jam 8.30 pagi hingga 11.00 pagi , dibuka kepada warga Brunei Darussalam sahaja manakala dari pukul 11.00 pagi hingga 5.00 petang  pula terbuka bagi kunjungan orang ramai.  Terdapat beberapa buah gerai jualan yang menyajikan pelbagai makanan enak, antaranya Keris’s Corner, Dapur Kelasak, Kerambit’s Kitchen, Kampilan’s Corner, serta banyak lagi.



Markas mula dipenuhi oleh warga Brunei seawal jam 7 pagi lagi.  Majlis Bazar BRUCAI 2016  ini bukan sahaja dihadiri  oleh para pegawai Kedutaan Brunei Darussalam serta  keluarga dan ahli BKPBDK, malah turut dimeriahkan dengan kehadiran warga mahasiswa mahasiswi dari negara jiran seperti Malaysia, Indonesia dan Singapura yang berada di Republik Arab Mesir ini.  Markas yang dihias indah dengan  berkonsepkan suasana “kebruneian” telah membangkitkan lagi kemeriahan bazar serta membuka selera para pengunjung untuk menikmati juadah di samping  mengeratkan silaturrahim antara satu sama lain.


Di samping itu, juadah makanan yang dijual pada tahun ini begitu mengiurkan. Antaranya ialah nasi ‘buttermilk chicken’, sweetcorn, mee goreng basah, kuih seri muka, kelupis dan kuah kari, cakoi, soto, nasi ayam percik, keropok lekor, sup Kawarek dan macam-macam lagi.  Selain itu, pelbagai juadah makanan dijual ternyata mendapat sambutan hebat, antaranya ialah Pais Daging, Sate Ayam, kuih Penyaram, Nasi Katok Brunei, Ayam Salai, Kebab, Roti John serta banyak lagi.

Majlis Bazar BRUCAI 2016 ini juga diserikan dengan persembahan nasyid oleh ahli-ahli BKPBDK dan pelbagai pertandingan serta aktiviti sampingan seperti pertandingan Masterchef, Guess What dan sebagainya bagi memeriahkan lagi program tersebut.

“Bazar BRUCAI pada tahun ini mendapat sambutan baik serta kunjungan yang ramai dari warga Malaysia, Indonesia dan Singapura berbanding dari tahun lepas. Saya  berharap untuk mendapat sambutan sedemikian bahkan lebih meriah lagi untuk bazar BRUCAI yang akan datang.” Ujar saudara Mohammad Aisamuddin bin Haji Selaman, mahasiswa tahun 3, Universiti Al-Azhar juga selaku mantan Ketua Unit Kebajikan Dan Kemasyarakatan BKPBDK 2014/2015M.


“Bazar Brucai merupakan salah satu acara yang dinanti-nantikan oleh para penuntut Brunei di Mesir ini. Dengan pelbagai jualan juadah masakan khususnya masakan melayu Brunei sedikit sebanyak mengubat kerinduan kami yang berada di perantauan ini terhadap masakan Brunei. Bazar BRUCAI ini pasti saya akan terkenangkan kembali pahit manisnya setelah tamat pengajian nanti In Shaa Allah” kata saudara Muhd Hairul Nizam bin Muhammad, mahasiswa tahun 3, Universiti al-Azhar.


Antara harapan Ak Mohd Qomarussalihin bin Pg Mohd Saifuddin, selaku Ketua Unit Kebajikan Dan Kemasyarakatan serta penganjur program, beliau mengharapkan dengan berlangsungnya bazar ini maka tercapailah objektif  yang ingin dikecapi terutamanya untuk mengukuhkan lagi ikatan tali persaudaraan bukan sahaja dalam kalangan warga Brunei malah bersama warga dari negara lain juga.


gambar selebihnya, klik sini: