23hb Februari 2014M - Rakyat Negara Brunei Darussalam di Kaherah, Republik
Arab Mesir tidak ketinggalan dalam menjayakan sambutan Hari Kebangsaan Negara
Brunei Darussalam kali ke-30. Majlis ini disambut dengan begitu meriah di
bangunan Dar Assalam, iaitu kediaman penuntut-penuntut Negara Brunei Darussalam
di Kaherah.
Majlis tersebut dihadiri oleh Tuan Yang
Terutama Dato Paduka Awg Hj Mohd Mahdi bin Pehin Orang Kaya Digadong Seri
Diraja Dato Laila Utama Hj Awg Abdul Rahman, Duta Besar Negara Brunei Darussalam
ke Republik Arab Mesir, serta pegawai-pegawai kedutaan, ahli-ahli keluarga dan
mahasiswa mahasiswi Negara Brunei Darussalam.
Majlis diserikan dengan bacaan Surah Yaasin dan doa kesyukuran |
Ustaz Mohd Nazerul Wafiq selaku pengerusi forum pada malam tersebut. |
Ustaz Hj Hazimin |
Ustaz Pg. Dr. Hj. Saiful Bahrin |
Sebahagian mahasiswa sewaktu persembahan lagu patriotik. |
Majlis dimulakan dengan menunaikan solat
fardhu Maghrib serta solat hajat berjemaah, kemudian diteruskan dengan
bacaan Surah Yaasin dan doa kesyukuran yang diketuai oleh pelajar daripada
Maahad Qiraat Shoubra.
Bersempena dengan Hari Kebangsaan tahun ini,
Badan Kebajikan Penuntut Brunei Darussalam di Kaherah (BKPBDK) tidak
ketinggalan untuk mengadakan sebuah forum yang bertajuk “Generasi Berwawasan
Berlandaskan Syariat Islam”. Ahli-ahli panel forum tersebut ialah Ustaz
Pg. Dr. Haji Saiful Bahrin bin Pg Haji
Kula dan Ustaz Haji Hazimin bin Haji Ibrahim.
Antara isi-isi yang ditekankan oleh ahli
panel forum adalah mengenai ciri-ciri generasi yang akan membantu hasrat
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan
Negara Brunei Darussalam dalam menjayakan Wawasan 2035.
Ciri-ciri yang
disebutkan ialah generasi yang memegang Islam sebagai agama rasmi, generasi
yang berpegang teguh kepada Al-Quran dan Hadith, generasi yang taat kepada
Allah Ta’ala, Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Sallam dan pemimpin serta
generasi yang beriman dan bertaqwa.
Demi membentuk generasi yang berwawasan
kita hendaklah menyuntik di dalam jiwa generasi masa kini Tarbiyyah Rabbaniyyah
(didikan Rabbani), yang mana didikan ini tidak menghadkan wawasan kita kepada
matlamat duniawi sahaja bahkan ia mendidik kita untuk bermatlamat ukhrawi.
Majlis diteruskan lagi dengan tayangan video
yang dihasilkan oleh Unit Media dan Publisiti, BKPBDK. Antara isi video
tersebut adalah paparan wawancara ahli-ahli jawatankuasa penuntut mengenai
makna Kemerdekaan Negara Brunei Darussalam dan ucapan mahasiswa mahasiswi
sempena Hari Kebangsaan yang ke-30.
Seterusnya majlis diserikan dengan
persembahan lagu-lagu patriotik dan tausyeh serta deklamasi sajak tentang erti
kemerdekaan.
Majlis ditutup dengan penyampaian sijil
kepada ahli-ahli panel forum dan diakhiri dengan bacaan Doa Selamat.
Adapun tujuan majlis ini diadakan adalah
untuk lebih menghayati makna kemerdekaan sekaligus menanamkan sifat patriotisme
dalam diri penuntut yang berada di luar negara.