Saturday, October 27, 2012

Majlis Ibadah Korban 1433H/2012M




Sempena Hari Raya Adha 1433H, Badan Kebajikan Penuntut Brunei Darussalam di Kaherah (BKPBDK) melalui Unit Agama Dan Akhlak telah mengungkayahkan sebuah Majlis Ibadah Korban pada hari Sabtu, 11 Dzulhijjah 1433H bersamaan dengan 27hb Oktober 2012M.

Seperti kelazimannya, majlis tersebut dijalankan di belakang imarah 11, Rabaah El-Adawiyah. Manakala acara memotong dan pembahagian daging korban dilakukan secara berasingan di Markas Puteri dan beberapa buah rumah kediaman penuntut Brunei di imarah 11.

Selesai sahaja penyembelihan, daging korban dilapah oleh para mahasiswa dan mahasiswi, seterusnya diagih-agihkan kepada fakir miskin.

Di kesempatan ini, para mahasiswa turut mengambil peluang belajar secara praktikal serta menghayati amalan Korban.

Adapun antara tujuan majlis ini diadakan adalah sebagai latihan bagi para mahasiswa untuk memenuhi tuntutan syarak, di samping menanam sikap suka bergotong-royong dan sekaligus mengeratkan lagi ikatan silaturrahim sesama warga BruCai.

Membawa kambing ke tempat penyembelihan.

Lembu sebelum disembelih.

Melapah kambing yang telah disembelih.

Menyembelih kambing yang di nazar




Para mahasiswi memotong daging korban dalam beberapa bahagian untuk di 'tauzie''.
Disediakan oleh : Ustazah Hajah Nurnadiah binti Awang Haji Mohamed Ismail

Thursday, October 25, 2012

Majlis Bertakbir




Sempena Hari Raya Aidil Adha, Unit Agama Dan Akhlak (UADA) telah mengadakan Majlis Bertakbir di Markas Putera, Raba’ah Al-Adawiyah pada 25 oktober 2012M.
Tazkirah yang disampaikan oleh
Ustaz Abdul Azim

Majlis dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah yang diimamkan oleh Ustaz Mohammad Aizat bin Haji Ahmad dan diteruskan dengan bertakbir beramai-ramai.

Tazkirah kemudian disampaikan oleh Ustaz Abdul Azim bin Haji Ismail. Di dalam tazkirah pendek tersebut Ustaz Abdul Azim telah menerangkan secara jelas mengenai perbezaan sunnah dan sunat kemudian berpindah ke bab sunnah berkorban. Tazkirah atau kongsisama yang telah disampaikan oleh beliau telah sedikit sebanyak memberi pengetahuan lebih jelas tentang ibadah berkorban dan sunnah
berkorban.

Warga BruCai menunaikan solat Isya’ secara berjemaah dan diimamkan oleh Ustaz Mohammad Nurhadi bin Ismail kemudian diteruskan lagi dengan bertakbir.

Seterusnya Ketua UADA, Ustaz Muhammad Saifullah bin Rosli, memberikan sedikit penerangan mengenai Majlis Ibadah Korban yang akan dijalankan pada hari Sabtu, 11 Dzulhijjah 1433H bersamaan dengan 27hb Oktober 2012M. Antara penerangan yang disampaikan adalah mengenai pembahagian kerja beserta ahli-ahli dalam setiap kumpulan dan sedikit bayangan mengenai Majlis Ibadah Korban yang akan berlangsung pada 27hb Oktober nanti.

Di akhir penerangan, beliau menasihatkan warga BruCai agar dapat meningkatkan lagi kerjasama dan komitmen memandangkan bilangan korban yang semakin bertambah.

Sebahagian daripada mahasiswa Brucai yang takbir pada malam itu.




Ketua UADA, Ustaz Muhammad Saifullah bin Rosli, memberikan sedikit penerangan mengenai Majlis Ibadah Korban yang akan dijalankan pada dua hari kemudiaan.

Disediakan oleh : Ustazah Hajah Nurnadiah binti Awang Haji Mohamed Ismail

Monday, October 22, 2012

Kelas Bahasa ‘Ammi Sesi 2012/2013M


Bagi membantu warga BKPBDK yang baru pertama kali menjejakkan kaki ke Bumi Anbiyaa’, sebuah kelas bimbingan khas yang dinamakan Kelas Bahasa ‘Ammi, telah diadakan pada hari Isnin, 22hb Oktober 2012M yang lalu, bertempat di Markas Putera. Kelas yang diselenggarakan oleh Unit Pelajaran dan Penerangan, BKPBDK, ini telah diadakan bagi memperkenalkan dan memberi serba-sedikit pendedahan kepada para mustagideen dan mustagidaat tentang Bahasa ‘Ammi Mesir, atau lebih dikenali di kalangan orang ketani sebagai ‘bahasa pasar Mesir’.
Ustaz Mohammad Nazerul Wafiq bin Haji Mohammad Hussin,
salah seorang daripada tiga mu’allim telah dijemput untuk
mengongsikan pelajaran-pelajaran pada hari tersebut
Seramai tiga orang mu’allim telah dijemput untuk mengongsikan pelajaran-pelajaran pada hari tersebut. Mereka adalah Ustaz Mohammad Nazerul Wafiq bin Haji Mohammad Hussin, Ustaz Ak. Md. Daud bin Pg. Matassan dan Ustazah Nasriah binti Ruslan.

Kelas pada hari tersebut telah dimulakan dengan bacaan Ummul Kitab; Surah Al-Faatihah dan bacaan Doa Selamat yang dipimpin oleh Ustaz Hazwan bin Haji Salim.

Sesi pembelajaran pada hari tu antara lain mengongsikan kaedah-kaedah pemakaian Bahasa ‘Ammi Mesir antaranya: penukaran sebutan huruf, penukaran kata ganti nama diri dalam Bahasa ‘Ammi Mesir, penukaran dan pertambahan huruf pada kata-kata kerja, perubahan baris pada kalimah-kalimah Bahasa Arab ‘Ammi Mesir, sebutan-sebutan nombor, kaedah penyebutan waktu dan sebagainya.

Para mu’allim juga telah berkesudian mengongsikan sedikit tips untuk melancarkan Bahasa Arab ‘Ammi Mesir kepada hadirin yang menyertai kelas pada hari tersebut.

Pembelajaran diakhiri dengan penyampaian sijil-sijil kepada para mu’allim. Doa penutup kemudian dibacakan oleh Ustaz Hazwan bin Haji Salim.

Kita berharap agar apa yang telah telah dikongsikan akan dapat membantu mereka yang baru menjejakkan kaki ke bumi ini dalam urusan seharian amnya dan pergaulan dengan warga Arab Mesir khasnya. Semoga apa yang telah disampaikan menjadi ilmu yang bermanfaat kepada para hadirin dan semoga segala urusan dipermudahkan oleh Allah jua.

Ustaz Ak. Md. Daud bin Pg. Matassan.

Ustazah Nasriah binti Ruslan.

Tekun belajar Bahasa 'Ammi.

Ustazah Nasriah binti Ruslan menerangkan perkataan
nombor-nombor yang digunakan di dalam Bahasa 'Ammi.
 





Disediakan oleh : Ustazah Siti Musfirah bte Misli

Friday, October 19, 2012

Kempen Markas Putera dan Puteri

Pada hari Jumaat, bertarikh 3 Dzulhijjah 1433H bersamaan dengan 19hb Oktober 2012M, Badan Kebajikan Penuntut Brunei Darussalam di Kaherah (BKPBDK) telah mengadakan sebuah kempen kebersihan secara besar-besaran di kedua-dua markas yang terletak di Raba’ah El-Adawiyah, Kaherah. Kempen bermula pada pukul 2.30 petang.

Semasa kempen berlangsung, para mahasiswa dan mahasiswi BKPBDK telah sama-sama berganding bahu membersihkan Markas Putera dan Markas Puteri. Kedua-dua buah markas ini merupakan tempat-tempat berkumpul ahli BKPBDK, sama ada untuk acara-acara rasmi, perjumpaan-perjumpaan, kelas-kelas dan sebagainya. Oleh itu, kempen sedemikian selalu diadakan sekali setiap satu semester untuk memastikan kebersihan dan kerapian markas.

Aktiviti seperti ini diharap akan dapat memupuk sikap saling bekerjasama, sentiasa menjaga kebersihan serta budaya tidak camah mata dalam setiap individu BKPBDK. Di samping mengeratkan lagi ikatan ukhuwwah sesama warga BKPBDK.

Mengemaskinikan majalah-majalah Raudhah.

 







Disediakan oleh : Ustazah Hajah Nurnadiah binti Awang Haji Mohamed Ismail

Thursday, October 18, 2012

Majlis Pembuka Tirai


Syukur Alhamdulilah usai sahaja Majlis Intikhabat melabuhkan tirainya, Majlis Pembuka Tirai berlangsung pada hari Khamis, 18hb Oktober 2012M bersamaan dengan 03hb Zulhijjah 1433H. Majlis dimulakan dengan solat Maghrib dan Isya’ berjemaah bagi mahasiswi di Markas Putera manakala mahasiswa menunaikan solat Maghrib dan Isya’ di masjid yang berdekatan. Majlis diteruskan dengan bacaan surah Yaasin yang diketuai oleh Ustaz Muhammad Nurhadi bin Ismail dan bacaan tahlil diketuai oleh Ustaz Muhammad Noor Amiruddin bin Hj Ismail, manakala doa dibacakan oleh Ustaz Muhammad Saifullah bin Rosli.

Bacaan surah Yaasin yang diketuai oleh Ustaz Muhammad Nurhadi bin Ismail
Kemuncak majlis ialah kalam Presiden BKPBDK sesi 2012/2013, Ustaz Mohammad Nazerul Wafiq bin Haji Mohammad Hussin, berupa nasihat dan panduan antaranya supaya sentiasa menjaga solat kerana dengan itu akan senanglah bagi menjaga waktu ‘muhafazhah al-waqt’. Presiden juga mengingatkan supaya saling bantu membantu, tidak camah mata dan saling mesra sesama warga BruCai. Tidak patut ada istilah perkauman bahkan presiden menyebut istilah ‘saling tampal menampal’. Ini menunjukkan akrabnya ukhuwah tersebut. Beliau juga menasihatkan supaya memperbetulkan niat asal datang ke bumi Mesir dan merebut peluang keemasan ini untuk mengaut seberapa banyak ilmu. Namun dalam masa yang sama tidak lupa tanggungjawab sebagai ahli BKPBDK.

Bekas Presiden sesi 2011/2012, Ustaz Abdul Qawiy bin Hj Ismail juga sempat memberikan beberapa buah nasihat dan menukilkan kalam mufti Brunei Darussalam yang memberi kesan yang mendalam iaitu ‘ada iman adalah komitmen’. Ini tidak hanya dipraktikkan di dalam beribadah bahkan juga semasa kehidupan seharian. Majlis disemarakkan lagi dengan tazkirah pendek yang disampaikan oleh Ustaz Muhammad Naqib bin Hj Awang, berkisar tentang kisah hidup Nabi Ibrahim ‘Alaihissalam, dakwah baginda dan pengajaran di dalam berdakwah. Antaranya, hendaklah menyampaikan dakwah secara berperingkat-peringkat yakni ‘at-tadarruj’ serta sabar dan menggunakan kata-kata yang lembut.

Kalam Presiden BKPBDK sesi 2012/2013,
Ustaz Mohammad Nazerul Wafiq bin Haji Mohammad Hussin.
Mantan Presiden sesi 2011/2012, Ustaz Abdul Qawiy bin Hj Ismail.



Seterusnya majlis dihangatkan lagi dengan acara berdikir beramai-ramai dan selawat Ibrahimiyyah yang diketuai oleh Ustaz Awangku Hafizul Hanif bin Pengiran Hj Md Hatta. Majlis ditutup dengan menikmati jamuan menggunakan talam yang merupakan salah satu Sunnah baginda Rasulullah S.A.W dan dalam masa yang sama dapat mengeratkan lagi ukhuwah sesama warga BruCai. Semoga Allah Subhanahu Wa Taa’la memberkati dan meredhai segala apa jua majlis yang diungkayahkan pihak BKPBDK dalam menggapai kejayaan fiddarain.
Tazkirah pendek yang disampaikan oleh
Ustaz Muhammad Naqib bin Hj Awang.
Bacaan Doa oleh oleh
Ustaz Muhammad Saifullah bin Rosli.

Acara berdikir beramai-ramai dan selawat Ibrahimiyyah.

Makan bertalam yang merupakan salah satu Sunnah Rasulullah sallahu 'alaihi wasallam.

 





Disediakan oleh : Ustazah Hazimah bte Baha

Saturday, October 13, 2012

Kempen Kebersihan Ma'had Bu'uth Jalalah As-Sultan Al-Haj Hassanal Bolkiah

SABTU (13.10.2012) - Seramai 44 orang penuntut tahun 1 hingga tahun 3 telah bergotong-royong membersihkan Ma’had Bu’uth tersebut. Kempen yang terdiri dari penuntut-penuntut lelaki itu telah bermula dari jam 1.30 petang hingga 4.00 petang.

Turut hadir ialah Duta Besar Negara Brunei Darussalam di Republik Arab Mesir, Dato Paduka Awg Hj Mohd Mahdi bin Pehin Orang Kaya Digadong Seri Diraja Dato Laila Utama Hj Awg Abdul Rahman. Kehadiran Tuan Yang Terutama disambut oleh Syeikh Ali, seterusnya Tuan Yang Terutama dibawa melawat sekitar Ma’had tersebut.

Aktiviti gotong-royong  ini merupakan salah satu daripada aktiviti-aktiviti Badan Kebajikan Penuntut Brunei Darussalam di Kaherah (BKPBDK). Aktiviti sedemikian diharap dapat mengeratkan lagi ikatan silaturrahim dan mewujudkan mahabbah sesama penuntut Brunei di Kaherah. Di samping itu, menanamkan sifat suka bekerjasama dalam melakukan amal kebajikan.
Dato Paduka juga turut hadir untuk melihat sendiri Ma'had Bu'uth.

Mahasiswa BruCai ketika membersihkan lorong Ma'had Bu'uth tersebut.




Para mahasiswa BruCai bersama Dato Paduka Awg Hj Mohd Mahdi bin Pehin Orang Kaya Digadong Seri Diraja Dato Laila Utama Hj Awg Abdul Rahman dan pegawai-pegawai kedutaan.


Disediakan oleh : Ustazah Hajah Nurnadiah binti Awang Haji Mohamed Ismail