Disediakan oleh:
Muhammad ‘Ammar Fashan Bin Ahmad
Ahli Unit Media dan Publisiti
Badan Kebajikan Penuntut Brunei
Darussalam di Kaherah Mesir 2015/2016M
Kaherah, Republik
Arab Mesir, 12 Mac –Badan Kebajikan Penuntut Brunei Darussalam Di Kaherah (BKPBDK)
Sesi 2015/2016M telah mengadakan satu bazar gerai jualan yang bertempat di markas
bangunan khas penuntut Brunei Darussalam di Hay Sadis, Kaherah. Program yang berada dibawah kelolaan Unit
Kebajikan Dan Kemasyarakatan BKBPDK selaku penganjur program ini telah dirasmikan
oleh Yang Mulia, Tuan Yang Terutama Haji Abdul Kahar Bin Haji Hussin, Duta
Besar, Kedutaan Brunei Darussalam di Republik Arab Mesir, yang hadir selaku tetamu kehormat majlis tersebut.
Bazar ini
dibahagikan kepada dua sesi, iaitu
bermula jam 8.30 pagi hingga 11.00 pagi , dibuka kepada warga Brunei
Darussalam sahaja manakala dari pukul 11.00 pagi hingga 5.00 petang pula terbuka bagi kunjungan orang ramai. Terdapat beberapa buah gerai jualan yang
menyajikan pelbagai makanan enak, antaranya Keris’s Corner, Dapur Kelasak,
Kerambit’s Kitchen, Kampilan’s Corner, serta banyak lagi.
Markas mula
dipenuhi oleh warga Brunei seawal jam 7 pagi lagi. Majlis Bazar BRUCAI 2016 ini bukan sahaja dihadiri oleh para pegawai Kedutaan Brunei Darussalam serta keluarga dan ahli BKPBDK, malah turut
dimeriahkan dengan kehadiran warga mahasiswa mahasiswi dari negara jiran
seperti Malaysia, Indonesia dan Singapura yang berada di Republik Arab Mesir
ini. Markas yang dihias indah dengan berkonsepkan suasana “kebruneian” telah
membangkitkan lagi kemeriahan bazar serta membuka selera para pengunjung untuk
menikmati juadah di samping mengeratkan
silaturrahim antara satu sama lain.
Di samping
itu, juadah makanan yang dijual pada tahun ini begitu mengiurkan. Antaranya
ialah nasi ‘buttermilk chicken’, sweetcorn, mee goreng basah, kuih seri muka,
kelupis dan kuah kari, cakoi, soto, nasi ayam percik, keropok lekor, sup
Kawarek dan macam-macam lagi. Selain
itu, pelbagai juadah makanan dijual ternyata mendapat sambutan hebat, antaranya
ialah Pais Daging, Sate Ayam, kuih Penyaram, Nasi Katok Brunei, Ayam Salai, Kebab,
Roti John serta banyak lagi.
Majlis Bazar
BRUCAI 2016 ini juga diserikan dengan persembahan nasyid oleh ahli-ahli BKPBDK
dan pelbagai pertandingan serta aktiviti sampingan seperti pertandingan
Masterchef, Guess What dan sebagainya bagi memeriahkan lagi program tersebut.
“Bazar
BRUCAI pada tahun ini mendapat sambutan baik serta kunjungan yang ramai dari
warga Malaysia, Indonesia dan Singapura berbanding dari tahun lepas. Saya berharap untuk mendapat sambutan sedemikian
bahkan lebih meriah lagi untuk bazar BRUCAI yang akan datang.” Ujar saudara
Mohammad Aisamuddin bin Haji Selaman, mahasiswa tahun 3, Universiti Al-Azhar
juga selaku mantan Ketua Unit Kebajikan Dan Kemasyarakatan BKPBDK 2014/2015M.
“Bazar
Brucai merupakan salah satu acara yang dinanti-nantikan oleh para penuntut
Brunei di Mesir ini. Dengan pelbagai jualan juadah masakan khususnya masakan
melayu Brunei sedikit sebanyak mengubat kerinduan kami yang berada di
perantauan ini terhadap masakan Brunei. Bazar BRUCAI ini pasti saya akan
terkenangkan kembali pahit manisnya setelah tamat pengajian nanti In Shaa Allah”
kata saudara Muhd Hairul Nizam bin Muhammad, mahasiswa tahun 3, Universiti
al-Azhar.
Antara
harapan Ak Mohd Qomarussalihin bin Pg Mohd Saifuddin, selaku Ketua Unit Kebajikan
Dan Kemasyarakatan serta penganjur program, beliau mengharapkan dengan
berlangsungnya bazar ini maka tercapailah objektif yang ingin dikecapi terutamanya untuk
mengukuhkan lagi ikatan tali persaudaraan bukan sahaja dalam kalangan warga
Brunei malah bersama warga dari negara lain juga.
gambar selebihnya, klik sini: